Pada tanggal 9 Januari 2005 ini akan berlangsung pilihanraya presiden di Palestin. Beberapa fakta menarik telah berlaku sepanjang tempoh berkempen. Rejim Zionis di katakan memberi ruang kepada rakyat Palestin memilih bakal presiden. Adakah nasib rakyat Palestin akan terbela dengan pemilihan ini ? atau keadaan akan menjadi semakin meruncing. Saudara Maszlee Malek mengulas…
Marwan al-Barghouti merupakan nama yang gah dewasa ini di media-media yang membuat liputan tentang isu Palestin. Nama yang besar ini dahulunya bukanlah satu nama yang dikenali ramai. Ianya mula mendapat liputan menyeluruh apabila beliau mencalonkan dirinya sebagai calon bebas untuk bertanding merebut jawatan presiden Pihak Berkuasa Tempatan Palestin aka Palestine Authority (PA) pada 1 Disember 2004 yang lepas melalui isterinya. Amat menarik kerana beliau yang kini meringkuk di dalam penjara rejim Zionis menjalani lima hukuman penjara seumur hidup kerana dituduh menubuhkan sel militan Fatah yang dikenali sebagai Briged al-Aqsa masih bernafsu untuk merebut jawatan tersebut. Beliau yang juga mantan setiusaha gerakan Fatah di Tebing Barat, berhak berbuat demikian kerana beliau menyedari sokongan dari para pemuda gerakan Fatah terhadapnya adalah tinggi. Dia juga berhak berbuat demikian, kerana Mahmoud Abbas yang menjadi pencabar terdekatnya dari gerakan Fatah sendiri pada asalnya tidak mendapat sokongan golongan muda dan juga fraksi penentangan dari kalangan rakyat Palestin. Dia juga berhak berbuat demikian, kerana lapan orang pencabarnya yang lain (selain Abbas) adalah mereka-mereka yang underdog. Yang pastinya penyertaannya ini telah membuatkan Abbas duduk serba tidak kena dan terpaksa melakukan pelbagai usaha untuk memujuk dan mengugut Marwan agar menarik balik pencalonannya. Sayangnya beliau telah pun menggugurkan pencalonannya ketika artikel ini ditulis.
Calon presiden yang tidak di restui Israel akan disakiti dan dihalang. Sejauh mana kejujuran Israel ?
Abbas aka Abu Mazen merupakan seorang veteran dan merupakan golongan ?old guards? di dalam gerakan Fatah. Sebagai pemimpin paling kanan yang antara yang tertua di dalam gerakan tersebut, beliau dilihat oleh pengamat politik timur tengah sebagai yang paling layak untuk jawatan tersebut. Selain daripada pernah menjawat jawatan perdana menteri (dan kemudiannya meletakkan jawatannya kerana berselisih pendapat dengan Arafat), beliau juga merupakan antara orang kepercayaan Arafat. Sayangnya beliau terdiri dari kalangan mereka yang pernah terlibat dengan pecah amanah dan korupsi. Beliau juga pernah terlibat dengan mereka-mereka yang pernah diminta untuk dilucutkan jawatan dari kabinet Arafat kerana amalan rasuah pada akhir tahun-tahun 90?an. Yang lebih menakutkan Abbas lagi apabila wakil al-Barghouti mengatakan pencalonannya (al-Barghouti) adalah kerana desakan para pemuda Fatah dan bukan di atas kemahuannya sendiri yang pada awalnya telah menyatakan kesetiaannya untuk menyokong Abbas. Oleh kerana itu tidak hairanlah jika kita mendengar pemergian wakil-wakil Abbas untuk menemui Marwan bagi memujuknya agar menggugurkan pencalonannya. Akhirnya Marwan akur dengan tuntutan ataupun mungkin ugutan-ugutan tersebut.
