Khamis, 20/05/2010 – Pendedahan yang dilakukan oleh seorang pegawai keselamatan Mesir tentang keadaan penahanan yang dialami oleh tahanan Palestin dalam penjara Mesir amat mengejut dan memeranjatkan. Beliau menjelaskan secara terperinci cara-cara yang digunakan dalam sesi penyiasatan dan penyeksaan yang dilakukan oleh pihak perisikan Mesir yang disifatkan beliau sebagai tindakan penyeksaan luarbiasa.
Pegawai Mesir itu yang tidak mahu mendedahkan identitinya memberitahu agensi berita al-Quds Press, bahawa pimpinan pihak keselamatan Mesir meminta agar ketika soal siasat dijalankan terhadap tahanan Palestin, fokus diberikan kepada struktur hirarki HAMAS serta tempat Gelad Shalit ditahan. Beliau juga menegaskan bahawa al-Syahid Yusuf Abu Zuhri, adik jurucakap rasmi HAMAS, Dr Sami Abu Zuhri, telah dibunuh di beranda ibupejabat pihak keselamatan Mesir di Kaherah.
Mengenai keadaan penjara yang menjadi tempat tahanan rakyat Palestin pula, pegawai pentadbiran pihak keselamatan Mesir di Kaherah itu menjelaskan bahawa keadaannya amat teruk. Tahanan Palestin diletakkan dalam sel-sel yang berasingan seperti stor yang terletak di antara sel-sel yang menempatkan penjenayah-penjenayah Mesir yang ditahan kebiasaannya atas kesalahan membunuh dan memperdagang dadah.
sumber : http://www.palestine-info.info/ar
penterjemah : muhajir