Categories
Berita Semasa

Gaza: Hanya 209 orang boleh mendapatkan rawatan sepanjang bulan Oktober dari senarai beribu-ribu.

Jumaat, 06/11/2026 – Ribuan pesakit dan mangsa cedera di Semenanjung Gaza terus berdepan penderitaan akibat sekatan Israel terhadap proses evakuasi perubatan serta halangan perjalanan bagi pesakit kritikal yang memerlukan rawatan di luar wilayah itu. Walaupun sebilangan kecil pesakit berjaya dibawa keluar untuk mendapatkan rawatan, jumlah berkenaan masih terlalu rendah berbanding skala krisis kesihatan yang semakin meruncing serta risiko yang mengancam nyawa mereka yang masih menunggu.

Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza dalam kenyataan pada malam Rabu memaklumkan seramai 209 pesakit dan mangsa cedera sahaja berjaya meninggalkan wilayah itu bagi mendapatkan rawatan di luar negara sepanjang Oktober. Menurut kementerian itu, evakuasi berkenaan hanya berjaya dilaksanakan dalam tempoh tujuh hari daripada keseluruhan 17 hari yang diperuntukkan.

Kementerian itu turut menegaskan sekatan ketat Israel masih menyebabkan ribuan pesakit kritikal terkandas dan tidak mendapat akses kepada rawatan yang diperlukan. Jelasnya, jumlah pesakit yang berjaya dipindahkan langsung tidak sepadan dengan skala bencana kesihatan yang sedang melanda Gaza. Kementerian itu menyifatkan kelewatan dalam proses evakuasi perubatan sebagai tindakan melengah-lengahkan secara sengaja, sekali gus mendedahkan ribuan pesakit dan mangsa cedera kepada risiko kehilangan nyawa.

Penterjemah : Farah Najwa