Sharon Benarkan Operasi Pembunuhan Lebih Besar

Isnin, 20/12/2004 : Kerajaan Zionis Israel telah memutuskan untuk meningkatkan operasi pembunuhan terhadap aktivis-pejuang Palestin samada berada di dalam atau luar Palestin secara besar-besaran, sebagai mana yang berlaku di Damaskus tempoh hari.

Sumber-sumber politik Israel mengatakan, Perdana Menteri Israel Areal Sharon memberikan kebebasan kepada tentera Israel untuk melakukan apa cara sekalipun bagi membendung dan menghentikan aktiviti-aktiviti pejuang Palestin. Sharon menyatakan sedemikian selepas mendapati serangan-serangan pejuang Palestin meningkat dan semakin banyak dilakukan. Serangan-serangan semuanya tertumpu di penempatan Israel dan pos tentera Israel.

Sumber Israel memberitahu, Sharon telah bersetuju dengan permintaan Menteri Pertahanan Israel Shaul Mofaz untuk melaksanakan beberapa langkah dalam waktu terdekat, terutamanya melakukan operasi pembunuhan besar-besaran terhadap pejuang-pejuang Palestin.

Dalam satu kejadian lain, dilaporkan bahawa lebih dari 15 orang Israel telah maut dalam serangan bom di terowong yang dilakukan pejuang Palestin. Sumber tentera Israel menyebutkan bahawa mereka terpaksa menggali tanah di kawasan markas mereka bagi memastikan tidak ada terowong yang dibina oleh pejuang-pejuang Palestin. Strategi baru yang digunakan oleh para pejuang Palestin, amat membimbangkan mereka.