Categories
Berita Semasa

Sejuta orang di Lubnan berdepan ketidakjaminan makanan susulan serangan Israel

Isnin, 16/11/2026 – Lebih sejuta orang di Lubnan berdepan ketidakjaminan makanan tahap krisis atau lebih teruk apabila kesan serangan Israel terus memusnahkan sektor pertanian, merosakkan kawasan tanah pertanian yang luas, dan menghalang petani daripada mengakses tanah dan sumber pendapatan mereka.

Satu analisis Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) yang diterbitkan pada Rabu mendapati kira-kira 1.05 juta orang, mewakili 21% daripada penduduk yang dinilai, dijangka berdepan ketidakjaminan makanan tahap krisis atau lebih teruk sehingga Februari 2027.

Analisis itu mengunjurkan jumlah tersebut akan meningkat kepada kira-kira 1.15 juta orang, atau 24%, menjelang pertengahan 2027. Bilangan orang yang mengalami ketidakjaminan makanan tahap kecemasan juga dijangka meningkat hampir dua kali ganda, daripada 52,000 kepada 97,000.

Program Makanan Sedunia (WFP) memberi amaran bahawa isi rumah Lubnan telah kehabisan banyak pilihan untuk menangani keadaan hidup yang semakin merosot. Simpanan telah habis, hutang semakin bertambah, dan keluarga telah mengurangkan perbelanjaan, menyebabkan ramai yang tidak dapat memenuhi keperluan makanan asas mereka tanpa bantuan kemanusiaan.

Allison Oman Lawi, wakil dan pengarah negara WFP di Lubnan, memberi amaran bahawa keluarga yang telah kehabisan mekanisme daya tahan mereka semakin terdedah kepada risiko tergelincir ke tahap ketidakjaminan makanan yang lebih teruk, walaupun berdepan dengan kejutan tambahan yang agak kecil.

Penterjemah : Norshuhada Samudin