HAMAS bukan al-Qaeda!


oleh : Maszlee Malik

Pada 6 Mac 2006, Abu Ayman al-Zawahiri, orang nombor dua Usama Ben Laden telah membuat kenyataan yang keras berkaitan dengan HAMAS. Antara kenyataan beliau berkaitan HAMAS ialah, HAMAS telah mengkhianati perjuangan rakyat Palestin, HAMAS juga menurutnya telah termasuk ke dalam jerat AS apabila bersetuju menyertai proses demokrasi.

HAMAS juga digesa oleh Zawahiri agar tidak melakukan sebarang perdamaian dengan Israel dan meneruskan usaha jihad mereka. Beliau menegaskan bahawa apa yang telah dilakukan oleh golongan sekular (PLO) di waktu lalu adalah bertentangan dengan Islam, dan HAMAS wajib menjauhinya. Tegas beliau lagi, umat Islam di Palestin, Iraq dan seluruh dunia wajib menjauhi permainan AS yang dinamakan sebagai “proses politik” yang bertujuan untuk memerangkap umat Islam dan meninggalkan jihad. Beliau pada akhirnya menyeru umat Islam sedunia untuk melawan kuffar. Kenyataan tersebut telah dikeudarakan oleh stesyen Televisyen al-Jazeera.

Mahmoud Zahar, jurucakap HAMAS di Gaza ketika diminta mengulas kenyataan al-Zawahiri oleh stesyen televisyen tersebut mengatakan: “HAMAS sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat Palestin di dalam segala tindakan mereka. Segala perubahan di dalam strategi HAMAS diputuskan selepas perbincangan yang teliti dan mengambil kira seluruh aspek berkaitan”. Beliau juga menempelak kenyataan al-Zawahiri bahawa HAMAS memasuki perangkap AS dengan menyertai pilihanraya dan memilih jalan demokrasi.

HAMAS tidak sama seperti al-Qaeda ! Sudut-sudut lain selain berperang turut diraikan bersama.


“Menyertai saluran demokrasi bukan bererti kita menjadi “carbon-copy” kepada mana-mana kumpulan”, ujar Zahar mengulas tentang perbandingan yang dibuat oleh Zawahiri. Kenyataan Zahar memang tepat, ini jelas dapat dilihat melalui pendirian HAMAS yang enggan mengiktiraf Israel sehingga kini walaupun menerima tekanan pelbagai pihak. Hatta sewaktu kunjungan wakil HAMAS ke Moscow pada awal Mac pun, mereka enggan menerima gesaan Moscow agar mereka mengiktiraf Israel.

Muhammad Nazzal, wakil HAMAS di Lubnan yang juga menyertai rombongan ke Moscow pula mengatakan: “Jika Israel bersedia untuk mengiktiraf hak rakyat Palestin dan mengiktiraf negara Palestin yang berdaulat maka kami akan menyatakan pendirian kami!”. Beliau menegaskan pendapat tersebut di dalam sessi wawancaranya dengan AFP.

“Jika dunia ingin memaksa HAMAS mengubah polisinya (berkaitan Israel), maka dunia juga perlu memaksa Israel mengubah polisi mereka!”, tegas beliau lagi.

HAMAS bukan al-Qaeda

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Zawahiri itu sebenarnya amat bermakna bagi HAMAS. Secara tidak langsung dunia telah tersedar dari khayalan penipuan media pro-Zionis yang cuba mengaitkan antara kedua-dua pertubuhan tersebut. Bagi AS, Israel dan media pro-Zionis, menghubungkan kedua-dua pertubuhan itu merupakan satu usaha mereka untuk memburukkan HAMAS dan mengaburkan dunia dari isu sebenar. HAMAS bukanlah al-Qaedah, malah perjuangan dan strategi mereka juga berbeza. Perjuangan HAMAS adalah berbentuk menyeluruh dan selari dengan tasawwur Islam yang syumul lagi meliputi seluruh bidang kehidupan. HAMAS bukanlah semata-mata terkongkong di dalam medan pertempuran tanpa meraikan tuntutan kehidupan umat yang sebenar. Seperti juga bentuk pertubuhan induk HAMAS, iaitu pertubuhan al-Ikhwan al-Muslimin (IM) yang telah ditubuhkan oleh Hassan al-Banna di Mesir pada tahun 1928. Gerakan IM adalah sebuah gerakan yang syumul(komprehensif) meliputi bidang politik, sosial, badan kerohanian, syarikat perniagaan, pertubuhan sukan, institut keilmuan, kumpulan jihad dan lain-lain lagi. Ini berbeza dengan al-Qaedah.


