Israel Merancang Membawa Masuk 40,000 Yahudi Dari Belgium

Khamis, 04/08/2005 – Kerajaan Israel menggiatkan kempennya bagi menarik lebih ramai orang yang berbangsa Yahudi di Belgium untuk menetap di wilayah-wilayah yang ditaklukinya di Palestin. Media Israel turut mendedahkan bahawa Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon, bercita-cita untuk membawa masuk lebih dari satu juta kaum Yahudi untuk menetap di Palestin menjelang 2015.

Akhbar berbahasa Inggeris, Jerusalem Post, melaporkan bahawa Kerajaan Ariel Sharon kini
meningkatkan usaha bagi menarik lebih daripada 40,000 orang berbangsa Yahudi di Belgium untuk menetap di negara yang ditakluki itu. Persidangan yang diadakan di antara Agensi Yahudi (Sedunia) dengan perwakilan kaum Yahudi dari Belgium turut membincangkan soal insentif bagi menarik lebih ramai kaum Yahudi untuk berpindah.

“Kami akan mengarahkan Agensi Yahudi untuk menggandakan usaha mereka bagi menarik minat orang-orang Yahudi yang menetap di Belgium untuk berpindah ke sini (Israel) di dalam kesedaran bahawa berlakunya propaganda anti-yahudi di sana”, ujar Menteri Luar Israel.

Sementara itu, media Israel turut melaporkan kemungkinan berlakunya perbalahan di antara
Pihak Tentera Israel dengan penduduk-penduduk Yahudi yang enggan meninggalkan kediaman mereka di dalam proses pengunduran Israel dari Semenanjung Gaza.

Menteri Perumahan Israel, Yitzhak Herzog berkata,” kami akan mencuba sedaya-upaya untuk
meyakinkan lebih daripada 9,000 penduduk yang terlibat di dalam proses pengunduran ini untuk
meninggalkan wilayah tersebut sebelum pertengahan bulan ini secara sukarela. Sekiranya gagal,
mereka akan dipaksa untuk berbuat demikian.