Oleh Maszlee Malek ( kolumnis Palestinkini )
Kemenangan Mahmoud Abbas di dalam pilihanraya pemilihan presiden PA adalah sesuatu yang telah dijangka. Ianya adalah seperti menjangkakan kemenangan besar skuad kelab bolasepak Manchaster United ketika menentang skuad bolasepak negeri Selangor.
Abbas aka Abu Mazen yang telah memenangi pilihanraya tersebut dengan undian melebihi 65% telah meninggalkan pencabar terdekatnya Mustafa al-Barghouti yang hanya mendapat 19%. Calon-calon yang lain pula telah mengalami kekalahan yang teruk, mungkin kerana faktor kepopularitian yang tidak mereka miliki. Yang yakinnya, Mahmoud Abbas adalah presiden PA yang sah dan halal dari kaca mata rejim Zionis yang utamanya, dan juga di kaca mata antara bangsa.
Kemenangan yang sudah dijangka. Masyarakat dunia tidak hairan dengan keputusan terbaru ini.
Ketika diminta mengulas tentang kejayaan Abbas, juru cakap gerakan Jihad Islamiyy telah memberikan komen bahawa kemenangan tersebut telah dijangka dan bukan rahsia lagi. Khalid al-Batsyh, juru cakap tersebut juga telah menyeru agar Abbas menggunakan ruang yang ada untuk menyatukan rakyat Palestin dari fraksi mana pun mereka. Jihad Islamiyy telah mengambil keputusan untuk memboikot pilihanraya pemilihan presiden PA yang telah berlangsung pada 9 Januari 2005 yang lepas. Bersama-sama mereka dalam usaha memboikot pilihanraya tersebut adalah gerakan popular rakyat Palestin, iaitu HAMAS.
HAMAS yang telah mengisytiharkan boikot mereka terhadap pilihanraya yang mereka dakwa adalah sebahagian daripada agenda Oslo 1993 walau bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen berhubung kemenangan Abbas. Mereka yang telah berikrar untuk menjaga kesatuan rakyat Palestin, berjanji akan memberikan kerjasama kepada mana-mana calon yang memenangi pilihanraya tersebut. Mungkin komen kedua-dua gerakan yang menjadi musuh utama rejim Zionis ini boleh melegakan Abbas yang sudah tentunya sekarang ini mencari-cari tapak untuk melegitimasikan kewujudannya secara de facto setelah dinobatkan sebagai pemimpin rakyat Palestin selepas Arafat secara de jure.
Persoalan yang timbul kini ialah corak apakah yang akan diambil oleh Abbas untuk menentukan langkahnya di dalam mewarnai masa depan Palestin dan perjuangan rakyatnya. Sejurus selepas kemenangannya, beliau telah bersumpah dan berikrar di hadapan pengikut-pengikutnya untuk memastikan kewujudan negara Palestin yang merdeka akan menjadi realiti dan bukannya utopia lagi. Beliau juga berjanji kota Baitul Maqdis akan dijadikan ibu kota negara tersebut. In jugalah merupakan janji Arafat kepada rakyat Palestin yang telah membuatkan dirinya terkurung di Ramallah dan akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir di atas prinsip tersebut. Apakah Abbas bersedia untuk menanggung nasib yang sama?
Ketika beliau dalam siri lawatannya ke kem-kem pelarian rakyat Palestin di Lubnan, Abbas juga telah berikrar di hadapan rakyat Palestin di sana untuk memperjuangkan resolusi Majlis Umum PBB 194 yang menjamin kepulangan rakyat Palestin ke bumi mereka. Beliau telah memberikan jaminan bahawa mereka semua akan pulang ke Palestin di bawah naungan negara Palestin yang merdeka yang beribu negarakan Baitul Maqdis. In jugalah yang telah diperjuangkan oleh Arafat sehingga beliau telah dicabutkan dari gelaran penaja keamanan kepada pengganas Arab lewat persefahaman Camp David 2000 yang gagal. Apakah Abbas sanggup membiarkan dirinya diberikan cap mohor ?pengganas? sedemikian rupa?
Lebih menarik dalam salah satu ucapannya lewat kempen pilihanrayanya di Gaza, Abbas telah berjanji untuk mempertahankan fraksi-fraksi penentangan rakyat Palestin seperti HAMAS, Jihad Islamiyy, Briged al-Aqsa dan Brigred Sarayaa al-Quds milik gerakan Fatahnya sendiri. Walhal sebelum itu beliau telah berjanji untuk memastikan tiada lagi serangan ke atas penduduk Yahudi yang menempai penempatan haram di Gaza dan juga menjamin bahawa tiada lai serangan-serangan akan dilancarkan oleh para pejuang tersebut ke arah kepentingan Zionis dengan apa cara sekalipun. Yang menarik lagi, di dalam salah satu ucapannya di Gaza selepas pembunuhan lebih 9 orang rakyat Palestin oleh tentera rejim di Khan Younis, beliau telah menghamburkan perkataan ?Musuh Zionis? yang tidak pernah sanggup dihamburkan oleh Arafat terhadap rejim Zionis sebelum ini. Sayangnya sehari selepas itu bila di temuramah di Tebing Barat oleh akhbar Maarezt berbahasa Ibrani beliau menjamin bahawa perdamaian di antara PA dan kerajaan rejim Zionis di bawah naungan Oslo 1993 akan terus beliau perjuangkan.
Unik dan pelik. Itulah kata-kata yang dapat diluahkan untuk menggambarkan pendirian seorang manusia bernama Mahmoud Abbas ini. Sebagai pengganti Arafat nampaknya beliau amat-amat berjaya mencontohi sikap pragmatisme mentornya. Walau apapun yang akan beliau lakukan di masa akan datang, yang pasti 90% rakyat Palestin di Lubnan telah menyatakan ketidak percayaan mereka bahawa Abbas boleh menjamin kelangsungan Intifadah yang telah berjaya membuatkan Sharon terpaksa mengundurkan tentera-tenteranya dari Gaza (menurut kajian oleh Kumpulan hak asasi manusia rakyat Paelstin di Lubnan). Mungkin terlalu awal untuk masyarakat antarabangsa menilai beliau kini, hanya sejarah yang akan membuktikan siapakah Mahmoud Abbas sebagai presiden PA yang halal dan sah.