Rabu , 21/07/2010 – NGO Turki, IHH, penganjur Armada Kebebasan ke Gaza pada Mei lepas, mengumumkan bahawa usaha untuk memberi bantuan kepada penduduk Gaza akan tetap diteruskan. Bulent Yildrim, pemimpin IHH, berkata pada satu persidangan yang diadakan di Istanbul, “Lebih banyak armada akan menuju ke Gaza pada bulan-bulan yang akan datang dan ditambah lagi dengan konvoi daratan. Pemberitahuan ini akan disertai lagi dengan lebih banyak kejutan yang akan didedahkan tidak lama lagi.” Dalam pada itu, seorang jurucakap IHH telah mengumumkan dalam satu temubual dengan sebuah akhbar berbahasa Arab bahawa “Semua ahli keluarga mereka yang telah syahid (dalam serangan ke atas armada oleh Zionis pada Mei lalu) telah menyatakan hasrat mereka untuk turut serta dalam armada yang akan datang.”
Selepas serangan rejim Zionis ke atas Armada Kebebasan pada 31 Mei lepas yang mengorbankan 9 orang rakyat Turki, rejim Zionis telah melonggarkan beberapa sekatan ke atas Gaza yang telah berlarutan sejak Hamas mengambil alih tampuk pemerintahan ke atas Semenanjung Gaza pada 2007. Walaubagaimanapun, sekatan ke atas perairan Gaza masih dikuatkuasakan. Terdahulu, pada 2 hari lepas, sebuah kapal bantuan milik Libya yang dalam perjalanan menuju ke Gaza telah diarahkan berlabuh di Pelabuhan El-Arish, Mesir selepas telah dihalang menghampiri Gaza oleh 8 buah kapal perang tentera rejim Zionis.
Semasa persidangan di Istanbul yang telah disertai oleh aktivis-aktivis Islam dan para peguam, Yildrim menegaskan bahawa, “Hubungan awam rejim Zionis sangat kuat dan kita juga mesti bertindak seperti mereka (menguatkan hubungan).”
sumber : Palestine News Network
penterjemah : salwa