Oleh Maszlee Malek
Rakyat Malaysia yang hidup selesa sekarang boleh tidak bertegur sapa jika tarikh hari jadinya dilupakan oleh seseorang yang amat penting di dalam hidupnya. Pasangan kekasih yang sering menjadi mangsa budaya Valentine sangat beriman supaya tarikh keramat tersebut wajib diingati dan di imarahkan. Kolumnis Palestinkini , Maszlee Malek mempunyai tarikh terbaru untuk diingati.
Siapa ingat 25 Februari ?, apakah signifikasinya ?, apakah yang istimewa sangat tentang tarikh tersebut?, sudah tentunya ianya bukan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan bukan juga hari pembentukan Malaysia. Ianya juga sudah pastinya bukan tarikh memperingati kekasih yang diwarisi dari agama paganisme yang kini disambut oleh ramai anak muda di seluruh dunia 11 hari sebelum itu. Ianya juga pastinya bukan tarikh sambutan hari wilayah. Maka, gerangan tarikh apakah ia?
Ianya adalah tarikh yang wajib diingati oleh setiap muslim yang sayangkan agamanya. Ianya adalah tarikh yang menyaksikan peristiwa berdarah yang agak tidak boleh diterima akal berlaku di zaman moden lagi bertamadun ini. Tarikh ini telah menyaksikan bagaimana lebih 60 orang jamaah yang sedang bersolat subuh telah terkorban manakala 300 yang lain telah cedera parah di Masjid Ibrahimi, di Khalil, Palestin (media antarabangsa walau bagaimanapun hanya mengambil laporan rasmi kerajaan Zionis yang hanya melaporkan 29 terbunuh tanpa menyatakan bilangan yang tercedera). Baruch Goldstein, seorang ekstrimis Yahudi dari gerakan radikal Kach dan juga seorang doktor perubatan dari kawasan Kiryat Arba (sebuah penempatan Yahudi di pinggir bandar tersebut semenjak tahun 1967 yang diasaskan oleh Rabbi Moshe Levinger) telah bertanggung jawab me lakukan jenayah tersebut.
Wajah Baruch Goldstein yang bertanggungjawab membunuh rakyat Palestin pada 25/2/1994
Masjid Khalil merupakan masjid di mana terletaknya makam Nabi Allah Ibrahim. Nabi yang dipersetujui oleh keiga-tiga agama besar, Islam, Kristian dan Yahudi sebagai bapa para nabi (Abu Anbiya). Nabi ini jugalah yang dikejar oleh ketiga-tiga agama ini untuk mendapatkan sandaran kepada beliau untuk mengesahkan kesahihan agama mereka. Kisah Nabi Ibrahim yang amat panjang dan menarik itu sarat dengan tauladan. Terdapat banyak persamaan di antara cerita Nabi Ibrahim di dalam Old Testament dan juga al-Quran. Nabi yang berasal dari Iraq ini telah diperintahkan oleh Allah untuk berhijrah ke bumi Kan?an (Palestin), kemudiannya ke Mesir. Dari Mesir, baginda kemudian pulang semula ke bumi Kan?an dan menetap di sana sehingga baginda wafat. Beliau wafat di sebuah tempat yang kini dikenali sebagai Ma?arat Hamachpelah dan kemudiannya dinamakan di zaman Islamnya sebagai al-Khalil di dalam bahasa Arabnya yang bermaksud teman yang setia, iaitu gelaran yang telah Allah berikan kepadanya (Khalil al-Rahman ? teman Allah yang setia. Ianya juga dikenali sebagai Hebron di dalam bahasa Inggeris.
Di makamnya, dibina sebuah masjid yang dinamakan bersempena Nabi yang mulia ini, iaitu ?Masjid Ibrahimi?. Masjid inilah yang menjadi tempat kunjungan para Muslim semenjak zaman pemerintahan Islam di sana jika mereka berpeluang menziarahi Palestin, Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa. Masjid inilah yang menjadi antara khazanah dan tapak ziarah umat Islam semenjak zaman berzaman. Tapak ini jugalah yang menjadi kepercayaan kaum Yahudi bahawa ianya makam Ibrahim, Sarah, Hajar, Yaakob dan juga Ismail, dan sehingga kini digelar sebagai ?Machpelah cave? oleh orang-orang Yahudi. Menariknya, kaum Yahudi bebas tinggal di sini semenjak zaman pemerintahan Islam lagi sehinggalah pada Ogos tahun 1929 apabila tercetusnya kekecohan oleh pendatang Yahudi dari Eropah yang telah menawan tembok Burak di Masjid al-Aqsa dan menukarkannya menjadi ?Kotel? (tempat meratap) mereka. Tindakan mereka ini telah menimbulkan keadaan huru-hara dan pertempuran di antara pendatang serta pengganas Yahudi yang datang dari Eropah dengan penduduk asal Palestin iaitu orang-orang Arab, samada Muslim mahpun Kristian. Kekecohan ini telah menyebabkan penduduk asal al-Kahlil berbangsa Arab telah membunuh lebh kurang 60 para pendatang dan pengganas Yahudi di sana. Semenjak peristiwa itu kaum Yahudi tidak dibenarkan mendiami kawasan tersebut sehinggalah pada tahun 1967.
