Rabu , 22/07/2009 – Seorang anggota Biro Politik HAMAS, Mahmoud al-Zahhar menegaskan kedegilan Fatah menyebabkan dialog nasional tertangguh ke tarikh 25 Ogos akan datang, sebagaimana jika Fatah terus dengan polisinya, maka perdamaian tidak akan dapat dicapai.
Al-Zahhar berkata dalam satu kenyataan pada hari Isnin (20/7): “Kedegilan Fatah dalam pendiriannya dan penarikan semula persetujuan yang telah dicapai adalah sebab kenapa dialog tersebut ditangguhkan. Ia juga menyebabkan perantara Mesir percaya bahawa pertemuan-pertemuan dua hala antara HAMAS dan Fatah, atau antara perantara Mesir dengan Fatah tidak akan memberikan sebarang faedah dalam keadaan sekarang.”
Dalam masa yang sama, al-Zahhar menegaskan bahawa HAMAS telah memberikan kelonggaran yang dikehendaki bagi menjayakan dialog nasional tersebut. Contoh paling nyata ialah persetujuan HAMAS untuk mengubah sistem pilihanraya sedia ada yang terdiri daripada 50% nisbah undian dan 50% kawasan pilihanraya kepada sistem 60% nisbah undian dan 40% kawasan pilihanraya. Sebagaimana HAMAS juga bersetuju dan menerima pembentukan jawatankuasa keselamatan bersama, tetapi pelaksanaannya hendaklah dilaksanakan secara berperingkat.
sumber : http://www.palestine-info.info/ar/
penterjemah : muhajir