Mantan Ekstrimis Yahudi memeluk Islam

Selasa, 16/08/2005 –Mantan ekstrimis Yahudi dan juga peminat Baruch Goldstein (pengganas Zionis yang telah membunuh lebih 29 muslim di Masjid Ibrahimi pada tahun 1994), telah mengisytiharkan kepada rakyat Israel (baca: Negara Palestin yang dijajah) di sini, bahawa beliau telah menjadi seorang muslim.

Michael Shorovsky, yang pernah menetap di Kiryat Arba’a di Khalil (Hebron), sekampung dengan Goldstein telah mengubah namanya kepada Michael Muhammad Mahdi dan telah berpindah ke perkampungan Arab di kawasan Abu Ghosh di Barat Baitul Maqdis.

Di dalam salah satu temubual di Radio Cal Yisrael, salah sebuah radio milik kerajaan pada beberapa bulan yang lalu, beliau telah menceritakan kisah silamnya sebelum Islam. Beliau menceritakan bagaimana beliau amat kagum dengan Baruch Golstein dan menyokongnya sepenuh hati, terutamanya tindakan berani beliau menyerang umat Islam yang sedang bersolat di Masjid Ibrahimi di Khalil pada 25 Februari 1994. Katanya ketika ditemuramah: “Saya amat-amat mengkagumi keberanian beliau!”.

Dia menceritakan lagi bagaimana beliau, seperti orang Yahudi yang lain, sentiasa meludah ke arah mana-mana orang Arab yang mereka temui di jalan sewaktu berada di Hebron. Walau bagaimanapun, semua senario tersebut telah berubah beberapa tahun yang lalu ketika beliau menghantar keretanya ke bengkel milik seorang rakyat Palestin untuk dibaiki.

Beliau menceritakan bagaimana beliau telah melayan warga Palestin itu dengan begitu kasar dan telah menghinanya serta agamanya, namun rakyat Palestin tersebut hanya membalas segala perlakuan kasarnya itu dengan senyuman sahaja. Akhlak mekanik berbangsa Palestin itu telah membuatkan dia binggung dan merasa malu dengan dirinya sendiri. Dia mula bertanyakan dirinya: “Mengapa aku bertindak sedemikian rupa?, dan apakah pula yang menyebabkan rakyat Palestin itu bertindak sedemikian mulia?”.

Adakah ramai lagi Yahudi akan bertindak memeluk Islam ?


Enigma tersebut telah membuatkan Shorovosky berminat untuk mengetahui tentang Islam yang begitu dibencinya dahulu. Dia telah membeli buku-buku mengenai Islam di Baitul Maqdis dan mengkaji mengenai Islam dari buku-buku tersebut. Ternyata apa yang terkandung dalam Islam itu telah memagut hatinya. Selepas beberapa bulan mengkaji tentang Islam, akhirnya beliau mengambil keputusan untuk memeluk Islam.

“Saya dapati bahawa Islam adalah agama yang benar, saya telah bertemu dengan jawapan-jawapan yang saya cari di dalam al-Quran dan tidak saya temukannya di dalam Torah selama beberapa tahun. Islam adalah agama untuk manusia sejagat!”,kata beliau di dalam temuramah tersebut.

Apabila beliau ditanyakan, “Adakah beliau akan menjadi muslim yang ekstrimis kerana beliau pernah menjadi Yahudi yang ekstrimis”, beliau menjawab: “Setahu saya, Islam bukanlah agama yang ekstrim!”. Tambahnya lagi: “Apabila saya menunaikan solat saya di masjid Ibrahimi, saya tidak dipandang janggal, malah saya diterima oleh semua dengan hati yang terbuka”.

Apabila beliau ditanyakan tentang “Pengebom Berani Mati” yang telah meragut nyawa banyak rakyat Israel, katsanya: “Ianya bukanlah sesuatu yang asal dari Islam, tetapi lebih merupakan aksi tindak balas (seperti boomerang) kepada kekejaman dan keganasan pihak Israel terhadap rakyat paelstin yang tidak berdosa”.

Shorovsky, yang telah berkahwin dengan seorang wanita muslim berketurunan Rusia dari wilayah Azerbaijan ini benar-benar telah memeranjatkan komuniti Yahudi di Israel (baca: Negara Palestin yang dijajah), dan semoga ramai lagi yang akan mengikuti jejak langkahnya.