Wawancara bersama Ir. Jawdat Marcus, menteri pelancongan kabinet HAMAS.


Sebagai seorang Kristian Palestin, Jawdat telah menggemparkan dunia apabila beliau bersetuju untuk menyertai kabinet HAMAS. Beliau merupakan salah seorang daripada lima orang Kristian Palestin yang lain yang telah bertanding di atas tiket “Islah Wa Taghyir” tajaan HAMAS. Penyertaan di dalam kabinet tersebut adalah untuk membuktikan bahawa kerajaan Palestin kini adalah kerajaaan rakyat Palestin. Ini sekaligus menafikan percubaan jahat sesetengah golongan yang menuduh HAMAS ingin memonopoli pentadbiran PA. Walaupun rejim Zionis telah memberikan ugutan untuk membunuh setiap menteri di dalam kabinet HAMAS, namun itu tidak sedikit pun menggerunkan Jawdat untuk menyertai kabinet teknokrat tersebut. Keyakinannya terhadap komitmen HAMAS untuk melakukan perubahan untuk rakyat telah membuatkannya membulatkan tekad bersama dengan menteri-menteri kabinet yang lain.

Berikut adalah wawancara yang telah dijalankan oleh Markaz Filistin li al-I’laam:


Markaz Filistin (MF) : Anda telah melontarkan ide untuk perubahan dan refomasi di dalam kerajaan. Apakah langkah-langkah yang akan anda lakukan ?


Jawdat Marqus (JM) : Kerajaan PA mempunyai dua fasa perlaksaan bagi program tersebut. Fasa yang pertama adalah sekarang ini, manakala fasa yang kedua pula adalah di dalam tempoh tiga bulan lagi. Kementerian pelancongan dan juga sejarah sebagai contoh. Sekarang ini kami sedang melakukan kajian secara menyeluruh tentang pengoperasian kementerian yang meliputi perbelanjaan serta tenaga manusia. Ianya dilakukan secara teliti dan intensif.

MF : Apa yang akan dilakukan oleh kementerian pelancongan secara fokusnya?


JM : Seperti yang anda lihat, ini merupakan hari pertama saya bertugas secara rasmi. Pastinya saya akan bertemu dengan pihak pengurusan yang terlibat untuk melakukan pengkajian secara kritis terhadap strategi kami untuk masa hadapan.

MF : Kementarian pelancongan di dalam kabinet telah menerima banyak kritikan, adakah anda telah mengenal pasti kelemahan-kelemahan mereka?


JM : Bukan hanya sekadar kementerian pelancongan, malah kesemua kementerian pada sessi yang lalu menerima kritikan yang hebat. Di dalam persoalan melihat kepada peratusan kelemahan di antara satu kementerian dengan kementerian yang lain, saya tidak bersedia untuk membuat sebarang komen.

Yang pasti, berdasarkan kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat Palestin kepada kami, kami akan melakukan perubahan. Seperti yang telah dikatakan tadi, kami masih lagi berada di fasa pertama untuk mengkaji kelemahan-kelemahan dan juga ruang-ruang strategik untuk diperbaiki di dalam fasa kedua nanti.

MF : Adakah ini bermaksud anda akan melakukan perubahan secara bertahap-tahap dan bukannya secara agresif?

JM : Ya, anda benar. Kami tidak akan melakukan perubahan secara drastik. Kami mempunyai cara kami yang tersendiri untuk melakukan perubahan.

MF : Adakah program perubahan tersebut akan berjaya di dalam suasana kerajaan PA sekarang teruk ditekan?

JM : Kami berkeyakinan penuh ianya akan berjaya. Ianya akan berjaya menurut strategi yang telah disusun. Tekanan yang ada akan menemui hujungnya.

MF : Perhubungan di antara kementerian pelancongan dengan institusi dan kementerian yang sama dari negara luar amat penting. Tidakkah mereka memboikot kementerian anda juga?

JM : Tidak. Saya sentiasa berhubung dengan pelbagai pihak luar, dan mereka tidak pula memboikot kami.

MF : adakah anda akan menumpukan usaha anda terhadap negara-negara Arab sahaja untuk tujuan promosi pelancongan?

JM : Kami akan menumpukan kepada negara-negara Arab dan juga dunia.



MF : Adakah kamu berasa gentar terhadap ancaman Menteri Pertahanan Israel, Shaul Mofaz untuk membunuh menteri-menteri PA?

JM : Ianya tidak sekali-kali akan menggentarkan saya. Ancaman-ancaman tidak akan memberikan apa-apa kesan terhadap rakyat Palestin, hatta terhadap kanak-kanak Palestin.

