Khamis ,10/08/2006 –
Kementerian Dalam Negeri kerajaan Palestin telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi menyiasat percubaan bunuh oleh Israel terhadap Perdana Menteri Palestin, Ismail Haneyya, menggunakan surat beracun yang dihantar kepada beliau melalui surat berdaftar dari Tel Aviv, menurut satu sumber dari pejabat Perdana Menteri (PM).
“Kebiasaannya, petugas-petugas pejabat Perdana Menteri di Ramallah akan menghantar surat Perdana Menteri Haneyya ke pejabat beliau di Gaza, namun disebabkan keadaan keselamatan yang menyukarkan perjalanan, seorang petugas membuka surat berkenaan untuk dihantar melalui faks”, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat PM pada hari Selasa.
Tambahnya lagi, setelah surat tersebut dibuka, hanya sehelai kertas tisu yang mencurigakan dijumpai lalu menimbulkan rasa syak kepada petugas yang kemudiannya menyerahkan surat tersebut kepada petugas keselamatan untuk tindakan selanjutnya. Namun, setelah helaian tisu tersebut dibuka, sejenis bau yang kurang menyenangkan timbul lalu mengakibatkan mereka yang berhampiran jatuh dan pengsan.
Pejabat PM menyifatkan insiden ini sebagai cubaan bunuh terang-terangan oleh pihak Israel yang jelas melanggar norma politik dan bersikap biadap terhadap Perdana Menteri yang sah. Ini sama seperti tindakan mereka (Israel) menculik speaker PLC, Dr. Aziz Duwaik yang merupakan simbol kekuasaan legistatif pihak berkuasa Palestin.
Panggilan telefon kepada PM tidak henti-henti bagi memastikan keadaan keselamatan beliau, termasuk dari bekas Perdana Menteri Ahmed Qurei yang turut mengutuk tindakan biadap Israel itu.
Ketua gerakan berpengaruh Ikwanul Muslimim di Mesir,Mohammed Akef juga mencela sekeras-kerasnya jenayah kejam Israel tersebut semasa beliau menghubungi PM Haneyya dan mendoakan keselamatan untuk beliau (PM).
Dipihaknya pula, PM Haneyya menghubungi Sultan Abu Al-Ainien, pegawai PLO di selatan Lubnan, bertanyakan keadaan keselamatan rakyatnya di negara yang bergolak itu.
Beliau (PM) juga menghubungi Sa’ad Al-Dien Al-Othmani, Setiausaha Agung Parti Keadilan dan Pembangunan Morroco untuk menyatakan perhargaan terhadap peranan yang dimainkan oleh mereka dalam membantu isu Palestin.