Ulama Sedunia Bersuara: Wajib Mendokong Perjuangan Di Lebanon Dan Palestin

Selasa ,01/08/2006 –
Syeikh Yusuf Qardhawi, ulama tersohor dunia, menegaskan bahawa perjuangan di
Lebanon adalah jihad yang dibenarkan oleh syariat Islam. Perjuangan di sana sama mulianya dengan
perjuangan di Palestin. Puak Syiah adalah bahagian dari umat Islam dan ‘wajib’ bagi setiap Muslim untuk
menolong perjuangan ini melawan permusuhan Zionis Israel.

Dalam wawancara dengan harian Al-Wafd, Mesir, Syeikh Yusuf Qardhawi mengatakan:”Perjuangan apapun adalah perkara yang mulia dalam umat ini (Islam), sama ada di Palestin ataupun di
Lebanon. Tiada masalah, apakah pertempuran Lebanon itu dari kalangan Syiah, kerana mereka adalah sebahagian dari umat Islam. Sama-sama mengucapkan Laa Ilaaha Illallah. Dari sudut perkara asas agama, banyak yang seiring dengan kita. Walaupun bertentangan dalam beberapa perkara.

Qardhawi juga mengenang perjuangan rakyat Lebanon yang berjaya membersihkan tanah air
muslim dari kotoran tangan Zionis Israel. Hanya perkebunan Seba’ yang tidak lama lagi akan dapat
dibebaskan kembali,” begitu katanya seperti yang disiarkan al markaz al filistini lil i’lam, Selasa
(25/7). Ucapan syabas juga di sampaikan oleh Qardhawi kepada rakyat dan bangsa Arab yang mendukung perjuangan Lebanon. Namun beliau mengecam sikap para penguasa dan pemimpin Arab yang mengritik perjuangan Islam.

“Kita semua harus siap sedia membela Lebanon dari serangan ganas Zionis Israel yang telah menghancurkan negeri itu hanya dengan alasan ingin membebaskan tiga tahanannya. Namun tidak ada
seorang pun orang Arab yang bergerak ingin membebaskan sekitar 10 ribu tahanan yang sekarang ini yang terpelusuk di penjara-penjara Israel,” tambahnya tegas.

Sementara itu, Mursyid ‘Am Ikhwanul Muslimin (IM), Muhammad Mahdi Akef, menentang habis-habisan kejahatan perang yang dilakukan oleh Zionis Israel, sama ada di Gaza mahupun di Lebanon.
Menurut Akef, kejahatan-kejahatan itu, dalam sejarah Yahudi, tidaklah menghairankan. Beliau juga
mengisyaratkan bahawa apa yang terjadi itu adalah sebahagian dari silsilah serangan yang dilancarkan
kepada umat Islam sepanjang sejarah, oleh musuh-musuhnya.

Sebelumnya, dalam keterangan akhbar, IM mengajak umat Islam agar tidak mempedulikan beberapa sikap negara Arab dan Islam yang menunjukkan sikap negatif kepada perjuangan Islam di Lebanon, kerana masalah berbeza pandangan. “Itu semua tidak membantu kepentingan dan kemaslahatan umat
Islam,” tambahnya. Mahdi Akef menegaskan sikap ambil berat Ikhwan terhadap perjuangan Arab dan
Islam, sama ada di Lebanon ataupun di Palestin. Pihak Zionis Israel yang melancarkan permusuhan tidak lain adalah untuk membasmi kewujudan dan keberadaan umat Islam.

Surat pernyataan yang ditandatangani oleh Akef itu menyebutkan:”Ketika suara jeritan
dan tangisan anak dan mangsa korban bertempik meminta pertolongan kepada saudaranya seiman, sebangsa dan setanah air. Di saat itu semua, kita mendengar dan melihat mereka yang ingin
menghancur-leraikan persatuan umat Islam yang sepakat untuk mendukung perjuangan di Palestin dan Lebanon. Iaitu dengan cara membawa fitnah dan perbezaan lama yang dulunya pernah merosak akal dan jasad umat. Padahal para pemilik akal yang sihat telah sepakat untuk tidak mempersoalkan masalah-masalah tersebut.”

Dalam keterangan tersebut, Ikhwan menolak secara terang-terangan usaha untuk memecah-belah umat Islam dengan mengelompokkan mereka ke dalam Sunni dan Syiah. Atau dengan dalih menghalalkan darah bangsa demi pertempuran, kerana menurut mereka, Hizbullah tidak lain hanyalah pelaku dan
pelaksana agenda politik Iran di wilayah Timur Tengah.


“Kita semua harus siap sedia membela Lebanon dari serangan ganas Zionis Israel yang telah menghancurkan negeri itu hanya dengan alasan ingin membebaskan tiga tahanannya. Namun tidak ada seorang pun orang Arab yang bergerak ingin membebaskan sekitar 10 ribu tahanan yang sekarang ini yang terpelusuk di penjara-penjara Israel,”

Pernyataan tersebut, menjelaskan ketegasan sikap IM dalam masalah ini dengan mengatakan
bahawa sokongan kepada perjuangan menentang musuh Zionis Israel adalah kewajiban bagi setiap
Muslim. “Ia merupakan hak perundangan yang dilindungi oleh semua hukum dan undang-undang antarabangsa. Pengalaman mana-mana bangsa yang pernah mengalami penjajahan, pasti melakukan hal yang sama, melawan balas,” tambah pernyataan itu.

