Isnin, 29-01-2024 – Setiausaha Agung PBB António Guterres berkata penduduk Gaza menghadapi kemusnahan pada skala yang tidak pernah berlaku sebelum ini. “Semua penduduk di Semenanjung Gaza lapar,” katanya.
Guterres berkata dalam satu kenyataan akhbar pada Selasa bahawa “rakyat Gaza menghadapi kemungkinan dijangkiti penyakit dan wabak yang semakin meningkat, dan organisasi kemanusiaan sedang berjuang untuk menyampaikan bantuan ke Semenanjung Gaza.”
“Kami menghadapi pemeriksaan yang sukar dan penafian yang tidak wajar untuk memasukkan barangan keperluan ke Semenanjung Gaza, dan berpuluh-puluh petugas kemanusiaan sedang menunggu kerajaan Israel untuk meluluskan visa mereka.”
Setiausaha Agung PBB memperbaharui gesaan gencatan senjata segera di Gaza. Beliau menegaskan bahawa “tidak ada justifikasi untuk hukuman kolektif terhadap rakyat Palestin.” “Penolakan berulang kali Israel terhadap penyelesaian dua negara, dan penafian hak rakyat Palestin untuk bernegara, memanjangkan konflik,” katanya.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dalam catatan dalam akaun rasminya melalui platform “X”, (dahulunya Twitter), menegaskan bahawa “semua orang mesti mengiktiraf hak rakyat Palestin untuk menubuhkan negara mereka.”
Dalam satu lagi catatan di Platform X, Guterres menyatakan bahawa “orang di Gaza mati bukan sahaja kerana bom dan peluru, tetapi kerana kekurangan makanan dan air bersih, dan hospital tanpa elektrik atau ubat-ubatan, dan ini mesti dihentikan.”
sumber : https://palinfo.com/ diterjemah oleh Juhari Sham Jusoh
Isnin, 29-01-2024 – Pasukan pendudukan Zionis terus melakukan jenayah pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza, untuk hari ke-108 berturut-turut, dengan melancarkan berpuluh-puluh serangan udara, peluru meriam, sambil melakukan pembunuhan beramai-ramai berdarah terhadap orang awam, dan melakukan jenayah ngeri. di kawasan pencerobohan, di tengah-tengah situasi kemanusiaan yang dahsyat akibat daripada pengepungan dan pemindahan lebih 90% daripada penduduk.
Wartawan kami melaporkan bahawa pesawat dan tentera Israel meneruskan serbuan dan pengeboman ganas mereka – hari ini, Isnin – di pelbagai bahagian di Semenanjung Gaza, menyasarkan rumah, komuniti, kemudahan dan jalanan, membunuh ratusan syuhada dan ramai yang cedera.
Pasukan pendudukan mengebom sebuah rumah untuk keluarga Al-Majaida di Mawasi Khan Yunis, mengakibatkan beberapa kecederaan.
Wartawan kami mengesahkan ketibaan sejumlah syuhada dan orang yang cedera ke Hospital Syahid Al-Aqsa akibat pengeboman Zionis yang menyasarkan sebuah kereta yang membawa orang-orang pelarian yang datang dari Khan Yunis ke gabenor tengah Semenanjung Gaza.
Bagi pihaknya, Bulan Sabit Merah Palestin mengesahkan bahawa pendudukan Zionis sedang mengepung Hospital Al-Amal persatuan itu di Khan Yunis.
Beliau menegaskan bahawa ambulans tidak dapat pergi kearah mereka yang cedera di beberapa kawasan di Khan Yunis akibat pengeboman berterusan, memberitahu bahawa Zionis terus menembak ke arah rakyat Gaza di pintu masuk ke Hospital Al Amal di Khan Yunis.
Khan Yunis, di selatan Semenanjung Gaza, dalam kedaan yang begitu sukar & rumit akibat daripada serangan Israel yang hebat dan tidak pernah berlaku sebelum ini, mengakibatkan lebih daripada 160 syahid dan cedera, di tengah-tengah letupan dan percubaan Israel untuk menembusi paksi barat bandar itu, dan pertempuran sengit berlaku di kalangan penentangan, yang membawa kepada pembunuhan 3 pegawai Zionis dan kecederaan 15 askar dan pegawai lain.
sumber : https://palinfo.com/ diterjemah oleh Ibn Zaq
Isnin, 29-01-2024 – Briged Al-Qassam terus bertahan untuk hari ke-108 berturut-turut, dalam menghadapi pasukan tentera haram Zionis yang telah berjaya menembusi beberapa pertahanan yang setakat ini telah mengakibatkan kematian 535 pegawai dan askar haram rejim Zionis serta mencederakan lebih daripada 2,672 yang lain. Namun menurut pengakuan tentera musuh sendiri, lebih daripada 6,400 cedera, seperti yang di laporkan oleh pihak hospital Zionis.
Selain memusnahkan sepenuhnya atau sebahagian ratusan daripada kenderaan musuh, Briged al-Qassam juga terus mengebom tapak-tapak dan penempatan musuh di Semenanjung Gaza, dan berjaya melumpuhkan serangan musuh di pelbagai kawasan pencerobohan.
Sejak hari pertama yang bermula pada 7 Oktober lalu, Briged Qassam telah berjaya membunuh beratus-ratus askar dan menangkap kira-kira 250 warga Zionis, manakala peluru berpandu Qassam telah berjaya menyasarkan Lapangan Terbang Ben Gurion, Ashkelon, Ashdod, dan lain-lain sebagai sebahagian daripada Operasi Pertempuran Taufan Al-Aqsa, dalam mempertahankan Al-Aqsa dan tempat-tempat suci di sekelilingnya.
Dalam kenyataan terbaru pada petang Isnin, tentera haram rejim Zionis turut mengakui bahawa 3 pegawainya telah terkorban, dua daripadanya berpangkat mejar dan salah satunya berpangkat kapten. Mereka juga mendedahkan bahawa 3 tentera lain telah cedera parah.
Tentera Zionis menambah lagi bahawa tiga pegawai tinggi tenteranya turut terkorban iaitu timbalan komander batalion, komander kompeni dan komander platun dalam Batalion ke-202 Briged Pasukan Payung. Mereka terbunuh dalam pertempuran di barat Khan Yunis, selatan Semenanjung Gaza.
*TENTERA HARAM ISRAEL MENGEBOM TENTERANYA SENDIRI*
Briged Al-Qassam berkata dalam laporan tenteranya, bahawa selepas menyasarkan dan memusnahkan kereta kebal Markava, pasukan penyelamat Zionis cuba untuk mengeluarkan kereta kebal lain dari lokasi serangan namun terpaksa berhadapan pasukan Mujahidin yang terus menghalang mereka daripada mara ke arah kereta kebal milik mereka. Namun terjadi sesuatu yang tidak disangka apabila pesawat tentera haram Israel datang lalu terus menyasarkan kereta kebal milik mereka dengan beberapa peluru berpandu dan menghancurkan sepenuhnya kereta kebal tersebut, termasuk mengorbankan tentera Israel yang berada di dalamnya.
Briged Al-Qassam juga mengesahkan bahawa tentera Zionis telah menembak seorang askarnya dan mencederakannya di barat daya Kota Gaza.
Briged Al-Qassam turut menyiarkan adegan Mujahidin Al-Qassam bertempur dengan kenderaan dan tentera musuh di kawasan timur Jabalia Al-Balad, utara Semenanjung Gaza di saluran Telegramnya.
*BRIGED AL-QUDS*
Bagi pihaknya, Briged Al-Quds telah mengumumkan bahawa dalam operasi bersama, Mujahidin Briged Al-Quds dan Briged Al-Qassam berjaya mengebom barisan bekalan dan laluan untuk kenderaan musuh Zionis di timur Jabalia dengan peluru mortar.
Briged Al-Quds dalam satu kenyataan turut berkata “Kami terlibat di barisan hadapan dalam pertempuran sengit dengan mesin gun dan peluru berpandu anti kereta kebal dengan askar dan kenderaan Zionis di bandar Khan Yunis.
Mereka juga mengumumkan bahawa mereka berjaya menyasarkan, kumpulan tentera Zionis dengan peluru berpandu Badr 1, di timur kem Maghazi di tengah Semenanjung Gaza dan mengebom kumpulan tentera musuh menggunakan peluru mortar di timur kejiranan Al-Zaytoun di Bandar Gaza.
Sebuah kenderaan tentera Zionis juga berjaya disasarkan dengan peluru RPG di tengah-tengah bandar Khan Yunis.
sumber : https://palinfo.com/ diterjemah oleh Ahmed Al-Marsogi
Isnin, 29-01-2024 – Pergerakan Penentangan Palestin Hamas mengeluarkan dokumen setebal 16 muka surat pada hari Ahad, bertajuk ‘Naratif Kami … Operasi Banjir Al-Aqsa’. Dokumen itu menangani banyak soalan kritikal tentang konteks, masa dan peristiwa 7 Oktober.
Dokumen (PDF) dikeluarkan dalam kedua-dua bahasa Arab dan Inggeris oleh Pejabat Media Hamas. Ia menyentuh mengenai sebab-sebab yang menyebabkan pemimpin-pemimpin Penentangan Palestin menjalankan operasi Penentangan besar pada 7 Oktober, sebagai tambahan kepada apa yang sebenarnya berlaku pada hari itu.
Dokumen itu bermula dengan “Rakyat Palestin yang tabah,” yang telah dikenakan kempen ketenteraan Israel genosida, yang pada hari ini telah masuk hari ke-107.
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Dr Nurul
Isnin, 29-01-2024 – Pasukan pendudukan Israel (IOF) mengumumkan kematian tiga pegawai tentera, termasuk dua major, semasa pertempuran dengan di Khan Yunis di selatan Gaza.
Menurut laporan rasmi dan berita Israel, seramai 535 askar dan pegawai Israel telah terbunuh sejak 7 Oktober 2023. 198 daripadanya terbunuh sejak permulaan operasi darat di Semenanjung Gaza.
Walau bagaimana pun, pejuang Palestin menegaskan bahawa jumlah korban Israel sebenarnya jauh lebih tinggi.
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Halimihali
Isnin, 29-01-2024 – Persatuan Tahanan Palestin (PPS) memberi amaran pada hari Ahad tentang “penyebaran penyakit dan wabak yang berbahaya di kalangan tahanan Palestin di penjara Israel, terutamanya penyakit kulit.”
Menurut PPS, “perkhidmatan penjara Israel (IPS) telah meningkatkan sekatan ketat dan penyiksaan sistematik terhadap tahanan Palestin yang dikenakan selepas Operasi Banjir Aqsa dengan cara yang belum pernah terjadi sebelum ini.”
“IPS meningkatkan jenayah perubatan terhadap tahanan Palestin, melampaui dasar pengabaian perubatan yang disengajakan, yang merupakan punca utama kematian banyak tahanan di penjara Israel dalam beberapa tahun terakhir,” kata kenyataan PPS.
Menurut PPS, sebanyak 6,170 orang Palestin telah ditahan di Tepi Barat yang diduduki sejak 7 Oktober.
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Norshuhada Samudin
Isnin, 29-01-2024 – Kementerian Hal Ehwal Wakaf dan Keagamaan di Gaza mengumumkan pada Ahad yang tentera rejim zionis (IOF) telah memusnahkan lebih 1,000 daripada 1,200 masjid di wilayah itu sejak 7 Oktober tahun lepas.
Menurut satu kenyataan, kos pembinaan semula masjid-masjid tersebut adalah sekitar $500 juta.Kementerian itu berkata, rejim zionis memusnahkan Gereja Ortodoks Greek dan jawatankuasa Zakat, sekolah-sekolah yang mengajar Quran dan ibu pejabat Bank Wakaf.
