Tamimi, ISESCO kutuk kenyataan Ahli Kongres Amerika hancurkan Mekah dan Madinah

Jumaat, 22/07/2005 – Ketua Hakim Palestine, Sheikh Tayseer Al-Tamimi, menyelar kenyataan biadap yang dibuat oleh seorang ahli kongress Amerika Syarikat yang mencadangkan agar dimusnahkan
Tanah Suci Mekah dan Madinah di Arab Saudi.

Sheikh Tamimi mendakwa bahawa kenyataan-kenyataan seperti ini menggambarkan kebencian yang berbaur perkauman terhadap Islam dan umat-umat Islam serata dunia. Beliau juga menuduh Pihak Pentadbiran Amerika menggalakkan sentimen-sentimen ini dikeluarkan bagi menjayakan kempen ‘anti-keganasan’nya.

Tamimi juga memberi amaran bahawa segala bentuk penghinaan terhadap Islam hanya akan
membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia. Umat Islam tidak akan berdiam diri
sekiranya perihal agama mereka dihina dan dicaci dan, di dalam konteks ini, Kiblat mereka
turut dijadikan mangsa.

Beliau juga menuntut agar Washington memohon maaf dan dipertanggungjawabkan sekira
berlakunya insiden-insiden yang tidak diingini.

Sheikh Tamimi juga mengajak badan-badan Islam dan masyarakat antarabangsa secara amnya
untuk mengamalkan pendekatan yang lebih positif bila berhadapan dengan kenyataan-kenyataan
provokatif bagi mengelakkan peperangan dan kebencian di antara agama.

Dalam isu yang sama, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Islam (ISESCO) turut
mengeluarkan kenyataan bagi menyuarakan kebimbangan terhadap kenyataan ahli kongres
terbabit.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh ISESCO mendakwa ahli kongres tersebut sebagai ‘ekstrimis’
dan kenyataan beliau hanya mencerminkan ideologi fanatik yang hanya membuahkan keganasan.
Pertubuhan tersebut juga berpendirian bahawa kenyataan-kenyataan seperti ini hanya
akan memburukkan hubungan Amerika dengan Dunia Islam dan menyeru agar Dunia Islam
menolak kenyataan itu.