Demonstrasi di Palestin Setelah Penjara Terbakar

Rabu, 27/07/2005 – Orang ramai menghadiri demonstrasi yang diadakan di Bandar Gaza bagi memberikan sokongan moral kepada ahli keluarga dan saudara-mara mereka yang masih ditahan di dalam beberapa buah penjara Israel.


Orang ramai yang menghadiri demonstrasi yang diadakan pada hari Isnin itu turut membidas
layanan buruk yang diterima oleh tahanan dan menuduh Pengurusan Penjara bertanggungjawab
di dalam insiden kebakaran yang berlaku pada Hari Ahad lepas sehingga menyebabkan kebanyakan kem-kem dan harta tahanan musnah di penjara Negev. Sambil melaungkan slogan anti-Israel, mereka menuntut agar Kerajaan Israel membebaskan kesemua tahanan yang dipenjarakan.

Insiden kebakaran berkenaan membuktikan bahawa Israel tidak menghiraukan kesengsaraan dan
kezaliman yang berlaku ke atas tahanan Palestin di dalam penjara-penjara dan kem tahanan
mereka. Tempoh tahanan yang dikenakan ke atas orang yang ditahan adalah diantara 3 – 6 bulan.

Dalam masa yang sama, Knesset Israel (Parlimen Israel) telah pun meluluskan undang-undang
yang tidak membenarkan tahanan berjumpa dengan peguam mereka sehingga proses soal siasat selesai atau sehingga hukuman telah pun dijatuhkan.

Pertubuhan Perundangan Palestin menyifatkan tindakan Israel ini sebagai langkah untuk
memutuskan sebarang hubungan di antara tahanan dengan pihak luar bagi menyembunyikan
jenayah dan kezaliman yang berlaku di penjara-penjara berkenaan.

Sehubungan itu, kelab yang ditubuhkan oleh tahanan dan bekas-bekas tahanan juga mengutuk
undang-undang tersebut kerana ia melanggar resolusi antarabangsa dan undang-undang hak
asasi manusia.

Kelab tersebut juga mendakwa bahawa undang-undang berkenaan menafikan hak para tahanan untuk berjumpa dengan peguam mereka dan hanyalah polemik bagi pihak Israel untuk
meneruskan kezaliman mereka.