Bagi para penganalisis politik timur tengah, apa yang berlaku itu disifatkan sebagai persaingan dan perpecahan di antara golongan muda di dalam Fatah yang bersifat ?anti establishment? dengan golongan tua mereka yang sentiasa mengambil sikap berlunak dengan Israel. Ziyad Abu Ein, salah seorang anggota Majlis Tertinggi gerakan Fatah ketika memberikan komentarnya kepada tindakan al-Barghouti mengatakan apa yang dilakukan oleh al-Barghouti itu mencerminkan kehendak golongan muda Fatah dan juga mencerminkan budaya demokrasi yang sihat di kalangan rakyat Palestin. Beliau berpendapat rakyat Palestin lebih berhak menentukan siapakah yang lebih layak menjadi pemimpin mereka. Beliau juga tidak menafikan wujudnya usaha di kalangan pemimpin tertinggi Fatah untuk memujuk al-Barghouti agar menarik balik pencalonannya. Ini semua dilakukan kerana melihat natijah pencalonan al-Barghouti yang telah menyebabkan perpecahan yang ketara di dalam gerakan Fatah itu sendiri. Berhubung kenyataan tersebut, Amin Maqbul, setiusaha Fatah di Tebing Barat yang menggantikan al-Barghouti berpandangan positif bahawa al-Barghouti akan menarik semula pencalonannya dan memberikan laluan kepada Abbas untuk mendapatkan jawatan tersebut. Ternyata jangkaannya benar.
Abbas di ketika artikel ini ditulis telah pulang dari negara-negara jiran dalam usahanya melobi pemimpin-pemimpin Arab dan para pelarian Palestin di negara-negara berkenaan untuk mempromosikan dirinya menjelang pilihanraya. Di peringkat dalaman pula, beliau telah bertemu dengan para pimpinan gerakan HAMAS yang merupakan gerakan yang paling popular di Gaza untuk mendapatkan sokongan mereka. Ternyata beliau benar-benar berada di dalam keadaan yang begitu merungsingkan dirinya. Di pihak rejim Zionis (Israel) pula, beliau lebih awal memberikan isyarat bahawa beliau berupaya memujuk pihak militan dari Fatah dan HAMAS untuk memberhentikan serangan-serangan ketenteraan ke atas Israel. Ternyata sehari selepas itu, HAMAS telah mengeluarkan kenyataannya menafikan dakwaan bahawa mereka akan melakukan gencatan senjata, malah berikrar akan meneruskan serangan-serangan ke atas kepentingan rejim Zionis di Gaza.
Persoalannya, apakah formula yang diperlukan oleh Abbas untuk merebut jawatan presiden PA untuk memenangi kerusi panas tersebut?
Bagi pihak rakyat Palestin apa yang mereka mahukan ialah kemerdekaan dan kehidupan sebagai rakyat yang bernegara. Apa yang mereka mahukan juga adalah hak kepulangan rakyat Palestin seperti yang termaktub pada resolusi PBB 194 dilaksanakan agar saudara mara mereka yang berada di luar dapat pulang ke tanah air mereka. Apa yang mereka mahu juga ialah tembok pemisah di Tebing Barat dirobohkan. Apa yang mereka mahu juga ialah para penduduk Yahudi di bumi Palestin pulang ke negara masing-masing. Itulah kehendak majoriti rakyat Palestin, atas dasar inilah HAMAS dan juga metod penentangan terhadap rejim Zionis menjadi pilihan mereka. Tidak hairan juga mengapa Marwan al-Barghouti menjadi begitu popular, kerana beliau berjaya membuktikan kepada rakyat Palestin bahawa beliau adalah anti Israel dan bukannya tali barut mereka. Atas dasar ini jugalah Yasser Arafat tetap menjadi pujaan rakyat Palestin selepas Camp David 2000 walaupun pada asalnya beliau pernah dicop sebagai pengkhianat perjuangan Palestin kerana bersekongkol dengan rejim Zionis lewat perjanjian Oslo 1993.
Jika dilihat dari sudut ini, kehendak majoriti dan juga suara umum rakyat Palestin ternyata tidak menyebelahi Abbas, namun apakah benar suara rakyat Palestin semata-mata yang akan menentukan kemenangan calon-calon presiden?, itu merupakan soalan yang lain!
