
Jumaat, 23/10/2026 – Pusat Palestin bagi Pembelaan Tahanan mengecam penahanan tentera Israel terhadap seorang wanita Palestin, Amal Ghazi Muhammad Al-Rifi, 60, dan anak perempuannya, Yasmin Rifat Muhammad Al-Rifi, 33, ketika mereka dalam perjalanan pulang ke Semenanjung Gaza melalui pintu sempadan Rafah selepas menjalani rawatan di Mesir.
Mereka menyifatkan tindakan berkenaan sebagai pencabulan hak kedua-dua wanita tersebut untuk pulang dengan selamat ke rumah dan bertemu keluarga mereka.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, pihak berkuasa Israel memutuskan untuk melanjutkan tempoh penahanan kedua-duanya sehingga 3 Disember 2026. Mereka juga dilaporkan tidak dibenarkan bertemu peguam masing-masing.
Keadaan itu menimbulkan kebimbangan terhadap keadaan penahanan serta keselamatan fizikal dan psikologi kedua-dua wanita berkenaan, khususnya selepas mereka pulang daripada menjalani rawatan dan dinafikan akses kepada bantuan guaman yang diperlukan bagi memastikan keadaan serta kebajikan mereka terpelihara.
Pusat itu menegaskan bahawa penahanan seorang wanita berusia 60 tahun bersama anak perempuannya ketika mereka pulang daripada mendapatkan rawatan telah menjadikan perjalanan kembali ke tanah air sebagai pengalaman yang menimbulkan ketakutan dan penderitaan. Menurutnya, perjalanan pulang sepatutnya menjadi laluan yang selamat bagi pesakit dan rakyat yang ingin kembali menjalani kehidupan bersama ahli keluarga masing-masing.
Penterjemah : Farah Najwa