
Rabu, 24/11/2010 – Ketika pendatang haram Yahudi menghabiskan masa pada hujung minggu dengan menggali beratus-ratus dunum (1 dunum=0.247 ekar) tanah di selatan Nablus yang terletak di dalam wilayah Sawiya semata-mata untuk membesarkan lagi penempatan haram Rahalim, penggubal undang-undang Nablus, Yasser Mansur memberi amaran bahawa pembesaran penempatan haram Yahudi sedang giat dilakukan di Tebing Barat.
Dalam Bandar Nablus sahaja, sebanyak 39 penempatan haram Yahudi telah diperbesarkan bagi menempatkan 20 ribu orang pendatang haram Yahudi.
“Kuasa penjajah menggalakkan jenayah ini dengan perancangan yang telah dilakukan sebelumnya serta memberi perlindungan sepenuhnya kepada pendatang haram Yahudi dan kekejaman yang mereka lakukan ke atas rakyat Palestin. Pihak berkuasa Palestin dan Arab terus membisu melihat jenayah yang dilakukan sehingga memudahkan jenayah ini terus bermaharajarela,” kata Mansur kepada pihak media pada Ahad lepas.
sumber : http://www.palestine-info.co.uk/en/
penterjemah : salwa