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Nur Idawati Md Enzai
Isnin, 22-01-2024 – Persatuan Tahanan Palestin (PPS) telah memberi amaran akan perlakuan jenayah Israel berkenaan ‘pengghaiban terancang’ terhadap tahanan-tahanan Gaza, berikutan pelulusan oleh Knesset Israel bagi melanjutkan tempoh sah peraturan yang melarang tahanan Gaza untuk berjumpa peguam dengan penambahan 4 bulan.
Persatuan itu berkata dalam satu kenyataan pada Rabu, “Melalui langkah ini, penjajahan Israel berniat untuk melakukan lebih lagi jenayah terhadap tahanan Gaza tanpa sebarang tinjauan berkesan, dan untuk menggunakan peraturan ini untuk menyelindungi jenayah berterusan mereka terhadap tahanan-tahanan Gaza.”
Persatuan itu menambah bahawa halangan berterusan tahanan Gaza daripada berjumpa peguam bermakna lebih banyak sesi siksaan, dera, kebuluran, penghinaan serta pemenjaraan dalam keadaan tidak berperikemanusiaan.
Kenyataan PPS menekankan juga bahawa segala rayuan kepada organisasi-organisasi antarabangsa tidak menganjur ke arah sebarang maklumat jelas yang boleh meyakinkan ahli keluarga tahanan-tahanan Gaza.
Badan-badan yang memberi perhatian kepada isu tahanan Palestin telah membuat rujukan, dalam beberapa kenyataan sebelum ini, kepada testimoni-testimoni berkenaan siksaan daripada bekas-bekas tahanan yang telah dibebaskan dari Penjara Ofer.
Pasukan penjajahan Israel dilaporkan mengakui pembunuhan seorang tahanan di penjara dan kematian sekumpulan tahanan di kem Sde Teman di Beersheba, serta dua orang pekerja Gaza, yang mana identiti salah seorangnya telah didedahkan.
Menurut data terkini, lebih kurang 661 tahanan dari Gaza sedang berada di penjara-penjara Israel sebagai ‘pejuang haram’, serta lebih daripada 50 wanita Gaza ditahan di Penjara Damon, dengan 8 daripadanya telah dibebaskan baru-baru ini.
PPS menyeru organisasi-organisasi hak asasi manusia antarabangsa untuk masuk campur dengan segera dan dengan serta-merta mengaturkan lawatan untuk tahanan, juga untuk memberi tekanan kepada Israel bagi mendedahkan nasib para tahanan Gaza, serta menamatkan jenayah pengghaiban terancang.
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Fahirul
Ketua Biro Politik Luar Hamas, Khaled Mishaal mengulangi penolakan Pergerakan beliau terhadap penyelesaian dua negara, dengan mengatakan bahawa rakyat Palestin menuntut pembebasan dari pendudukan, kemerdekaan dan penubuhan negara Palestin.
“Pihak Barat mengatakan bahawa 7 Oktober telah membuka prospek untuk visi politik, jadi mereka telah kembali membicarakan komoditi lama mereka, yang merupakan penyelesaian dua negara,” kata Mishaal kepada Ammar Podcast pada hari Selasa, menegaskan bahawa Hamas tidak dapat menerima penyelesaian dua negara atau mengiktiraf negara penjajah.
Mishaal mengatakan bahawa rakyat Palestin telah menghidupkan kembali aspirasi mereka untuk Palestin yang meliputi laut ke sungai dan dari utara ke selatan setelah 7 Oktober, menunjukkan bahawa “sempadan 1967 mewakili 21 peratus Palestin, yang hampir seperlima dari tanahnya, jadi ini tidak dapat diterima.”
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Suwaibah
Isnin, 22-01-2024 – Rejim Zionis mengesahkan terbunuhnya dua anggota mereka yang lain, seorang daripadanya merupakan seorang pegawai, semasa pertempuran berterusan di Gaza, dan seorang lagi dalam satu kemalangan jalan raya di tengah Palestin.