Kesan kekalahan pihak Arab kepada Israel pada perang enam hari 1967, sekumpulan Yahudi ekstrimis diketuai oleh Rabbi Moshe Levinger yang menyamar sebagai pelancong telah mendiami kawasan tersebut dan enggan meninggalkannya. Namun akhirnya mereka bersetuju untuk meninggalkan bandar al-Khalil setelah dipujuk oleh kerajaan rejim Zionis dengan diberikan penempatan baru di sebuah perkampungan bersebelahan dengan bandar tersebut yang bernama Kiryat Arba. Semenjak itu juga mereka bebas untuk menunaikan ibadat mereka di makam Ibrahim yang dikenali juga sebagai ?The Cave of Patriach? seperti yang diimani oleh pihak Yahudi dan Kristian seperti yang terkandung di dalam kitab Genesis di dalam Old Testament ataupun dinamakan sebagai Torah oleh orang-orang Yahudi. Mereka dipercayai telah terpengaruh dengan hasutan Rabb i Kook Jr., pemimpin puak ekstrimis Yahudi yang telah menyeru kaum Yahudi agar segera membentuk ?Erezt Yizrael ha Shemla? (Negara Israel yang sempurna), dimana bandar al-Khalil merupakan salah satu daripada kawasan yang wajib berada di dalam negara tersebut, kerana itulah tapak awal kerajaan David seperti yang diceritakan di dalam kitab Genesis.
Masjid Ibrahimi yang terletak bersebelahan dengan makam Ibrahim ini, di zaman Moshe Dayan telah dibahagikan kepada dua bahagian, satu untuk masjid, dan satu lagi untuk synagogue (rumah ibadat) orang Yahudi. Ini berdasarkan keputusan kerajaan rejim Zionis pada waktu itu yang melarang kaum Yahudi dari beribadat di Mount of Olive, di mana terletaknya Kubah Sakhra, di dalam Masjid al-Aqsa.Semenjak itulah bilangan penduduk Yahudi dan pengunjung Yahudi ke kawasan tersebut semakin bertambah saban hari. Keadaan bertambah parah selepas perjanjian Oslo 1993. Melalui perjanjian tersebut, kawasan-kawasan bersejarah yang dianggap suci oleh agama Yahudi diserahkan pentadbirannya secara keseluruhannya kepada rejim Zionis. Ini bermakna, tentera-tentera mereka ditempatkan di kawasan-kawasan tersebut untuk berkawal. Antara kawasan-kawasan tersebut ialah makam Nabi Ibrahim itu sendiri, makam Nabi Yusuf di Nablus dan juga makam Rachel di Bethlehem.
Keadaan ini berterusan sehinggalah pada subuh hari Jumaat, 25 Februari 1994 bersamaan dengan 15 Ramadhan 1415, seorang ekstrimis Yahudi, Dr. Baruch Goldstein dari kumpulan ekstrimis Kahaneh telah melakukan keganasannya di masjid Ibrahimi dengan melepaskan tembakan ke arah para jamaah yang sedang menunaikan solat subuh hari tersebut. Hari itu kebetulan pula merupakan hari perayaan Purim oleh kaum Yahudi. Goldstein, seorang doktor yang berasal dari Brooklyn, New York dan pengikut setia ajaran Rabbi Meir Kahane itu kemudiannya telah dipukul oleh para jamaah yang terselamat yang telah menyebabkan kematiannya. Di makamnya, para pendokong Kahaneh, gerakan pengganas Yahudi yang disertainya tertulis bahawa dia adalah ?syahid? yang telah dipilih oleh tuhan Yahweh pada tarikh suci per ayaan Purim mereka pada 14 Adar tahun 5754 Yahudi.