Abbas mempunyai beberapa kelebihan beliau yang tersendiri untuk memenangi pilihanraya ini. Bukan kerana tiada manusia lelaki lain di Palestin yang boleh mencabarnya, tetapi kerana beliau merupakan pilihan AS, Israel dan juga pemimpin-pemimpin Arab yang sewaktu dengannya. Beliau sanggup untuk melucutkan senjata, beliau sanggup berkompromi dengan Israel (Oslo 1993 telah ditandatangani oleh beliau), beliau sanggup untuk menghadiri, bersetuju dan juga patuh kepada apa-apa sahaja arahan AS atau Israel, dan baru-baru ini Great Britain untuk menghentikan tentangan dan perlawanan rakyatnya ke atas rejim Zionis Israel. Walau bagaimanapun, seperti mentornya, Arafat, beliau juga seorang yang licik, pragmatik dan boleh berbicara dengan seribu gaya bahasa. Dengan AS bahasa yang digunakan lain, dengan Israel lain, dengan rakyat Palestin di Gaza lain, dengan rakyat Palestin di Lubnan lain, dengan kerajaan Mesir lain, dengan HAMAS lain, malah dengan dirinya sendiri pun beliau menggunakan bahasa yang lain. Itulah istimewanya Abbas aka Abu Mazen yang pernah membina sebuah penempatan bernama ?Baitul Maqdis? (Jerusalem) demi menyahut seruan Clinton agar Baitul Maqdis dipindahkan bagi umat Islam dari tempat asalnya ke tempat yang tidak diminati oleh orang-orang Yahudi!
Menjelang pilihanraya pemilihan presiden PA ini juga pelbagai perkara lucu telah berlaku. Pertamanya, Marwan al-Barghuti membuat keputusan menarik balik pencalonannya setelah berkobar-kobar ingin mendapatkannya. Melalui beberapa siri pujukan (ataupun ugutan) beberapa pimpinan senior Fatah, akhirnya Marwan mengangkat bendera putih dan segera mengisytiharkan ketaatannya kepada Abbas. Kemudiannya beberapa orang calon bebas juga telah menarik diri, dan diikuti dengan pembantaian ke atas Dr. Mustafa al-Barghuti (tiada kena mengena dengan Marwan) yang merupakan calon bebas dan dicanangkan oleh mendiang Edward Said senbagai pemimpin yang paling layak menerajui rakyat Palestin. Beliau telah dibelasah sebanyak dua kali oleh pasukan keselamatan Israel, sekali di Gaza dan sekali lagi di Baitul Maqdis. Samada ianya sebagai iklan dan promosi untuk beliau ataupun satu amaran dari pihak tertentu, tidak pula diketahui oleh ramai pihak. Yang pastinya Abbas dapat melihat peluangnya yang cerah untuk menaiki takhta yang sekian lama dipanaskan oleh punggung Arafat. Calon-calon yang lain bukanlah pesaingnya yang hebat. Malah keputusan pilihanraya tempatan PA yang telah berlangsung di Tebing Barat (buat pertama kali semenjak 1976) sendiri pun menampakkan positifnya peluang beliau untuk memenangi pilihanraya pada 9 Januari itu nanti.
Persoalan yang timbul ialah, jika beliau menjadi Presiden PA, adakah apa-apa perubahan drastik yang akan berlaku?, adakah beliau akan mengambil sikap seperti Yasser Arafat pra Camp David 2000, ataupun pasca Camp David 2000? Adakah beliau akan mengekang gerakan penentangan rakyat Palestin yang dijuarai oleh HAMAS, Jihad Islamiyy dan juga angkatan muda Fatah di dalam briged al-Aqsa mereka?, adakah beliau sanggup melepaskan hak rakyat Palestin untuk pulang ke tanah air mereka melalui resolusi Majlis Umum PBB 194 ?, adakah beliau juga akan berkompromi dengan rejim Zionis Israel berhubung soal Masjid al-Aqsa dan Baitul Maqdis ?. Yang pasti kenyataan-kenyataannya sewaktu kempen dan janji-janji manisnya kepada rakyat Palestin dan juga fraksi-fraksi penentangan tidak boleh dijadikan hujah. Beliau merupakan seorang pragmatis dan oportunis. Beliau jugalah yang merupakan orang yang bertanggung jawab menanda tangani perjanjian Oslo 1993 bagi pihak PA dengan disaksikan oleh Yasser Arafat. Beliau jugalah orang yang paling diharapkan oleh AS dan rejim Zionis Israel untuk menggantikan Arafat semenjak Camp David 2000 lagi. Kesemua persoalan ini hanya akan terjawab selepas 9 Januari 2005. Bersama-sama kita tungu dan lihat!!!