Malam tadi, Rejim Zionis turut mengakui terbunuhnya seorang pegawai dan seorang askar mereka dalam pertempuran di utara Semenanjung Gaza, bertepatan dengan pertempuran yang berterusan di kawasan tersebut. Rejim ini mengumumkan pada hari Selasa yang lalu bahawa seorang pegawai berpangkat mejar terbunuh, dan dua lagi cedera parah dalam pertempuran yang berlaku pada waktu malam di selatan Semenanjung Gaza.
Pihak Hospital Soroka di Be’er-Sheva mengumumkan pada hari Rabu bahawa mereka telah menerima 17 orang yang cedera, termasuk dua orang dalam keadaan serius dan tiga orang dalam keadaan sederhana, dalam tempoh 24 jam terakhir ini.
sumber : https://palinfo.com/ diterjemah oleh Ibnu Abd Jalil
Khamis, 18-01-2024 – Memasuki hari ke-101 berturut-turut, pasukan tentera Zionis Israel terus melakukan jenayah pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza. Mereka berterusan melancarkan berpuluh-puluh serangan udara, peluru meriam, dan pembantaian berdarah terhadap orang awam, serta melakukan jenayah ngeri di kawasan pencerobohan, tanpa memperdulikan isu kemanusiaan yang semakin memuncak akibat daripada pengepungan dan pengusiran keatas lebih daripada 90% penduduk Gaza yang tidak dinoktahkan.
Wartawan kami melaporkan bahawa pesawat dan artileri penjajah haram Israel meneruskan serbuan dan pengeboman ganas mereka di pelbagai sudut di Semenanjung Gaza, menyasarkan rumah, komuniti, kemudahan dan jalan. Hal ini menyebabkan pembunuhan ratusan orang awam dan angka mereka yang cedera turut meningkat.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres berkata dalam satu kenyataan akhbar: Majoriti mangsa di Gaza adalah wanita dan kanak-kanak, dan tiada satu alasan yang sepatutnya boleh digunakan untuk membenarkan hukuman secara kolektif terhadap rakyat Palestin.
Beliau turut menegaskan bahawa isu kebuluran, penyakit, kekurangan zat makanan serta ancaman kesihatan yang lain turut menghantui penduduk Gaza.
Beliau juga mengesahkan pembunuhan (mati syahid) 152 kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sejak 7 Oktober yang lalu, merupakan kerugian terbesar dalam sejarah organisasi itu.
Beliau berkata lagi “Kami sangat memerlukan gencatan senjata segera atas sebab kemanusiaan, dan ingin memberi amaran bahawa semakin lama konflik di Gaza berterusan, semakin besar risiko yang perlu di hadapi seperti peningkatan salah laku serta jenayah perang yang tidak terkawal.”
Kementerian Kesihatan di Gaza dalam satu kenyataan lain menyatakan tentera haram Israel telah melakukan 12 serangan tanpa henti yang mengakibatkan pembunuhan beramai-ramai terhadap warga Semenanjung Gaza, di mana serangan-serangan tersebut telah mengorbankan 132 syahid serta mengakibatkan 252 cedera dalam tempoh 24 jam yang lalu.
Ini tidak termasuk masih terdapat ramai lagi mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan dan di jalan raya, yang mana ambulans dan krew pertahanan awam tidak dapat menghubungi atau menjejaki mereka.
Ini mengesahkan lagi jumlah korban akibat pembantaian tentera haram Israel yang terus meningkat menjejaki angka 24,100 orang syahid dan 60,834 kecederaan sejak ia bermula 7 Oktober lalu.
Setiap hari artileri haram Israel terus mengebom penempatan seperti dalam laporan hari ini yang melibatkan kem Al-Maghazi, kampung Al-Masdar, dan kem Al-Bureij di tengah-tengah Semenanjung Gaza, selain Batman Al-Sameen, Qaizan Al-Najjar, dan Jourat Al-Lot di Khan Yunis .
Pesawat penjajah haram Israel juga dilaporkan telah mengebom sebuah sekolah, tadika, dan Masjid Al-Dawa, di utara Nuseirat, di tengah-tengah Semenanjung Gaza, menutup laporan hari ini.
sumber : https://palinfo.com/ diterjemah oleh Ahmed Al-Marsogi
Khamis, 18-01-2024 – Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) mengesahkan bahawa “apa yang berlaku di Gaza sepanjang 100 hari lalu adalah pemindahan terbesar rakyat Palestin sejak 1948.”
UNRWA berkata: “Seluruh generasi kanak-kanak mengalami trauma di Strip, dan beribu-ribu daripada mereka telah terbunuh, cacat dan yatim piatu.”
Tentera pendudukan meneruskan pencerobohannya terhadap Semenanjung Gaza, untuk bulan keempat berturut-turut, dengan sokongan Amerika dan Eropah, ketika pesawatnya mengebom sekitar hospital, bangunan, menara, dan rumah orang awam Palestin, memusnahkan mereka di atas kepala penduduk mereka, dan menghalang kemasukan air, makanan, ubat-ubatan, dan bahan api.
Angka kematian akibat pencerobohan Zionis yang berterusan ke atas Gaza meningkat kepada 24,100 syahid, di samping peningkatan jumlah korban kepada 60,834.
sumber : https://palinfo.com/ diterjemah oleh Ibn Zaq
Khamis, 18-01-2024 – Semenanjung Gaza kini berada dalam keadaan yang jauh lebih teruk daripada Perang Berlin pada 1945, kata Presiden Chile Gabriel Boric, Isnin lalu.
Melawat Guatemala untuk menghadiri upacara mengangkat sumpah Bernardo Arevalo, Boric memberitahu pemberita bahawa gencatan senjata adalah suatu keperluan mendesak.
“Gaza berada dalam keadaan yang jauh lebih teruk daripada Berlin pada 1945,” katanya, merujuk kepada kejatuhan Berlin selepas Perang Dunia II.
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Dr Nurul
Khamis, 18-01-2024 – Seorang pemuda Palestin ditembak dan cedera pada petang Isnin akibat tembakan Israel di pos pemeriksaan tentera Qalandiya di utara Baitulmaqdis yang diduduki.
Persatuan Bulan Sabit Merah berkata bahawa kru perubatannya membawa seorang lelaki muda (28 tahun) ke hospital untuk menerima rawatan selepas dia cedera akibat tembakan peluru hidup Israel di bahagian bawah perut berhampiran pusat pemeriksaan tentera Qalandiya.
Sementara itu, empat rakyat Palestin cedera dan yang kelima ditangkap ketika rejim Zionis menyerbu bandar Nablus di utara Tebing Barat.
Sekatan Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat telah meningkat sejak 7 Oktober lalu termasuk penangkapan, perobohan rumah terhadap keluarga para syahid dan mereka yang dipenjarakan dan rejim zionis juga menembak rakyat dengan sengaja.
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Ashraf
Khamis, 18-01-2024 – Gerakan Penentangan Islam, Hamas, menegaskan bahawa operasi Ra’anana, yang dilakukan oleh rakyat Palestin yang berani, adalah tindak balas yang lumrah terhadap pembunuhan beramai-ramai ala-Nazi dan pencerobohan berterusan Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.
Dalam satu kenyataan pada hari Isnin, Gerakan itu berkata, “Rakyat kami dan pejuang pembebasan kami dari Rafah hingga Jenin akan terus mempertahankan rakyat kami, tanah kami, dan tapak suci kami daripada musuh kami, iaitu penjenayah Nazi.”
Pergerakan itu menambah bahawa “darah kanak-kanak dan orang awam yang tidak bersalah yang ditumpahkan oleh jentera perang Israel di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza akan menjadi kutukan ke atas para pengganasnya yang melakukan penjajahan dan penerokaan, dan selama mereka menduduki tanah itu, tiada jaminan keselamatan ke atas mereka.”
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Halimihali