Categories
Berita Semasa

Wakil Rakyat Knesset cemarkan kesucian al-Quds

Sabtu,  24/07/2010 – Seorang ahli parlimen Zionis (Knesset) dari Parti Likud yang memerintah, yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu telah mencemarkan kesucian kawasan al-Quds pada hari Selasa (20/7). Ahli parlimen tersebut, Danny Danone telah menceroboh halaman al-Quds dengan dilindungi oleh sepasukan besar polis Zionis. Beliau juga menyeru agar orang-orang Yahudi diberikan lebih banyak kebebasan.

Sekumpulan rakyat Palestin yang marah berhimpun di bahagian dalam Masjid al-Aqsa dan melaungkan takbir (Allahu Akbar) semasa lawatan Danone yang dikelilingi oleh beberapa pegawai polis bersenjata. Mereka juga mahukan Danone dihalau dari kawasan tersebut. Lawatan itu memakan masa selama kira-kira satu jam di tengah kemarahan membuak-buak rakyat Palestin.

Danone berkata kepada wartawan, berdekatan dengan dinding al-Buraq sebelum menceroboh halaman Masjid al-Aqsa bahawa lawatannya adalah sempena kenangan sembilan Ogos iaitu hari kuil Yahudi diruntuhkan pada zaman Rom, menurut dakwaannya.

Para wartawan bertanya adakah lawatannya itu akan menyebabkan berlaku ketegangan, beliau menjawab, “Saya tidak melihat sebarang provokasi dalam hal ini.” Seterusnya beliau menambah bahawa beliau mahu melihat sendiri prosedur keselamatan yang dilaksanakan dan menuntut agar orang-orang Yahudi dibenarkan bagi menunaikan upacara peribadatan mereka di kawasan terbabit.

sumber : http://www.palestine-info.info/ar
penterjemah : muhajir