Bagi penduduk Yahudi Israel secara umumnya, Goldstein dianggap sebagai hero dan syahid mereka. Dia telah dijolok dengan gelaran: ?Baruch Ha-Gever? yang bermakna ?Baruch lelaki sejati?. Ianya juga bermakna ?Baruch lelaki yang diberkati (tuhan)?. Tidak hairanlah selepas hanya beberapa tempoh, beliau telah dinobatkan pula sebagai wali, di mana kuburnya telah dijadikan tempat bersejarah dan makam yang dibesarkan. Para ekstrimis Yahudi menjadikan upacara ziarah sebagai kemestian jika mereka berkunjung ke bandar al-Khalil selepas mereka pulang dari makam Nabi Ibrahim.
Agak menarik, selepas peristiwa berdarah ini sepatutnya Palestine Authority (PA) bersikap lebih tegas terhadap rakan mereka, rejim Zionis terhadap isu bandar al-Khalil dan juga makam Nabi Ibrahim. Sebaliknya pula yang berlaku, seperti yang dikesali oleh mendiang Edward Said di dalam bukunya ?The End of The Peace Process?, Arafat telah bersetuju untuk memberikan kekuasaan terhadap tentera rejim untuk berkuasa di bandar al-Khalil melalui perjanjian Taba yang ditandatanganinya dengan rejim Zionis. Lebih menarik lagi ianya berlaku walaupun Arafat telah dinasihatkan oleh Datuk Bandar al-Khalil, Natshe seorang Yahudi agar tidak menandatangani perjanjian tersebut. Hasilnya, para tentera rejim berkuasa dan memenuhi setiap ruang bandar al-Khalil di atas alasan menjada keselamatan penduduk Yahudi yang rata-ratanya dari golongan ekstrimis mereka di sana. Lebih menghangatkan hati lagi, pada Januari tahun 1997, persetujuan ?Hebron? di antara rejim Zionis dan PA telah berlangsung. Pada zahirnya, ia menunjukkan seolah-olah pihak rejim telah menyerahkan bandar al-Khalil kepada PA, iaitu dengan menyerahkan sebilangan besar daripada kawasan bandar tersebut untuk ditadbir oleh P.A. Pada hakikatnya Masjid Ibrahimi sebagai gantinya, telah diserahkan oleh PA kepada rejim secara keseluruhannya. Persetujuan ini telah menyaksikan bagaimana kawasan synagogue Yahudi telah dibesarkan dan kawasan masjid Ibrahimi atau kawasan solat orang Islam semakin mengecil. Lebih parah lagi, bilangan tentera rejim Zionis yang mengawal kawasan masjid dan makam semakin bertambah.
Jika anda berpeluang untuk menziarahi masjid Ibrahimi hari ini, pasti anda akan bertanyakan kepada diri anda, adakah ini masjid atau syanagogue???
Tambahan:
1) Senarai mereka yang dapat dikenal pasti terkorban sejurus peristiwa tersebut:
1. Abdel Rahim Abu Sneineh
2. Abdul Haq Jabari
3. Ahmad Abdullah Abu Sneineh
4. Akram Kafisheh
5. Akram Joulani
6. Ala’ Badr Abdul Jalil Taha Abu Sneineh
7. Amjad Abdallah Sandal
8. Arafat Musa Burkan
9. Arafat Mahmoud Bayid
10. Atiyeh Mohammad Salameh
11. Ayed Abu Hadid
12. Ayman Ayoub Qawasmi
13. Diab Karaki
14. Diab Muhtasab
15. Fawaz Zughair
16. Hamad Abu Nijmeh
17. Hatem Qader Fakhouri
18. Ismail Kafisheh (ditembak di kepala)
19. Iyad Karaki
20. Jamil Ayed Natsheh
21. Kamal Jamal Kafisheh
22. Khairi Aref Abu Hadid
23. Khaled Halaweh Abu Sneineh
24. Ki fah Abdul Mu’az Marakeh
25. Marwan Abu Shareh
26. Marwan Mutluk Abu Nijmeh
27. Mohammed Sadeq Abu Zanoun
28. Nader Zahdi
29. Nimer Mohanmmad Nimer Mojahed
30. Nour Ibrahim Muhtasib
31. Raed Mohammed Natsheh
32. Raji Arafat Rajabi
33. Raji Gheith
34. Saber Katbeh
35. Salim Idris
36. Sufian Zahdeh
37. Suleiman Awad Jabari
38. Talal Dandis
39. Tareq Abu Sneineh
40. Tariq Abdeen
41. Wael Obeid Muhtasib
42. Walid Abu Hamdiyeh
43. Yasser Diab Kafisheh
44. Yazen Abdul Mu’ti Marakah
45. Yusef Hroub (tidak pasti)
46. Zeidan Jabber
47. Zein Gheith
48. Ziad Kafisheh
Lebih berpuluh lagi dilaporkan mati kesan dari peristiwa tersebut dan nama-nama mereka tidak dapat dipastikan.
