Jumaat, 19/05/2006 –
Seorang pakar strategik Arab memberi amaran bahawa usaha Israel meneruskan monopoli nuklear di TImur Tengah adalah bertujuan menundukkan jutaan Muslim di bawah ancaman senjata nuklearnya.
Abdul Sattar Qassem, seorang professor sains politik dan bekas calon Presiden Pihak Berkuasa Palestin (PA) berkata Israel mahukan semua orang Arab dan Muslim di rantau itu kekal di bawah keadaan strategik dan ketentaraan yang serba kekurangan.
“Ini bermakna mereka boleh menceroboh, menyerang, menduduki dan mengganas di seluruh negara Arab atau Muslim di rantau ini dengan sewenangnya.”.
Qassem, pengkritik PA dan proses Oslo, berkata bahawa adalah penting negara Muslim meningkatkan keupayaan tentera dan strategik agar sama dengan Israel. “Keseimbangan atau persamaan adalah penting dalam mencegah Israel daripada menghapuskan jutaan Muslim.”
“Bayangkan jika terdapat segelintir fundamentalis Yahudi yang taksub mengambil alih kuasa di Israel, adalah di luar dugaan untuk membayangkan kemungkinan mereka ini menyerang negara jiran dengan bom nuklear semata-mata memenuhi cita-cita taksub mereka.”.
Dalam simposium itu, Qassem menggesa rakyat Palestin dan kumpulan politiknya untuk menimbangkan hak kepulangan pelarian sebagai isu utama.
“Kita tidak boleh mencabul hak ini. Kita juga tidak boleh membenarkan pembersihan etnik berjaya. Kita tidak boleh membiarkan diri kita dipatahkan dengan realiti yang menyedihkan. Ya, kita mungkin tidak boleh merealisasikan impian kepulangan pelarian sekarang, tetapi tidak bermakna kita boleh menyerah begitu sahaja.”