Menyertai saluran demokrasi bukan bererti HAMAS menjadi “carbon-copy” kepada mana-mana kumpulan

Al-Qaedah hanya menumpukan kegiatan mereka di bidang jihad sehingga menjadikan jihad sebagai semata-mata amal Islami. Bagi mereka, penegakan syariat Islam hendaklah bermula dengan jihad, dan tiada jalan lain yang sesuai untuk menegakkan Islam kecuali dengan jihad. Ini bertentangan dengan IM dan HAMAS di Palestin yang melihat bahawa Islam dan amal Islami itu harus bersifat lengkap melengkapi. Tidak dinafikan bahawa jihad itu merupakan amal yang kemuncak dan paling mulia, tetapi jihad bersenjata mempunyai ruang dan realitinya. Di Palestin, keutamaannya ialah jihad, tetapi ianya tidak menafikan ruang politik, ruang kerja-kerja sosial dan kebajikan dan lain-lain amal lagi. Di atas dasar inilah HAMAS lebih dikenali oleh rakyat Palestin sebagai badan sosial dan pendidikan berbanding dengan pertubuhan pengganas.

Kegagalan memahami realiti dan keutamaan di dalam meletakkan amal-amal yang sesuai di waktu dan suasana yang sesuai hanya akan menjadikan Islam itu nampak canggung. Inilah yang telah berlaku kepada al-Qaedah. Bukan sekadar orang-orang kafir yang mereka bunuh dan dianggap musuh tanpa membezakan yang mana musuh dan yang mana kawan. Mereka juga mengkafirkan dan membunuh kaum muslimin yang menurut mereka tidak “Islam” dan menjadi agen musuh menurut penilaian mereka. Di atas kejayaan HAMAS membawa imej Islam yang syumul inilah mereka dipercayai oleh masyarakat Palestin untuk memimpin mereka.

Ini berbeza dengan gerakerja al-Qedah. Lihatlah apa yang berlaku di Mesir, bermula dengan pembunuhan Anwar Sadat yang dirancangkan oleh Zawahiri dan rakan-rakan Jamaah Islamiyyahnya, sehinggalah siri-siri letupan dan serangan bersenjata ke atas apa yang mereka namakan sebagai “musuh Islam”. Lihat juga kepada siri-siri pengeboman ke atas orang awam, samada di WTC, New York, Bali, Sepanyol, London dan akhir sekali di Jordan. Kesemuanya dijustifikasikan oleh al-Qaedah sebagai membalas serangan AS dan musuh-musuh Islam. Malangnya yang terpaksa menanggung kemusnahan oleh perbuatan mereka adalah umat Islam sendiri. Lebih menyedihkan, imej Islam turut tercemar di atas perbuatan “jihad” mereka membunuh secara membuta tuli. Bagi mereka yang beriman dengan teori konspirasi, mereka berharap agar siri-siri letupan itu dilakukan oleh Mossad dan CIA. Malangnya, setiap kali muncul letupan, maka akan muncullah Zawahiri mengaku mereka bertanggung jawab dan memberikan ancaman demi ancaman kepada AS. Ini jelas bertentangan dengan prinsip HAMAS!

