
oleh
Prof Madya Dr Zainur Rashid Zainuddin
Perunding Aman Palestin
Gerakan Zionis
Gerakan Zionis adalah satu gerakan yang telah ditubuhkan di Eropah bagi memperjuangkan cita-cita dan nasib bangsa Yahudi yang berhadapan dengan pelbagai masalah di merata tempat dan negara terutamanya di Eropah. Gerakan ini adalah gerakan politik rasis yang menggunakan alasan agama dan semangat bangsa Yahudi yang menyeru untuk membina sebuah negara yang dikhususkan untuk orang Yahudi sahaja iaitu di Palestin. Kewujudan dan kemunculan gerakan ini sebenarnya telah disemarakkan lagi dengan permasalahan ideologi kebangsaan, kebangkitan golongan Protestan dan idea negara bangsa di Eropah terutamanya pada abad ke 19.
Tidak jauh perbezaan di antara kelompok penganut fahaman zionisma walaupun ada di kalangan mereka adalah dari golongan sekular, sosialis, athies mahupun golongan yang kuat beragama kerana hampir keseluruhan mereka memperjuangkan fahaman zionisma yang bertujuan untuk menguasai keseluruhan negara Palestin dan membina wilayah yang dikenali sebagai ‘Israel Raya’ di Asia Barat. Faktor kejayaan projek Zionis ini adalah bergantung kepada penindasan dan penjajahan yang mereka lakukan kepada rakyat Palestin yang tidak berdosa.
Pencetus penubuhan negara Yahudi
Cadangan penubuhan negara khas untuk orang-orang Yahudi telah dibuat oleh seorang wartawan Hungari, Theodore Hertzl yang merupakan salah seorang pengasas gerakan Zionis di dalam gagasannya yang telah dibukukan di dalam Die Judem Stat (Negara Yahudi) pada 1896. Kewujudan Pertubuhan Yahudi Antarabangsa (WZO) melalui persidangannya yang pertama di Basle, Switzerland pada 27-29hb Ogos 1897 di bawah pimpinannya telah membuka era aktiviti politik Zionis, mengorak langkah kepada pembentukan negara Yahudi di Palestin.