Jumaat, 30/06/2006 –
Hanya beberapa jam sebelum serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza pagi subuh lalu, kerajaan Rusia telah pun memberi amaran kepada tentera Israel bahawa keputusan mereka untuk menyerang Semenanjung Gaza akan membawa kesan yang merbahaya ke seluruh kawasan itu.
?Mini mesyuarat kabinet yang diketuai oleh Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert telah memerintahkan tentera rejim Zionis agar memulakan serangan,? ujar Micheal Kamenine, jurucakap kepada Menteri Luar Russia.
Situasi memuncak di Semenanjung Gaza telah menarik perhatian akhbar Rusia dan pelbagai lagi laman web. Berikutan itu, lebih banyak akhbar dan laman web membuat liputan meluas mengenai berita pencerobohan dan lain-lain tindakan ketenteraan di situ.
Akhbar Izvestia memetik kenyataan Associated Press yang berkata bahawa tentera rejim Zionis lebih tertumpu di kawasan Rafah dan menguasai kawasan kawalan di Timur bandar itu. Ia menambah bahawa pihak yang menahan askar kerahan Israel tersebut menuntut pembebasan lebih kurang 500 wanita dan kanak-kanak rakyat Palestin yang dipenjarakan di penjara Israel. Bagaimanapun, akhbar tersebut menjelaskan bahawa Olmert telah bertegas untuk tidak menimbang permintaan tersebut dan mahu tenteranya dibebaskan tanpa syarat. Pendirian Israel ini ternyata ditolak mentah-mentah oleh pihak yang bertanggungjawab menangkap askar kerahan Israel beberapa hari lalu.