Pemimpin HAMAS seperti Mahmoud Zahar tidak lekang daripada serangan rejim Zionis, namun jalan demokrasi tetap di pilih oleh HAMAS


Darah umat Islam

HAMAS yang telah melalui pahit manis perjuangan semenjak awal penubuhannya di tahun 1987 telah berjaya meletakkan strategi yang sesuai pada tempat dan keadaan. Tekanan dari rejim Zionis dan juga Fatah melalui PA pasca Oslo 1993 sudah cukup sebenarnya untuk membuatkan HAMAS bertukar menjadi al-Qaedah dengan membunuh orang-orang PA. Ini tidak berlaku!, malah HAMAS sentiasa berpegang dengan prinsip mereka untuk tidak menumpahkan darah rakyat Palestin dan akan sentiasa menjaga kesatuan. Ini yang tidak dimiliki oleh al-Qaedah, iaitu rasional dan prinsip serta berstrategi. Hasilnya, HAMAS kini disegani kawan dan lawan.

Perbezaan yang ketara di antara HAMAS dan al-Qaedah juga ialah keengganan HAMAS untuk melancarkan serangan di luar Palestin. Bagi HAMAS, pertempuran mereka dengan tentera rejim Zionis adalah terarah, iaitu di dalam bumi Palestin. Perjuangan mereka adalah menentang penjajahan di dalam bumi Palestin dan mereka yang menjajah bumi Palestin. Al-Qaeda pula melancarkan serangan secara rambang. Pelbagai tempat yang mereka rasakan sebagai tempat strategik musuh mereka serang, tidak kira di mana sahaja. Di Nairobi, di New York, di London, di Jakarta, di Bali, di Sepanyol, di Baghdad dan di mana sahaja. Serangan membuta tuli ini akhirnya bukan hanya meragut nyawa “musuh” mereka, malah juga nyawa umat Islam yang tidak berdosa. In bukanlah cara HAMAS!

HAMAS juga tidak menolak saluran demokrasi di dalam perjuangan mereka. Ruang politik yang terbuka di waktu yang sesuai dan juga keadaan yang strategik adalah aset untuk perjuangan Islam dan perjuangan menuntut kemerdekaan. Jika pada tahun 1996 HAMAS tidak menyertai pilihanraya kerana ianya di bawah naungan Oslo 1993 dan di bawah seliaan rejim Zionis, pilihanraya 2006 pula berbeza. Ianya diselenggarakan sepenuhnya oleh rakyat Palestin dan tidak bernaung di bawah Oslo lagi. Saluran demokrasi juga menjamin HAMAS untuk memerintah rakyat Palestin dan menyelamatkan mereka dari para pemimpin yang korupsi dan tamak dari Fatah. Pendirian ini langsung tidak diiktiraf oleh al-Qaedah. Bagi mereka, demokrasi adalah sistem kufur, barangsiapa yang mengiktirafnya, maka dia kafir. Al-Qaedah beriman bahawa pemerintah Islam hanya akan ditegakkan melalui revolusi (Inqilab) dan juga jihad. Hal ini telah ditegaskan oleh Zawahiri di dalam karyanya “al-Hasaad al-Murr”, di mana beliau telah mengkritik dan menghentam gerakan IM yang disifatkan telah lari dari kebenaran dan Islam.

Hudna bukan pengiktirafan

HAMAS juga bersifat realistik di dalam perjuangan mereka. Pertahapan di dalam melaksanakan projek dan juga strategi berdasarkan keadaan merupakan senjata utama HAMAS. Di atas dasar inilah HAMAS menawarkan kepada Israel “hudna” ataupun “long-term truce” sebagai solusi sementara. HAMAS tidak menolak ruang untuk berunding dan berbincang dengan musuh, tetapi ianya hendaklah menjamin hak rakyat Palestin. Keengganan HAMAS mengiktiraf inisiatif kedamaian yang diterokai oleh Fatah melalui PLO dan PA, samada Madrid 1991, Oslo, Road Map dan lain-lain lagi adalah jelas. Kesemua perdamaian tersebut mengiktiraf Israel sebagai negara berdaulat, dan ini bertentangan dengan agama Islam dan kedaulatan negara Palestin. Pengiktirafan Israel juga bererti menafikan hak pelarian Palestin di kem-kem pelarian di Lubnan, Jordan, Syria, Gaza dan Tebing Barat untuk pulang ke negara mereka. Ianya juga bererti menjualkan negara Palestin 1948 (yang dikenali sebagai Israel) kepada Zionis. Ini jelas-jelas mengkhianati rakyat Palestin dan umat Islam. Ini bukanlah pilihan HAMAS.


