Amerika Perkuatkan Pasukan Mahmud Abbas

Khamis, 18/05/2006 –
Harian Israel Haaretz yang diterbitkan pada hari Selasa (16/5) menyiarkan, berdasarkan maklumat dari pihak keselamatan dan politik Israel, Amerika secara
sembunyi-sembunyi menguatkan hubungan dengan pihak keselamatan presiden Mahmud
Abbas.

Menurut sumber tersebut, Amerika menginginkan kedudukan Abu Mazen diperkuatkan dalam
pemerintahan Palestin dan dalam rangka mengaktifkan kembali laluan-laluan di
perbatasan Semenanjung Gaza.

Ketika ini kordinator keselamatan Amerika di wilayah Tebing Barat dan Semenanjung
Gaza, telah aktif melakukan hubungan dengan presiden Palestin dan badan keselamatan
Israel. Sementara itu badan perundangan Amerika mengingatkan Kordinator keselamatan
tersebut, untuk tidak melakukan sebarang hubungan dengan pihak keselamatan Palestin
atau badan-badan kerajaan di bawah pimpinan Hamas walaupun secara tidak langsung.

Oleh karena itu, ketika ini Amerika hanya melakukan hubungan dengan Mahmud Abbas dan
beberapa orang rapatnya, seperti DR. Shaeb Uraiqat.

Dinyatakan bahawa bentuk kawalan keselamatan yang dilakukan kordinator keselamatan
Amerika hanya untuk pihak presiden sahaja, yang bersangkutan dengan keselamatan
rumah, pejabat dan kawalan peribadi Abu Mazen sendiri. Pada waktu ini terdapat
sekitar 1500 hingga 2000 petugas keselamatan yang berada di Ramalah dan Gaza.

Sumber Israel mengatakan, sekitar enam minggu lepas, Mahmud Abbas dengan dokongan
Amerika mengirimkan 150 pengawal keselamatan presiden untuk mengawasi pengaktifan
semula pintu masuk Rafah, namun hal ini masih dirahsiakan.

Sementara itu, Amerika masih membincangkan cara terbaik untuk membiayai pengawal
keselamatan presiden tersebut bagi mengawal pintu-pintu masuk Palestin yang lain.
Cadangan dan kordinasi dengan pihak tentera Israel adalah menyerahkan urusan laluan
masuk kepada badan khas yang digunakan sebagai alat untuk membelakangkan kerajaan
Palestin bagi kemasukan barang dan dana.