MF : Adakah anda menerima tekanan agar tidak menyertai kerajaan PA bersama HAMAS?

JM : Saya tidak pernah menerima apa-apa tekanan dari mana-mana pihak. Bahkan saya menerima sokongan dan galakan dari seluruh rakyat Palestin di atas penyertaan ini. Kerajaan PA adalah kerajaan rakyat Palestin dan bukannya kerajaan HAMAS semata-mata.

MF : Bagaimanakah PA melicinkan perjalanan kerajaan di antara pentadbiran Gaza dan juga Tebing Barat?

Ir. Jawdat Marcus, menteri pelancongan kabinet HAMAS


JM : Kami melakukan sidang-sidang parlimen melalui “Video Conferencing” sehingga hari ini.

MF : Tidakkah anda berasa kekok di dalam kerajaan PA ?, memandangkan andalah satu-satunya menteri Kristian di tengah-tengah menteri-menteri lain dari HAMAS?

JM : Sudah tentu tidak!, kami adalah rakyat yang sehati sejiwa. Semenjak hari pertama kerajaan PA ditubuhkan saya pasti ianya adalah kerajaan rakyat Palestin secara keseluruhannya dan bukan hanya kerajaan HAMAS semata-mata. Kami, menter-menteri di dalam kabinet PA adalah para teknokrat dan profesional, kami tidak akan mencampurkan isu aqidah dan juga politik di dalam menunaikan tanggung jawab kami. Sebagai kabinet teknokrat, kabinet kami dianggotai oleh 13 orang pemegang PhD, lapan orang Jurutera (Engineer) dan juga para pensyarah dari pelbagai bidang pengkhususan. Kabinet kami mencerminkan kepelbagaian rakyat Palestin, kerana kami telah dipilih oleh rakyat!

MP : Kabinat PA di bawah Abu Alaa dahulu pun mendakwa mereka juga merupakan kabinet teknokrat. Apa beza di antara mereka dengan kerajaan PA sekarang?


JM : Yang kami maksudkan sebagai kerajaan teknokrat, ialah segala langkah dan kerja yang kami lakukan didahului dengan strategi dan kajian secara mendalam. Tanpa perancangan yang teliti, kami tidak akan melaksanakan apa-apa program. Walaupun begitu, aspek perlaksanaan tetap menjadi kunci kepada kejayaan perancangan dan strategi tersebut.

MP : Perlantikan menteri kristian di dalam kerajaan PA adalah sebagai kouta untuk kaum kristian. Apakah komen anda?

JM : Ianya bukan masalah kouta. Kementerian pelancongan Palestin, semenjak ianya ditubuhkan sememangnya dianggotai oleh wakil kristian. Kemungkinan besar kerana kebanyakan pelancong ke bumi Palestin adalah kaum Kristian yang datang untuk upacara-upacara keagamaan di sini.

MP : Kerajaan rejim Zionis mengisytihrkan untuk memboikot kerajaan PA. Adakah ianya akan menjejaskan perjalanan kementerian anda?

JM : Kami tidak menerima apa-apa kesan, kerana mereka telah memboikot kami semenjak dahulu lagi.

MP : Adakah anda merasakan kesukaran untuk bekerja dengan Abu Mazin sebagai presiden?

JM : Tidak sekali-kali. Kami mendahulukan kepentingan rakyat Palestin sebagai agenda utama. Oleh yang demikian, kami akan tetap bekerjasama dengan Abu Mazin.

MP : Adakah anda menghadapi apa-apa kesukaran bekerjasama dengan Abu Mazin sekarang ini?

JM : Perhubungan kami dengan beliau dan juga para pegawai di jabatan Presiden amat baik sehingga kini.

MP : Bagaimana pula dengan PM anda, Ismail Abu Haneeya?


JM : Sebagai salah sebuah kementerian di bawah pimpinannya, kami sentiasa berhubung. Hatta sebelum pengisytiharan kabinet pada 1 April pun kami telah sering berhubung.

MP : Adakah anda mempunyai apa-apa pesanan buat rakyat Palestin?


JM : Ya, seruan saya kepada rakyat Palestin: “Kerajaan PA adalah kerajaan rakyat Palestin. Rakyat Palestinlah yang telah memilih kami. Biar apa pun ancaman dan ugutan yang diberikan, kami berharap agar rakyat akan tetap bersama kami. Kami akan sentiasa berkhidmat untuk rakyat Palestin sehingga ke akhirnya dengan meletakkan amanah di bahu mereka yang bertanggung jawab”.