Dalam kaitan itu, pernyataan IM itu juga menegaskan bahawa sasaran rancangan penjajahan
Amerika-Zionis di wilayah Timur Tengah adalah untuk melenyapkan kewujudan, keberadaan dan tempat
suci umat Islam. Oleh karena itu, adalah menjadi kewajipan untuk membela para mujahidin yang sedang berjuang di Palestin dan Lebanon.

Namun pada masa yang sama, IM mengkritik tajam sikap pesimis regim Arab yang berusaha
melalui propaganda-propaganda jahat untuk memecah-belah persatuan umat Islam.

Dalam masa yang sama, sejumlah ulama dari Arab Saudi dan Yaman mengajak untuk mendokong
perjuangan di Lebanon, dan melupakan perbezaan mazhab yang berkait dengan masalah ini.

Antaranya adalah Syeikh Salman Audah, yang berasal dari Arab Saudi, dalam rancangan
al-hayat kalimah di TV MBC yang ditayangkan setiap Jumaat. Beliau meminta untuk menyatukan barisan
dalam menghadapi Zionis Israel, Menurutnya, mereka itu bukan hanya musuh umat Islam, tetapi juga musuh kemanusiaan secara universal kerana telah menghancurkan banyak erti kehidupan.

“Untuk menyelesaikan krisis (di Lebanon mari kita lupakan perbezaan itu. Ketika ini bukanlah masa untuk berbeza dan berpecah. Musuh kita yang paling besar adalah Yahudi dan Zionis yang telah melakukan kejahatan kemanusiaan, tanpa membezakan lagi antara anak-anak tidak berdosa dengan
para tentera,” tambah Salman tegas.

Beliau juga menjelaskan bahawa hidup ini bukanlah satu sisi saja. Puncak kelemahan itu adalah awal dari kekuatan. Beliau mengisyaratkan bahawa bangsa Palestin yang dikesampingkan dari segenap penjuru, tidak menjadikannya menuju kerugian. Menurut Salman, itu sebenarnya adalah satu kekuatan yang tidak dimiliki oleh musuh Zionis yang memiliki segala senjata canggih.

Syeikh Audah menekankan akan pentingnya berinteraksi dengan krisis ini tanpa terperangkap dengan isu-isu remeh. “Adalah sebuah kesalahan besar jika kita terlibat jauh pada persoalan
sekunder berkaitan idealisme krisis, tapi kita melupakan siapa musuh yang sebenarnya?!”

Sementara itu, Syeikh Abdul Majid Zindani, Rektor Universiti Al-Iman Yaman, menyeru
untuk diadakan sidang darurat membahas kajian semula undang-undang rekrutmen tentera. Beliau meminta untuk diadakan program ketenteraan wajib untuk pemuda Yaman bagi mendukung pembelaan terhadap umat Islam yang telah ditumpahkan darahnya secara hina oleh Zionis Israel di Palestin dan Lebanon.

Menurut web News Yemen, Syeikh Zindani, dalam satu khutbahnya mengucapkan syabas kepada
kumpulan Hizbullah. Beliau menilai serangan Amerika-Zionis adalah kerja-kerja orang penakut.
Kerana serangan itu dilakukan kepada sebuah kelompok yang mampu bertahan berhadapan dengan musuh Zionis Israel.

Zindani, yang juga Ketua Majlis Syura Parti Tajammu Yaman untuk Reformasi dan mantan anggota Dewan Presiden, mengajak persatuan Arab dan Islam seperti yang dilakukan Kesatuan Eropah (EU) sebagai salah satu cara yang baik untuk pembelaan kepada umat. Beliau juga menuduh para pemimpin Arab yang tunduk dengan AS. “Kebisuan dan sikap diam diri ini adalah sebahagian dari sikap
kerdil” tambahnya tegas.

Sementara itu, Persatuan Ulama Sedunia (PUD), mengajak semua negara-negara Arab dan
Islam untuk membantu perjuangan di Lebanon dan Palestin. Persatuan tersebut yang diketuai oleh Syiekh Yusuf Qardhawi, dalam pernyataan sikapnya, yang ditanda-tangani oleh Setiausaha Agung, DR.
Muhammad Saleem Al-Aduw, menyampaikan penghargaan kepada sikap perjuangan di Palestin dan Lebanon. Karena menurut mereka, apa yang dilakukan itu adalah hak yang sah, bahkan ia adalah wajib untuk menentang segala bentuk penjajahan. Itu adalah hak yang ditetapkan oleh Islam dan agama-agama lain. Bahkan itu diakui oleh badan-badan antarabangsa lain.

Organisasi tersebut juga menekankan bahawa perlawanan adalah merupakan sikap yang paling
terpuji dalam sejarah umat Islam, sama ada dahulu hingga sekarang. Maka menjadi kewajiban bagi
kita, sama ada penguasa ataupun rakyat, untuk memberikan apa yang sepatutnya diberikan.

Dalam pernyataannya, PUD dikejutkan oleh sikap sebahagian pihak yang mencerminkan
kekerdilannya. Untuk itu, PUD mengingatkan mereka dan umat Islam lainnya bahawa perang yang sekarang ini dilakukan oleh para pejuang adalah tidak lain hanya untukmenyeru seruan Allah ‘Azza wa Jalla yang ingin menunjukkan yang hak adalah hak dan yang batil adalah batil, walaupun orang-orang jahat itu tidak menyukainya. Dialah Allah, yang juga ingin memisahkan mana yang kotor dengan yang bersih, sehingga nanti Allah menjadikan yang kotor bersatu dengan lainnya dikumpulkan dalam neraka
Jahannam. Demikian salah satu pernyataan PUD tersebut.