Oleh : Maszlee Malik
Semenjak hari pertama negara “Israel” ditubuhkan di atas bumi rakyat Palestin, polisi luar AS telah diubah suaikan. AS, melalui polisi luarnya di Timur Tengah telah bertindak menjadi “Big Brother” kepada rejim Zionis Israel. Sebarang polisi yang mereka keluarkan adalah bertujuan untuk menjaga kepentingan dan keselamatan projek Zionis tersebut. Menurut Bernard Reich di dalam L. Carl Brown, Diplomacy in the Middle East, (hal. 133), hubungan intim gerakan Zionis-AS telah mula diinisiatifkan oleh Chaim Weizmann, Perdana Menteri pertama “Israel” semenjak zaman Truman lagi. Kerjasama perlindungan ini pada asalnya merupakan doktrin yang telah diperjuangkan oleh para orientalis Yahudi zionis dan juga Kristian Zionis di AS. Elie Kedorie dan Bernard Lewis dikatakan antara yang paling bertanggung jawab di dalam usaha melobi kerajaan AS dan kerajaan-kerajaan barat lain untuk mengambil peranan pelindung kepada rejim Zionis Israel.
Projek meletakkan “beban masalah Yahudi” (Jewish Problem) kepada umat Islam dan juga usaha menjayakan cita-cita golongan Kristian Protestant Evengalist merupakan kata kunci kepada segala tindakan AS di timur tengah. Jika anda masih lagi naif tentang perkara ini, anda akan menghadapi masalah untuk membaca situasi politik di Timur Tengah. Jika anda telah mengetahuinya, ia akan membantu anda untuk memahami apa sahaja perkembangan politik di rantau tersebut.
Rejim Zionis
Israel telah meletakkan Iran sebagai ancaman mereka semenjak
kejatuhan rejim Shah Iran.
Setelah AS berjaya menghancurkan Iraq yang kini hanya tinggal debu-debu dan cebisan-cebisan sebuah negara yang berdaulat, AS semakin rakus. Syria, Iran dan juga Arab Saudi merupakan negara-negara yang sedang menantikan giliran mereka untuk dimusnahkan oleh kuasa uni-polar dunia di waktu kini. Selain daripada persoalan minyak seperti yang sering dicanangkan oleh penganalisis politik sayap kiri, isu keselamatan rejim Zionis merupakan motivasi utama keganasan AS di rantau berkenaan. Micheal Prior, Israel Shahak, Pilger, Chomsky dan lain-lain telah lama mendedahkan rahsia yang diketahui ramai ini. Hanya masa yang sesuai dan juga keadaan yang strategik sahaja yang akan menentukan bilakah AS akan bertindak mengganas di mana-mana sahaja. Polisi “Long War” yang dievolusikan daripada “War on Terror” merupakan sebahagian daripada panji-panji “crusade” AS di bumi Arab.
Iran dan polisi Hasbara
Rejim Zionis Israel telah meletakkan Iran sebagai ancaman mereka semenjak kejatuhan rejim Shah Iran. Mereka telah mengandaikan senario bahawa Iran akan memulakan projek senjata pemusnah besar-besaran (WMD) di bawah pimpinan Ayatollah Khomeini lagi. Semenjak itu jugalah AS turut menyenaraikan Iran sebagai negara yang berpotensi mengancam kewujudan “Israel” di rantau tersebut. Peperangan Iran-iraq yang dimulakan oleh Saddam merupakan sebahagian daripada usaha licik CIA-Mossad untuk menghancurkan kuasa ketenteraan Iran dengan menggunakan Iraq. Malangnya Iraq gagal di dalam usaha tersebut, dan akhirnya, mereka pula yang dihancurkan melalui perncangan sulit AS menghasut saddam untuk menawan Kuwait. Iraq akhirnya diheret ke Perang Teluk yang pertama dan telah kehilangan kekuatan mereka semenjak perang tersebut. Mereka tidak lagi dilihat sebagai ancaman utama “Israel”semenjak tarikh tersebut.
Semenjak kekalahan Iraq, Iran pula telah menduduki senarai teratas sebagai ancaman utama “Israel”. Semenjak pertengahan tahun 1992, Rejim Zionis, melalui doktrin “Israeli Security System” telah meletakkan diri mereka di dalam keadaan berjaga-jaga terhadap sebarang kemungkinan serangan daripada Iran. Ini telah dibongkarkan oleh Professor Israel Shahak, di dalam bukunya “Open Secrets: Israel Nuclear and Foreign Policies” (hal. 54-90). Pada bulan Februari 1993, secara rasminya Iran diletakkan sebagai sasaran utama rejim tersebut di dalam sebarang kemungkinan mereka untuk melancarkan serangan berbentuk “Pre-emptive”. Hal ini telah disuarakan oleh jurnalis politik berhaluan kanan Zionis, Yoav Kaspi sebagai “Iran needs to be treated just as Iraq had been!”. Beliau telah menyuarakan pendapatnya itu di dalam akhbar al-Hamishmar pada 19 Februari 1993. Pendapatnya itu bukanlah ganjil pada waktu tersebut. Kebanyakan pegawai-pegawai senior di dalam kerajaan rejim Zionis dan juga para Jeneral IDF (Israeli Defence Force) dan Mossad telah menyuarakan perkara yang sama juga.
Sebarang usaha Iran yang dilihat menjadi potensi ancaman
kepada rejim Zionis memerlukan campurtangan AS dan
kuasa-kuasa Eropah.
Daniel Leshem, pegawai senior di dalam Mossad yang juga merupakan pengkaji di “Centre For Strategic Research” di Universiti Tel Aviv pula mengatakan: “Israel alone can do very little to halt the Iranians”, dan mereka memerlukan bantuan AS untuk tujuan berkenaan.
Demi menjayakan usaha mereka untuk mematikan potensi Iran sebagai ancaman utama kepada rejim Zionis, mereka telah melancarkan projek “Hasbara” (explaination). Hasbara adalah usaha berterusan pihak Mossad untuk mengheret masyarakat antarabangsa menyerang Iran di atas mitos “Iran sebagai penaja keganasan” di rantau Timur Tengah. Projek ini telah dilancarkan semenjak kejatuhan Shah lagi, tetapi terpaksa diberhentikan semasa perang Teluk yang pertama. Selepas kejatuhan Iraq, rejim Zionis telah sekali lagi memulakan kempen tersebut kepada masyarakat dunia. AS dan juga kuasa-kuasa eropah yang lain menjadi sasaran kempen tersebut. Apa yang lebih dahsyat, bukan hanya sekadar Iran, malah rejim Zionis telah meletakkan beberapa negara muslim lain sebagai sasaran mereka.
Akhbar Haarezt bertarikh 15 Februari 1993 telah mewawancara Jeneral Ze’ev Livnech dari IDF yang mengatakan : ” it is not only Iran which already endangers every site in Israel, because, even if to lesser extent, Syria, Libya and Algeria do too!”. Semenjak tarikh tersebut, sejarah telah menyaksikan bagaimana Livneh telah melobi negara-negara Eropah untuk menyertai Zionis. Negara-negara tersebut telah diheret ke dalam usaha melakukan sekatan penjualan senjata kepada Iran dan juga negara-negara Arab yang lain. Apa yang dilakukan Livneh itu sebenarnya adalah sebahagian daripada projek “Hasbara”.
Situasi kini
Bertitik tolak dari kempen Hasbara dan juga doktrin Israeli Security System, maka terjawablah teka-teki mengenai apa yang berlaku kepada Iran hari ini. Sebarang usaha Iran yang dilihat menjadi potensi ancaman kepada rejim Zionis memerlukan campurtangan AS dan kuasa-kuasa Eropah. Rejim Zionis tidak akan membiarkan Iran memperkuatkan pertahanan mereka. Kekuatan mana-mana negara Arab adalah ancaman kepada rejim Zionis. Maka, projek pengkayaan Uranium Iran pada hari ini adalah sebahagian daripada potensi Iran untuk menyerang rejim Zionis di masa hadapan. Apa yang berlaku di Iran perlu dihalang segera oleh rejim Zionis melalui AS dan PBB.
Yitzhak Rabin, mantan perdana menteri rejim Zionis pernah menggesa agar AS menggagalkan sebarang usaha dari mana-mana negara Arab untuk memiliki kuasa nuklear. Perkara ini sungguh ironik, kerana Rejim Zionis sendiri memiliki lebih daripada 100 peluru nuklear (nuclear warhead). Lebih dahsyat lagi, rejim Zionis juga tidak menandatangani NPT 1968 (Non-Proliferation Treaty) walaupun mereka telah memulakan projek senjata nuklear semenjak tahun 1960 lagi (Lihat: R.S.N Singh (2005), Asian Strategic and Miliatary Perspective, hal. 147). Negara-negara kuasa nulear yang lain semuanya telah menandatangani perjanjian yang mula berkuatkuasa pada tahun 1970. Malangnya tiada apa tekanan ataupun paksaan dikenakan ke atas rejim Zionis. Hal ini amat membimbangkan, kerana dengan senjata nuklear yang mereka miliki itu, mereka berupaya untuk memusnahkan semua negara Arab di rantau Timur Tengah dan juga negara-negara Asia yang lain.
Tidak mustahil juga, Iran akan diheret ke kancah peperangan
sepertimana Iraq pernah dimusnahkan dengan cara yang sama.
Jelas sekali, tekanan ke atas projek pengkayaan uranium Iran adalah dimotivasikan oleh rejim Zionis. AS dan juga kuasa-kuasa Eropah yang lain akan menggunakan segala kuasa mereka untuk menggagalkan usaha tersebut. Tidak mustahil juga, Iran akan diheret ke kancah peperangan sepertimana Iraq pernah dimusnahkan dengan cara yang sama. Seperkara yang membuatkan kita hairan, di manakah suara negara-negara umat Islam?, di manakah usaha mereka untuk membantu saudara seagama mereka membina kekuatan untuk mengimbangi kekuasaan rejim Zionis yang mengancam setiap individu di rantau Timur Tengah. Ke mana jugakah pemimpin-pemimpin Islam yang berani untuk menyuarakan bantahan terhadap sikap “double standard” kuasa-kuasa barat. Rasanya, umat Islam sedunia memerlukan lebih dari seorang Ahmadi Nejad untuk memastikan umat Islam tidak terus dibuli lagi!
Palestin pula?
Kemenangan HAMAS sebenarnya menjadi penyelamat Iran pada waktu ini. Walaupun AS sibuk berusaha untuk menggagalkan program pengkayaan uranium Iran, di dalam masa yang sama mereka juga perlu melihat kepada HAMAS. Sepertimana Iran merupakan ancaman luaran kepada rejim Zionis, HAMAS juga merupakan ancaman luar yang paling hampir kepada rejim Zionis. Kemenangan mengejut HAMAS pada pilihanraya Januari lepas benar-benar menggegarkan Zionis. Kemenangan HAMAS merupakan suara majoriti rakyat Palestin. Ini bermakna, metod perjuangan bersenjata HAMAS untuk menuntut kemerdekaan menjadi pilihan rakyat Palestin. Keupayaan HAMAS untuk mentadbir PA akan membuatkan masyarakat dunia akan bersimpati kepada HAMAS dan bukan hanya rakyat Palestin sahaja. Ini adalah ancaman yang besar kepada Zionis.
Sekali lagi, AS dan EU memulakan kempen kepada masyarakat antarabangsa untuk memulaukan kerajaan PA pimpinan HAMAS. Sekatan bantuan, tekanan ekonomi, tekanan politik, dan juga tekanan ke atas negara-negara berjiran dengan Palestin untuk melakukan perkara yang sama sekarang ini terus dilakukan oleh AS. Kajian World Bank (Bank Dunia) terhadap keadaan rakyat Palestin jika rejim Zionis berterusan membekukan wang hasil pendapatan cukai mereka dan jika dunia berterusan mengenakan sekatan ekonomi terhadap karajaan PA yang baru:
Pendapatan perkapita akan menurun sebanyak 30%. Ekonomi Palestin akan merudum sebanyak 27% pada penghujung tahun 2006. Ini bersamaan dengan keadaan ekonomi As ketika dilanda krisis kewangan pada tahun 1929. Pengangguran akan meningkat sebanyak 39.6%. Bilangan mereka yang hidup dibawah tahap kemiskinan akan meningkat kepada 50%, dan ini merupakan 67% daripada jumlah keseluruhan penduduk Palestin di Gaza dan di Tebing Barat. 165,000 penjawat am kerajaan di bawah PA tidak akan menerima gaji. Bilangan ini termasuk guru-guru di 76% buah sekolah di sleuruh Gaza dan Tebing Barat di bawah PA, dan 62% buah klinik kesihatan dan 64% pusat pendidikan yang lainnya.
Sepertimana Iran merupakan ancaman luaran kepada rejim
Zionis, HAMAS juga merupakan ancaman luar yang paling hampir
kepada rejim Zionis.
Negara Mesir dan Arab Saudi telah menerima ancaman AS agar tidak menjalinkan hubungan dengan kerajaan PA. Begitu juga halnya dengan negara-negara Arab yang lain. Jordan merupakan sekutu AS dan Zionis, terlebih awal mengumumkan sikap berkecuali mereka. Sungguh pun begitu, kerajaan PA di bawah pimpinan HAMAS tidak sekali-kali tunduk dengan tekanan AS agar mereka mengiktiraf “Israel” dan juga melucutkan senjata mereka. Tindakan tersebut bukan hanya merupakan tindakan “menjual negara Palestin” kepada Zionis secara percuma, malah mendedahkan setiap individu warga Palestin kepada serangan Zionis. Kerajaan PA pimpinan Fatah pernah melakukannya lewat Oslo 1993 dan lain-lain perjanjian, ternyata mereka gagal. Adalah tidak bijak bagi HAMAS untuk mengulangi kesilapan mereka. Bukan hanya sekadar gagal, malah Ariel Sharon sendiri telah mengisytiharkan bahawa Oslo telah berakhir semenjak terletusnya Intifadah kedua. Arafat yang telah berjasa menggadaikan bumi Palestin akhirnya ditendang oleh Zionis apabila dia tidak diperlukan lagi.
Apa yang pasti, AS dan EU akan terus memastikan HAMAS akan tumbang dan digantikan semula dengan agen-agen mereka. Krisis dalaman Palestin yang timbul akhir-akhir ini juga ada kaitannya dengan usaha As dan Tel Aviv untuk menggagalkan kerajaan HAMAS. Melalui agen-agen mereka di dalam Fatah, mereka akan cuba mewujudkan peperangan saudara meletus di Palestin. Jika ini berlaku, rejim Zionis akan mendapat sedikit kelegaan, dan AS juga boleh terus menumpukan usaha mereka ke atas Iran dan juga Syria yang telah berjaya dilemahkan melalui resolusi 1515 PBB berkenaan Lubnan. Bagi HAMAS, apa yang berlaku telah berada di dalam perkiraan mereka, dan akan cuba diatasi dengan penuh kebijaksaaan. Pengalaman mengendalikan kegilaan Fatah lewat Oslo berguna sekali lagi. Walau bagaimanapun, mungkin HAMAS akan bertindak tegas terhadap Fatah yang selama in banyak “diberikan muka”.
Negara palestin sebagai solusi
Kesimpulannya, semua pergolakan yang berlaku di Timur Tengah adalah disebabkan oleh polisi luar AS untuk menjaga kepentingan Zionis. Israeli Security System dan Hasbara adalah kata kuncinya. Perang Teluk pertama dan kedua yang memusnahkan Iraq, Peperangan Iran-Iraq, ancaman ke atas Syria, ancaman ke atas Iran, pergolakan di Lubnan, penyiksaan ke atas rakyat Palestin dan lain-lain peristiwa yang bakal bergelojak di Timur Tengah adalah disebabkan oleh polisi ini. Selagi mana negara “Israel” wujud, selagi itulah keamanan hanya akan menjadi utopia di rantau berkenaan. Benarlah kata-kata Rabbi Weiss dari pertubuhan Yahudi Ortodoks, Naturei Karta: “Negara Israel adalah punca segala masalah yang berlaku di dalam dunia ini. Selagi negara Israel wujud, selagi itulah dunia tidak akan menikmati keamanan. Solusi yang ada hanyalah dengan menghapuskan negara yang “kufur” ini dan digantikan dengan negara Palestin!” (Lihat: Risalah edaran Naturei Karta, Mac 2005).
Ini jugalah suara yang telah dilaungkan oleh Yahudi-Yahudio anti-Zionis lain seperti Ilan Pappei, Israel Shahak, Noam Chomsky dan lain-lain pecinta kedamaian tanpa mengira bangsa dan agama mereka.