Ulang tahun kelima kesyahidannya: Ahmad Yasin, meskipun lumpuh, kesyahidannya beri kekuatan kepada HAMAS.

Isnin,  23/03/2009 – Kesyahidan Syeikh Ahmad Yasin bukan satu peristiwa yang berlalu begitu sahaja. Bahkan ia adalah peristiwa besar yang mendapat perhatian mereka yang berjiwa merdeka di seluruh dunia. Ia juga menjadikan umat Islam dan bangsa Arab menyedari tentang bahaya sebenar yang dicernakan oleh regim Zionis terhadap bumi Palestin.

Kesyahidannya menyebabkan HAMAS mendapat sokongan yang besar, bukan dari kalangan rakyat Palestin sahaja, bahkan juga dari kalangan umat Islam dan bangsa Arab seluruhnya. Semua orang mula tertanya-tanya tentang HAMAS, suatu gerakan yang berjaya menggoncang regim Zionis penjajah. Lalu ia berjaya melebarkan pengaruhnya secara meluas, sehingga majoriti rakyat Palestin menyokongnya. Jika mereka tidak menjadi anggotanya, setidak-tidaknya mereka menyokong atau bersimpati kepada HAMAS. Ini adalah kerana perjuangan, keteguhan dan keberanian mereka mempertahankan bumi Palestin dan keengganan mereka menerima perdamaian ala Zionis.

Oleh itu, kesyahidan Syeikh Ahmad Yasin mempunyai pelbagai tindak balas dan kesan positif yang menunjukkan bahawa darahnya yang tumpah itu, memberikan momentum yang baru kepada perjuangan rakyat Palestin.

sumber : http://www.palestine-info.info/ar/
penterjemah : muhajir