Isnin, 26/06/2006 –
Sumber-sumber Palestin menyebutkan faksi-faksi Palestin, terutama gerakan Hamas dan Fatah, telah menamatkan dialog nasional dengan mencapai kata sepakat berkenaan isu-isu utama yang diperselisihkan.
Faksi-faksi Palestin berjaya mendapatkan formula bagi menjamin kejayaan dialog nasional Palestin khususnya dalam situasi sulit ketika ini iaitu dengan terus meningkatnya embargo dan penderitaan rakyat Palestin yang berpanjangan.
Dijangkakan hasil dialog ini akan diumumkan dalam satu pertemuan antara Presiden Palestin Mahmud Abbas, PM Ismail Hanneyah dan para wakil faksi sama ada pihak nasional mahupun Islam.
Menurut sumber Palestin, dalam dialog ini disepakati isu perundingan dengan Israel yang disebutnya sebagai tugas khas PLO. Presiden Abbas bertanggungjawab terhadap
masalah ini. Namun semuanya harus diajukan terlebih dulu kepada dewan nasional
Palestin yang akan dibentuk.
Dalam dialog ini juga disepakati dilakukan referendum umum atas apa-apa kesepakatan
yang dilakukan antara Palestin dan Israel. Referendum ini harus diikuti oleh seluruh
rakyat Palestin sama ada dalam maupun di luar negeri. Referendum ini juga harus
memiliki landasan undang-undang yang jelas.
Berkaitan dengan isu perjuangan rakyat Palestin, dalam dialog ini disepakati untuk
memfokuskan perjuangan di wilayah Palestin 1967. Namun ia tidak bererti mengabaikan
secara mutlak perjuangan di wilayah Palestin yang lainnya.
Dialog nasional ini juga sepakat berkenaan penstrukturan semula organisasi PLO
sesuai dengan keputusan yang dipersetujui dari dialog yang dilakukan faksi-faksi
Palestin di Kaherah 2005 lalu. Ia perlu melibatkan seluruh faksi dan kekuatan
Palestin di dalamnya dan bukan hanya menjadi monopoli gerakan Fatah.
Sumber yang dekat dengan Hamas menyatakan bahawa langkah positif apapun, ia
merupakan kejayaan besar. Fakta-fakta yang ada membuktikan bahawa penjajah Zionis
Israel tidak akan melepas apa-apa yang mereka kuasai kepada Palestin.
Menurutnya, rakyat Palestin ketika ini sangat memerlukan penyatuan barisan dan
menghimpun potensi, serta mengadakan kesepakatan program-program nasional. Ini
penting bagi menghadapi rancangan Olmert yang ingin menghancurkan wilayah Tebing
Barat menjadi daerah-daerah kecil yang terasing.