Keadaan Kesihatan Ketua Parlimen Palestin Semakin Kritikal !!

Isnin ,14/08/2006 – Keadaan kesihatan Ketua Dewan Legislatif Palestin Dr. Aziz Duweik dilaporkan semakin kritikal. Duweik diculik Israel pada Ahad (06/08) dari rumahnya di Ramallah, Tebing Barat. Sehari selepasnya, tokoh Hamas ini dimasukkan ke hospital Shaari Tzedek di al Quds
(Jerusalem) kerana cedera parah akibat penganiayaan yang dilakukan polis penyiasat Israel di
penjara Ofer.

Dalam kenyataannya kepada pejabat berita aljazeera, Anggota Biro Politik Gerakan Hamas di Damsyik, Syria, Dr. Muhammad Nazzal mengatakan bahawa keadaan ketua parlimen Palestin, Dr. Aziz Duweik semakin kritikal sejak diculik oleh pihak militan Zionis Israel.

Sumber-sumber tahanan Palestin di penjara Ofer menyebutkan bahawa pihak autoriti penjajah Zionis
Israel terus menyumbat Dr. Aziz Duweik ke penjara yang terletak berdekatan kota Ramallah tersebut
setelah diculik dari rumahnya.

Setelah keluar dari hospital Shaari Tzedek, akibat bengkak dan lebam di dada dan mukanya, Duweik
kemudiannya dipindahkan ke penjara Telmond di wilayah Palestin ’48. Namun tidak lama kemudian,
Duweik kembali dipindahkan ke penjara Ofer selama beberapa jam untuk menjalani sesi soal siasat tanpa
perikemanusiaan. Selanjutnya pada hari Khamis (10/08) Duweik dibawa ke mahkamah militan Israel.
Sidang selanjutnya ditangguhkan 8 hari walaupun keadaan kesihatan Duweik semakin teruk.

Ketua timbalan pembela anggota parlimen dan kabinet Palestin, Jawad Bulish menegaskan bahawa pihak penjajah Zionis Israel perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas nyawa Dr. Duweik.

Bercakap kepada almarkaz alfilistini lil Islam dia mengatakan bahawa keadaan kesihatan Duweik
sangat kritikal. “Beliau mendapatkan bantuan oksigen sebanyak dua kali sewaktu menjalani
perbicaraan. Pihak autoriti Zionis Israel sengaja membuatnya kelelahan dan kepenatan. Beliau dihambur dengan maki hamun,kecaman serta ejekan,” menurut Jawad yang mengikuti perbicaraan tersebut di mahkamah
militan Israel.

Beliau menjelaskan bahawa keadaan kesihatan Dr. Aziz Duweik semakin kritikal sehingga perlu
dibawa ke hospital.Beliau merasakan sakit yang teramat sangat di bahagian dada, kepala dan tekanan
darah terus naik secara mendadak. Doktor penjara memberikan ubat penurun tekanan darah, namun tidak memberi apa-apa kesan.

Menurut Jawad, keadaan ini dialami Duweik sebenarnya sejak beliau keluar dari hospital Shaari
Tzedek. Ketika itu beliau terus dibawa ke penjara Telmond dan ditempatkan dalam ruang yang sangat
sempit. Tidak ada sistem pengudaraan, kotor dan tertutup. Keadaan ini semakin memburukkan keadaan kesihatannya. Bahkan dalam sehari, pihak penjara Israel terpaksa memanggil doktor sebanyak dua kali untuk memberikan bantuan pernafasan kepada Duweik kerana seringkali tidak sedarkan diri.