Dr. Solah Syahadah .. In Person

Dr Solah Syahadah ? Siapakah gerangan pemuda ini ? Kenapa Maszlee Malik begitu teruja mengutarakan kisah hidup beliau ?

Apabila disebutkan HAMAS, terlintas di kotak pemikiran para pecinta perjuangan Islam kepada susuk tubuh lemah Syeikh Ahmad Yassin dan juga muka tegas dan serius “Singa Paelstin”, Dr A. Aziz al-Rantissi. Mereka berhak mendapat penghormatan sedemikian rupa kerana jasa mereka yang tidak terhingga kepada rakyat Palestin dan juga perjuangan membebaskan bumi Palestin daripada penjajahan rejim Zionis yang zalim. Tanpa disedari ramai, terdapat satu lagi nama yang tidak kurang pentingnya di dalam sejarah gerakan perjuangan kemerdekaan Palestin HAMAS, iaitu Dr Solah Syahadah. Siapakah beliau?

Beliau merupakan mantan pemimpin tertinggi sayap komando HAMAS yang amat digeruni Israel, iaitu komando al-Qassam. Malah lebih tepat lagi jika dikatakan, beliaulah yang menubuhkan sayap komando tersebut di dalam gerakan HAMAS. Beliau telah menjadi buruan rejim Israel semenjak terletusnya Intifadah pertama pada tahun 1987. Beliau juga dikatakan sebagai pengasas sayap ketenteraan HAMAS sebelum wujudnya beriged al-Qassam yang dikenali sebagai ?Mujahidun Filistiniyun?. Sayap ketenteraan ini telah berjaya mengorbankan ramai tentera rejim Zionis sebelum gerakan al-Qassam ditubuhkan secara rasmi dengan mengumpulkan lebih ramai kader dan para komando terlatih.

Disebabkan kejayaan ? kejayaan operasi yang dilancarkan oleh briged komando al-Qassamlah Israel sentiasa memburu lelaki ini. Beliau pernah dipenjarakan oleh musuhnya beberapa kali. Selain daripada itu, beliau juga telah berjaya melepaskan diri daripada beberapa percubaan membunuhnya. Walau bagaimanapun, Allah lebih menyayangi beliau apablia beliau menemui ajalnya sebagai seorang syahid pada 23 Julai 2002 akibat dibedil dengan roket oleh helikopter Apache milik tentera rejim Zionis. Bedilan tersebut telah menghancurkan apartmen yang beliau diami dan telah meragut banyak nyawa termasuklah isteri beliau, anak ? anak dan juga mereka yang mendiami bangunan tersebut. Sehingga kini, bagi rakyat Palestin, jika disebutkan briged al-Qassam, pastinya wajah Dr Solah Syahadah akan segera menjelma di kotak pemikiran mereka.