Selasa, 11/07/2006 –
Urusan semakin pelik dan rumit dalam pentadbiran Palestin. Presiden Mahmod Abbas mengumumkan bahawa ketua bahagian Politik PLO dan Setiausaha Agung Gerakan Fatah, Farouk Kaddoumi dipilih sebagai wakil urusan politik luar negeri Palestin dan mewakilinya di peringkat antarabangasa
Langkah Abbas ini dilakukan dalam kesibukan pemerintah Palestin mengendalikan urusan
rakyat Palestin yang setiap hari menghadapi kekejaman dan keganasan Israel dimana
dalam tempoh 72 jam terakhir telah mengorbankan 55 jiwa dan ratusan mangsa yang
cedera.
Dalam suratnya setelah pasukan Israel memberi keizinan kepada beliau untuk keluar
dari Semenanjung Gaza menuju ke Ramallah, Abbas menyatakan, Bahagian Politik PLO
yang beribupejabat di Tunis merupakan Pejabat Kementerian Luar Negeri Palestin dan
ketuanya di sana adalah yang bertanggungjawab atas urusan luar negeri Palestin.
Surat Abbas ini sudah dikirimkan ke semua kedutaan besar dan biro perwakilan
Palestin di luar negeri dan pejabat-pejabat PBB dan Liga Arab.
Keputusan Abbas ini dijangkakan akan menerima kritikan dan akan menimbulkan krisis
baru dalam pemerintahan Palestin yang dipimpin Hamas. Beberapa sumber berita
menegaskan bahawa Abbas ingin mengekang kejayaan Mahmoud al-Zahar dalam siri
kunjungannya ke beberapa negara Islam dan Liga Arab.
Farouk Kaddoumi turut menerima kritikan hebat ketika mengambil alih kerusi Dr Mahmoud Zahar dalam persidangan NAM yang telah berlangsung di Kuala Lumpur baru2 ini. Dr Mahmoud Zahar sepatutnya mengambil bahagian dalam persidangan tersebut di mana beliau merupakan wakil sah Menteri Luar Palestin.