
Jumaat, 23/10/2026 – Kementerian Kesihatan Palestin di Semenanjung Gaza telah menerbitkan Laporan Tahunan Kesihatan Ibu dan Anak 2025 yang mendedahkan petunjuk kesihatan dan kemanusiaan yang amat membimbangkan. Laporan itu menggambarkan kesan dahsyat perang genosid Israel terhadap wanita dan kanak-kanak, ketika sistem penjagaan kesihatan lumpuh, hospital musnah serta keadaan kehidupan dan pemakanan semakin merosot.
Pusat Maklumat Kesihatan kementerian itu memaklumkan pada Khamis bahawa laporan berkenaan merekodkan keadaan perkhidmatan kesihatan reproduktif, perancangan keluarga, penjagaan antenatal, proses kelahiran dan penjagaan bayi baru lahir sepanjang tahun yang luar biasa mencabar. Tahun tersebut menyaksikan gelombang perpindahan penduduk yang berulang, kemerosotan ketara keupayaan fasiliti kesihatan menyediakan perkhidmatan asas, ketidakjaminan makanan yang meluas serta peningkatan keperluan kemanusiaan.
Laporan itu merekodkan 10,899 wanita dalam usia reproduktif terkorban sepanjang 2025, manakala 17,469 wanita lagi mengalami kecederaan. Angka ini memperlihatkan besarnya korban manusia akibat perang dan kesannya terhadap wanita di Semenanjung Gaza.
Satu lagi petunjuk yang menggambarkan kesan mendalam krisis ini ialah jumlah kelahiran hidup yang direkodkan sebanyak 50,227 sepanjang tahun berkenaan, iaitu penurunan kira-kira 9% berbanding 2022.
Sementara itu, pusat penjagaan kesihatan primer di bawah kementerian tersebut merekodkan 7,402 kehamilan berisiko tinggi. Angka ini menyerlahkan cabaran serius yang dihadapi oleh wanita hamil dalam keadaan kesihatan dan kehidupan yang semakin buruk.
Anemia mengancam ibu dan bayi baru lahir di seluruh Gaza
Petunjuk kesihatan menunjukkan bahawa 52.2% wanita hamil di Gaza mengalami anemia, manakala kadarnya meningkat kepada 85% dalam kalangan wanita selepas bersalin. Keadaan ini berlaku ketika bekalan makanan semakin berkurangan, akses kepada suplemen pemakanan terhad dan ketersediaan perkhidmatan penjagaan kesihatan asas terus merosot.
Dari segi kesihatan bayi baru lahir, laporan itu mendapati seramai 6,182 bayi, bersamaan 12.3% daripada keseluruhan kelahiran hidup sepanjang tahun tersebut, memerlukan rawatan di unit rawatan rapi neonatal.
Kadar kematian neonatal pula mencecah 9.1 kematian bagi setiap 1,000 kelahiran hidup, dengan 61.7% daripada kematian tersebut berlaku dalam minggu pertama kehidupan.
Angka-angka ini menggambarkan risiko besar yang terpaksa dihadapi oleh ibu dan anak, sejak peringkat awal kehamilan sehinggalah proses kelahiran dan tempoh selepas bersalin.
Fasiliti kesihatan terus bergelut dengan kekurangan peralatan perubatan dan bekalan penting, sedangkan petugas kesihatan berusaha memberikan perkhidmatan paling asas dalam keadaan sektor kesihatan Gaza mengalami kemusnahan yang meluas.
Kementerian Kesihatan turut memaklumkan bahawa 98.4% kelahiran berlaku di sejumlah kecil fasiliti kesihatan yang terpaksa menanggung beban berlebihan, susulan kemusnahan hospital dan penutupan fasiliti yang lain.
Keadaan ini menambahkan tekanan terhadap fasiliti yang masih beroperasi, sekali gus melemahkan lagi keupayaan sistem kesihatan untuk memenuhi keperluan ibu dan bayi baru lahir yang semakin meningkat.
Laporan itu turut memberi amaran bahawa kesan kekurangan makanan bukan sahaja menjejaskan kesihatan wanita, malah turut memberi kesan kepada janin dan bayi baru lahir.
Kemerosotan pemakanan ibu meningkatkan risiko kesihatan semasa kehamilan dan selepas bersalin, khususnya apabila wanita berdepan kesukaran mendapatkan makanan yang mencukupi serta rawatan perubatan khusus.
Tindakan antarabangsa segera diperlukan untuk melindungi ibu dan anak
Kementerian Kesihatan menyeru rakan kerjasama tempatan dan antarabangsa serta masyarakat antarabangsa secara keseluruhannya supaya mengambil tindakan segera bagi melindungi fasiliti kesihatan dan memastikan bekalan ubat-ubatan, suplemen pemakanan serta keperluan perubatan asas dapat disalurkan tanpa gangguan.
Kementerian itu turut menggesa usaha untuk memulihkan sepenuhnya perkhidmatan kesihatan ibu dan anak bagi mengurangkan risiko yang mengancam nyawa wanita dan kanak-kanak di seluruh Semenanjung Gaza.
Laporan ini diterbitkan ketika Gaza masih menanggung kesan dahsyat perang Israel yang bermula pada 7 Oktober 2023, yang menyaksikan pembunuhan, kebuluran, kemusnahan, perpindahan penduduk dan penahanan.
Perang tersebut telah mengakibatkan kerosakan besar terhadap infrastruktur dan fasiliti perubatan, sekali gus mencetuskan amaran berulang kali daripada masyarakat antarabangsa mengenai krisis kemanusiaan yang semakin meruncing.
Menurut laporan itu, perang berkenaan telah menyebabkan lebih 250,000 rakyat Palestin terkorban atau cedera, dengan sebahagian besar daripada mereka terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
Lebih 11,000 orang masih hilang, manakala ratusan ribu penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.
Krisis makanan yang serius turut meragut banyak nyawa, kebanyakannya kanak-kanak, di samping kemusnahan meluas bandar dan kawasan perumahan di seluruh Semenanjung Gaza.
Secara keseluruhannya, angka kematian, petunjuk kekurangan zat makanan dan kemerosotan perkhidmatan perubatan memperlihatkan betapa beratnya penderitaan yang ditanggung oleh ibu dan anak di Gaza.
Kehamilan dan kelahiran, yang sepatutnya menjadi permulaan kepada kehidupan baharu, kini semakin bertukar menjadi pengalaman yang mengancam nyawa apabila bekalan perubatan dan sumber kesihatan semakin berkurangan, manakala akses kepada rawatan asas terus terjejas.
Penterjemah : Ezatul