(sumber: Palestine Human Rights Information Center (PHRIC), Februari 1994)
2) Antara senarai empat kanak-kanak yang telah mengalami kecederaan yang parah :
1) Muhanned Shaher Abu Hadid, 9, telah ditembak dimulut, dan mengalami kecedraan yang parah,
2) Sari Awad Jabari, 8, ditembak di dada, manakala abangnya telah mati terlebih dahulu.
3) Farhat Hussein Jabari, 7, ditembak di kedua-dua belah kaki.
4) Hamzi Arafat Deik, 14, telah ditembak dibahu.
(sumber: Palestine Human Rights Information Center (PHRIC), Februari 1994)
3) Pengakuan saksi:
1) Suleiman Abu Saleh, pengawal masjid tersebut telah memberitahu PHRIC di dalam wawancaranya dengan badan tersebut:
?Pada pukul 5:30 pagi hari tersebut, ketika saya sedang bersiap untuk menunaikan solat subuh, saya telah didatangi oleh seorang penduduk Yahudi yang lengkap dengan pakaian tentera Israel dengan tiga calit di bahunya (berpangkat Sarjan). Saya telah cuba menghalangnya tetapi dia mengatakan bahawa dia adalah tentera Israel yang bertugas di Masjid tersebut. Dia terus menghentak dada saya dengan senapang yang dipegangnya, sya tejatuh, dan pada waktu itulah dia menyerbu masuk ke tempat orang Islam sedang bersolat dan melepaskan tembakan, saya terdengar dia menggantikan kelopak pelurunya sebanyak dua kali.
Saya terus bergegas keluar untuk mendapatkan tentera-tentera Israel lain yang sepatutnya sentiasa berada di luar kawasan masjid untuk mengawal para pengunjung Yahudi yang pergi ke Synagogue mereka. Hanya ada empat orang sahaja, kebiasaannya bilangan mereka lebih dari itu. Mereka tidak mengendahkan saya, malah mereka menutup jalan di antara pintu masuk masjid dan laluan masuk ke synagogue. Laluan untuk ke pejabat di mana terdapatnya telefon di kawasan masjid juga telah ditutup oleh mereka. Pada waktu itu saya cuba berlari ke dalam untuk melihat apa yang telah berlaku tetapi telah dihalang, begitu juga dengan pengawal-pengawal lain yang cuba membawa para jamaah yang cedera parah. Tujuh orang telah mati di waktu itu. Ambulans hanya dating setelah hampir sejam peristiwa tersebut berlaku. Selepas itu sekumpulan tentera Israel bergegas masuk ke dalam kawasan masjid untuk melindungi warga Yahudi dari diapa-apakan?.
(sumber: Palestine Human Rights Information Center (PHRIC), Februari 1994)
2) Saksi kedua, pemandu teksi Ashraf Mitzab yang telah menyelamatkan empat orang yang tercedera pada peristiwa tersebut :
?Terdapat lebih kurang 600 sehingga 700 jamaah yang sedang menunaikan solat pada hari itu. Ketika para jamaah sedang sujud, seorang warga Israel yang lengkap berpakaian tentera telah menyerbu masuk dan melepaskan tembakan secara rambang, dia sempat menukar kelopak pelurunya. Ketika itu para jamaah yang terselamat cuba melarikan diri, tetapi mereka telah dihalang oleh tentera yang menyerbu masuk dan melepaskan tembakan kearah mereka. Saya tidak dapat memastikan berapa ramai yang terkorban dibunuh oleh orang yang pertama tadi dan berapa ramai yang terkorban di tangan para tentera Israel yang menyerbu masuk itu. Ianya berlaku serentak.
Para tentera menghalang para jamaah dari keluar, dan menghalang orang luar dari masuk. Pada waktu itu saya sempat menyelamatkan empat orang yang telah cedera tetapi berjaya melepasi kawalan tentera. Saya bawa mereka menuju teksi saya, kereta saya telah ditembak, namun kami berjaya melepaskan diri juga. Salah seorang dari mangsa tersebut telah mengalami cedera yang parah di kepalanya. Kereta saya juga telah ditembak dari arah bangunan Daboyya, tiada sesiapa di Bandar ketika itu, dan kelihatan helicopter milik tentera Israel sedang menyembur gas pemedih mata ke seluruh kawasan Bandar (untuk menghalang sebarang tindak balas dari penduduk Bandar tersebut). Kereta saya dan juga ambulans yang berada di belakang kami telah ditahan pula selepas itu di pos kawalan tentera Israel di Beyt Ummar?.