
Isnin,17-05-2021 – Ketua biro politik luar negara Hamas Khaled Mishaal telah memberitahu bahawa ada usaha yang dilakukan oleh Mesir, Turki, Qatar dan pentadbiran AS untuk membendung ketegangan ketenteraan antara Gaza dan Israel.
Dalam satu kenyataan baru-baru ini kepada saluran satelit TRT Turki, Mishaal menekankan perlunya negara pendudukan Israel dan peneroka haram berhenti daripada mencemarkan Masjid Al-Aqsa dan menghormati kebebasan beribadat rakyat Palestin serta hak mereka untuk memasuki Masjid tanpa sekatan, agar ketegangan tersebut dapat dihentikan.
“[Israel] juga harus menghentikan kezaliman mengusir penduduk Sheikh Jarrah, membebaskan tahanan yang ditangkap oleh tenteranya dalam kejadian baru-baru ini dan mengakhiri serangan ke atas Gaza,” tambah pemimpin Hamas tersebut.
“Rejim Zionis telah bermain dengan api dan telah menarik pemicu yang telah menjadi pencetus kepada krisis yang sedang berlaku sekarang apabila tenteranya menyerbu Masjid Al-Aqsa, dan pihak penentang di Gaza telah memperingatkan Israel selama beberapa hari untuk menghentikan serangannya ke atas Baitulmaqdis,” katanya.
“Perjuangan menentang penjajahan Israel adalah perjuangan nasional untuk membebaskan tanah air,” Mishaal menekankan.
“Tiada siapa yang dapat merampas hak rakyat Palestin untuk menentang serta hak Gaza untuk bangkit demi Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa,” katanya.
sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul













