Referendum Rakyat atau referendum Zionis?


oleh : Maszlee Malik

Masyarakat dunia sekali lagi dikejutkan oleh keputusan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas. Beliau telah memberikan kata dua kepada kerajaan Palestin di bawah pimpinan HAMAS untuk menerima referendum rakyat. Referendum yang bertujuan untuk menentukan hala tuju rakyat Palestin itu bagaikan satu ugutan kepada kerajaan yang masih lagi bergelut untuk menyelesaikan masalah yang dicipta oleh AS dan juga Zionis. Sekatan ekonomi yang mereka hadapi hasil makar AS dan Zionis itu telah berjaya diatasi sedikit demi sedikit. Malangnya, bukan sekadar tidak membantu, malah Mahmoud Abbas memberikan masalah yang baru kepada mereka. Beliau telah memberikan tarikh 29 Jun 2006 sebagai tarikh mengadakan referendum tersebut. Apakah isi referendum tersebut?, dan bagaimanakah ia tiba-tiba muncul?

Media tempatan sepertimana sumber mereka di peringkat antarabangsa bersikap tidak adil di dalam melaporkan berita berkaitan dengan referendum. Ianya dilaporkan seolah-olah datangnya daripada kehendak rakyat. Ini tidak benar sama sekali. Referendum tersebut merupakan natijah daripada memorendum para tahanan Fatah di penjara rejim Zionis yang mencadangkan beberapa solusi untuk isu Palestin. Antara isi kandungan memo yang diketuai oleh Marwan al-Barghouti, pemimpin muda Fatah di dalam penjara Zionis, ialah pengiktirafan negara Israel dan juga penubuhan negara Palestin di dalam sempadan 1967.

Mereka juga bersetuju untuk menghentikan perjuangan menuntut kemerdekaan daripada penjajahan Zionis. Para tahanan Fatah yang jumlahnya kurang daripada 500 orang itu telah mencadangkan juga agar rakyat Palestin melucutkan senjata dan berdamai dengan negara penajah Israel yang mereka ingin iktiraf tersebut. Mereka juga memaksa rakyat palestin hanya memberikan kuasa yang mutlak kepada PLO untuk mewakili rakyat Palestin.

Referendum tersebut merupakan natijah daripada memorendum para tahanan Fatah di

penjara rejim Zionis yang mencadangkan beberapa solusi untuk isu Palestin.


Memo tersebut telah diterima oleh Mahmoud Abbas dan terus bertindak membuat keputusan untuk mengadakan referendum agar rakyat membuat pilihan samada menyokong memo tersebut ataupun sebaliknya. Hal ini amat memalukan di atas beberapa asas. Pertamanya, memo tersebut hanyalah dipersetujui oleh segelintir tahanan Fatah yang jumlahnya tidak lebih daripada 500 orang di penjara Zionis berbanding keseluruhan 9,300 tahanan Palestin yang lain. Keduanya, memo tersebut telah ditolak oleh majoriti tahanan Palestin yang lain, terutamanya para tahanan HAMAS, Jihad Islami dan PFLP yang berjumlah melebihi 7000 orang. Ketiganya, bagaimana mungkin mereka yang berada di dalam tahanan berhak membuat keputusan untuk mereka yang berada di luar penjara. Keempat, pilihanraya yang telah dijalankan pada Januari yang lalu jelas menunjukkan pilihan rakyat secara demokratik terhadap hala tuju kerajaan yang mereka pilih.

Ternyata rakyat memilih program dan agenda yang dibawa oleh HAMAS dan bukannya cadangan-cadangan yang lebih menggambarkan projek yang gagal yang dibawa oleh Fatah dan Arafat sebelum itu. Kelimanya, siapakah yang akan terlibat di dalam referendum tersebut. Ianya bakal menentukan masa depan negara Palestin. Adakah mereka yang berada di Gaza dan Tebing Barat semata-mata?, bagaimana pula dengan para pelarian Palestin yang berjumlah hampir setengah juta di Lubnan, dua juta di Jordan, lebih 300,000 di Syria dan sejuta yang lain di seluruh muka bumi ini?


Referendum tersebut tidak menggambarkan aspirasi rakyat, malah ianya bertentangan dengan perlembagaan yang memberikan

kuasa yang sah kepada kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat untuk menentukan hala tuju rakyat Palestin.


Di atas dasar inilah, kerajaan HAMAS melalui PM mereka, Ismael Hanneya dan juga ketua speaker majlis legaslatif, Abdul Aziz Dweik menentang usul referendum berkenaan. Menurut mereka, bukan hanya ianya tidak menggambarkan aspirasi rakyat, malah ianya bertentangan dengan perlembagaan yang memberikan kuasa yang sah kepada kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat untuk menentukan hala tuju rakyat Palestin. Tindakan mengadakan referendum itu juga sekaligus menafikan kuasa yang ada pada kerajaan dan meletakkan Presiden menjadi kuasa mutlak dan diktator.

Malangnya, di dalam laporan-laporan media, latar belakang referendum langsung tidak dibicarakan. Sudut pertentangan usul referendum tersebut dengan undang-undang juga langsung tidak disebutkan. Apa yang pasti, 29 Jun ini bakal menyaksikan referendum tersebut akan dipaksakan ke atas rakyat Palestin, kerana ianya adalah agenda kuasa di belakang Mahmoud Abbas. Apa yang pasti juga, beliau sendiri tidak mampu untuk menghalang agenda tersebut.