OIC Puji Kejayaan Palestin, Gesa Lebih Banyak Pengunduran Israel

Jumaat, 19/08/2005 – Setiausaha Agung Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) Prof. Ekmeleddin Ihsan Ohglo, menjelaskan bahawa pengunduran Israel dari Semenanjung Gaza seharusnya dilakukan
secara komprehensif dan menyeluruh tanpa menjejaskan penyatupaduan Gaza dan Tebing Barat.

Beliau berkata demikian di dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada rakyat Palestin
bagi mengucap tahniah berhubung dengan proses pengunduran Israel dari wilayah tersebut.
Beliau juga menekankan bahawa proses ini harus melibatkan pengunduran Israel daripada
laluan udara, laut dan darat wilayah terbabit. “Pengunduran Tentera Israel dan juga
penduduk-penduduk Yahudi dari Gaza dan Tebing Barat adalah satu langkah positif bagi
mengembalikan semula hak Rakyat Palestin,” ujar beliau.

Beliau turut menggariskan bahawa pengunduran ini boleh diambilkira sebagai sebahagian
daripada Pelan Damai dan harus disusuli dengan proses-proses pengunduran Israel dari
beberapa wilayah yang ditaklukinya (termasuk Timur Jerusalem) serta penghapusan
petempatan haram Yahudi dan tembok pemisah, memberhentikan kekejaman yang dilakukan
oleh rejim Zionis terhadap penduduk awam dan juga pembebasan semua tahanan rakyat Palestin dari penjara-penjara Israel.