Ruang politik yang terbuka di waktu yang sesuai dan juga keadaan yang

strategik adalah aset untuk perjuangan Islam dan perjuangan menuntut

kemerdekaan.

“Hudna” yang dicadangkan oleh HAMAS mempunyai syarat-syarat mereka yang tersendiri. Yang pertamanya, rejim Zionis mestilah berundur dari sempadan 1967 secara keseluruhannya, termasuk dari Baitul Maqdis dan Khalil (Hebron). Rejim Zionis juga hendaklah melucutkan senjata seperti HAMAS, dan barangsiapa yang mengkhianati perjanjian akan menerima padahnya. HAMAS juga mensyaratkan agar orang awam tidak dijadikan sasaran oleh kedua-dua belah pihak di dalam pertempuran mereka. Akhir sekali HAMAS juga menuntut agar PBB meletakkan Gaza dan Tebing Barat di bawah penjagaan mereka dari sebarang tindakan ganas rejim Zionis. Inilah yang membezakan HAMAS dan al-Qaeda yang tidak mengenali erti pertahapan di dalam jihad berdasarkan keadaan dan suasana. Bahasa yang difahami oleh al-Qaeda hanyalah peluru dan bom.

Walau bagaimanapun ini tidak bermakna HAMAS mengiktiraf Israel. Malah para pemimpin HAMAS sering menegaskan bahawa mereka tidak akan mengiktiraf Israel yang telah merampas dan merompak tanah air, negara, rumah dan juga kampung halaman mereka. Mengiktiraf Israel adalah umpama seorang yang rumahnya dimasuki penyamun dan merampas rumahnya, lantas mengiktiraf penyamun tersebut dan menyerahkan rumah tersebut kepada si penyamun.

Kegagalan HAMAS bererti kemunculan al-Qaeda

Walaupun HAMAS telah muncul dengan inisiatif damai melalui hudna, media antarabangsa langsung tidak mengendahkannya. Hudna yang telah ditolak mentah-mentah oleh Israel dan AS itu juga bagaikan ditolak oleh pihak media barat. Tidak kedengaran pun mana-mana pihak menyokong cadangan HAMAS tersebut. Di sinilah terletaknya cabaran OIC dan juga negara-negara barat yang bersifat neutral. Malangnya, Israel dan AS kini sedang kiat berkempen ke seluruh dunia agar masyarakat antarabangsa menghukum rakyat Palestin kerana memilih HAMAS dan tidak mengiktiraf Israel. Condoleeza Rice telah berkempen dengan duit cukai rakyat AS hampir ke seluruh pelusuk dunia untuk tujuan tersebut. Menteri luar Israel dan juga penyandang jawatan PM Israel , Ehud Olemrt juga giat berkempen untuk tujuan yang sama. Mereka berusaha siang dan malam untuk memastikan samada HAMAS mengiktiraf Israel dan melucutkan senjata mereka, ataupun HAMAS akan ditumbangkan oleh rakyat Palestin.

Seperkara yang mereka perlu ingat, seperti yang telah dicoretkan oleh Dr Azzam Tamimi di al-Quds al-Arabi, jika usaha damai dan jalan politik HAMAS gagal, rakyat Palestin tidak akan beralih kepada Fatah lagi. Mereka telah serik dengan Fatah, tetapi mereka akan memilih al-Qaedah!