Pembebasan Ahmed Saadat sedang diusahakan

Khamis, 09/03/2006 –

Gerakan Popular Pembebasan Palestin (PFLP) pada Rabu menyatakan kesediaan untuk menguruskan pembebasan setiausaha agungnya yang dipenjarakan, Ahmed Saddat, yang meringkuk dalam penjara di Jericho bertahun tanpa perbicaraan. Usaha pembebasan itu akan dirundingkan bersama ketua Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas.


Abbas pula menyuarakan kesanggupannya untuk membebaskan ketua PLP yang ditahan itu dengan syarat PFLP perlu mengemukakan surat bertulis mengecualikan beliau (Abbas) dan Pihak Berkuasa Palestin daripada sebarang kemungkinan serangan Israel terhadap ketua PFLP tersebut.

“Kami bersedia bertemu dengan Presiden Abbas dan menguruskan pembebasan Ahmed Sadat dan 4 pembantunya, dan juga untuk berbincang kaedah menjamin keselamatan mereka. Kami hanya menunggu surat rasmi daripada Abbas mengenai hal ini”, Jamil Al-Majdalawi; salah seorang pemimpin utama PFLP, berkata.

“Saya tiada sebarang bantahan dalam pembebasan Sadat, tetapi PFLP hendaklah memberi jaminan bertulis mengecualikan saya daripada sebarang kemungkinan tindakan Israel terhadap Saadat selepas pembebasannya.”, Abbas dipetik berkata sewaktu menghadiri perhimpunan wanita Palestin sempena Hari Wanita Sedunia di bandaraya Ramallah.

Saadat dan 4 orang pembantunya dituduh Israel menjadi dalang pembunuhan Rahba’am Ze’evi, menteri pelancongan Israel, pada tahun 2001 di Jerusalem. Mereka kemudiannya ditahan dan dipenjarakan atas kehendak Israel. Israel membalas kemungkinan pembebasan Saadat dengan mengancam tindakan ke atas Saadat dan pembantunya selepas mereka dibebaskan daripada penjara.