Rundingan menukar pejuang Palestin dengan askar rejim Zionis


Selasa , 05/09/06 –
Menurut laporan akhbar Hebrew, Israel telah bersetuju untuk membebaskan 800 orang rakyat Palestin yang dipenjarakan sebagai timbal balik dalam usaha untuk membebaskan askar mereka, Gilad Shalit yang ditawan pejuang Palestin sejak 25 Jun lalu.

Sumber politik Israel mengatakan bahawa pertukaran itu akan berlaku dalam tiga peringkat. Yang pertama melibatkan pembebasan 300 tawanan yang akan ditukar dengan askar kerahan tersebut. Peringkat kedua pula akan berlaku beberapa minggu selepas itu, melibatkan pembebasan 300 orang tawanan lagi. Manakala, 200 yang lain akan dibebaskan pada peringkat yang terakhir.

Akhbar tersebut melaporkan bahawa usaha itu melibatkan Mesir sebagai orang tengah di antara Israel dan Palestin sambil menjelaskan balawa pasukan keselamatan Israel telah pun mengadakan lawatan ke Cairo beberapa hari yang lalu. Walau bagaimanapun, sumber keselamatan di Cairo mengatakan bahawa pertukaran banduan tersebut akan tergendala berikutan tempoh masa yang telah diset untuk membebaskan tawanan Palestin.

Komunikasi dengan Gaza telah dibuat melalui delegasi keselamatan Mesir dan mengatakan bahawa rejim zionis itu merancang untuk membebaskan tawanan Palestin pada sambutan Aidilfitri, iaitu pada penghujung bulan Ramadhan. Akhbar itu turut menjelaskan bahwa menteri-menteri dan ahli parlimen Palestin yang ditangkap tidak akan dibebaskan di dalam tawaran itu. Sebaliknya mereka akan dibebaskan secara berasingan apabila kerajaan campuran Palestin dibentuk.