Haneyya: penduduk Gaza ramai dibunuh ketika Lubnan diberi tumpuan dunia

Isnin ,07/08/2006 –
Perdana Menteri, Ismail Haneyya memberi amaran bahawa Israel telah mencuri peluang membunuh lebih ramai penduduk di Semenanjung Gaza ketika tumpuan penduduk dunia hari ini lebih tertumpu kepada isu Lubnan.

Haneyya yang berucap sebelum khutbah Jumaat di Gaza menegaskan bahawa penduduk Palestin mempunyai hak untuk terus menentang Israel sehingga hak dan tanah mereka diiktiraf secara sah.
Beliau berkata, “ Banyak negara menawarkan diri untuk membangunkan semula kemudahan-kemudahan yang dimusnahkan oleh Israel di Palestin dan Lubnan.

Namun, dengan rasa hormat dan kesyukuran,usaha masyarakat antarabangsa sepatutnya lebih tertumpu kepada usaha menghentikan kekejaman Israel daripada terus mencetuskan tribulasi di tanah kami.”
Perdana Menteri menegaskan bahawa cubaan Israel untuk menguasai semula kawasan sempadan di selatan Lubnan sebenarnya membawa maksud bahawa pusingan kezaliman di kawasan itu tidak akan berakhir sama sekali.

Tentera rejim Zionis pada masa yang sama telah mengambil kesempatan di atas tumpuan dunia ke atas Lubnan dengan mencetuskan lebih banyak tragedi berdarah di Semenanjung Gaza. Serangan Israel di Rafah telah mengorbankan 12 orang rakyat Palestin termasuk seorang bayi Jumaat lalu. Haneyya turut menyatakan sokongan rakyat Palestin terhadap masyarakat dan kerajaan Lubnan walaupun mereka sendiri mengalami kepahitan yang sama. Perang berterusan Israel di Palestin dan Lubnan sebenarnya bertujuan untuk menghapuskan deen Islam di kawasan itu serta mereka yang dipercayai sebagai pejuang Islam . Matlamat terakhir Israel ialah mendominasi dan memerintah kedua-dua kawasan.

”Mereka mahu memadamkan cahaya Allah dari muka bumi ini. Mereka mahu membawa kamu semua jauh dari sumber kekuatan dan maruah kamu. Ternyata mereka gagal!,” kata Perdana Menteri yang ternyata marah dengan tindakan Israel.

Haneyya menegaskan bahawa Amerika dan Israel sebenarnya mengimpikan “ Timur Tengah baru yang hanya tunduk pada arahan dan kehendak mereka”. Haneyya menegaskan bahawa apa yang berlaku adalah suatu yang amat pedih namum dengan optimis, beliau berkata bahawa ummah yang baru, yang penuh dengan maruah dan kebebasan akan lahir. Haneyya menyeru masyarakat serta pemimpin Islam agar ‘membebaskanjalan politik serta setiap keputusan yang dibuat’ agar mereka lebih bebas membuat keputusan pada masa-masa yang sensitive. Beliau berharapan agar kerajaannya kan akan dapat membayar sebulan gaji kepada kakitangan awam dalam masa beberapa hari lagi.