
Khamis , 14/09/06 –
Seorang rabbai Yahudi yang tinggal di Tebing Barat telah menyeru tentera rejim Zionis supaya membunuh semua lelaki rakyat Palestin yang melebihi umur 13 tahun dalam usaha untuk menyahkan kewujudan bangsa Palestin di atas muka bumi.
Rabbai ekstrimis Yousef Falay yang tinggal di kawasan pendudukan Yahudi Yitzhar di utara Tebing Barat telah menulis sebuah artikel dalam sebuah majalah Zionis di bawah tema “ways of war” (Cara berperang) di mana dia telah menyeru agar semua lelaki Palestin yang tidak berganjak dari negara mereka dibunuh, sambil mengatakan bahawa ideanya adalah kaedah yang praktikal bagi memastikan bangsa Palestin tidak lagi wujud.
“Kita mesti pastikan tidak ada individu Palestin yang hidup di bawah taklukan kita. Sekiranya mereka (orang-orang Palestin) melarikan diri, itu bagus. Tetapi sekiranya ada yang tinggal, maka dia sepatutnyalah dibunuh.” tambah rabbai fanatik itu dalam artikelnya.
Sementara itu, masyarakat Palestin di bandaraya Nablus berkumpul untuk menyemadikan jenazah Ehab Abu Salha,18, seorang warga Palestin yang juga merupakan ahli Briged Al-Aqsa, sayap tentera Fatah, yang meninggal dunia semasa sedang menyediakan bom melawan tentera rejim Zionis yang menceroboh bandarnya.
Briged Al-Aqsa berjanji akan membalas atas kematian Abu Salha serta serangan rejim Zionis yang tidak henti-henti ke atas rakyat Palestin di Tebing Barat dan Genting Gaza.
Di Bethlehem pula, rakyat Palestin berkumpul untuk menyemadikan jenazah kanak-kanak berusia 13 tahun, Mohammed Shawriya, yang telah dibunuh oleh tentera rejim Zionis pada hari Selasa.
Awal pagi Rabu, tentera rejim Zionis dalam jumlah yang besar disokong oleh 31 kenderaan kebal tentera telah menceroboh bandar Al-Khalil serta perkampungan berdekatan iaitu Kahel dan Ethna dalam satu serang balas tembak-menembak yang sengit.
Berdasarkan saksi-saksi yang berada di kawasan tersebut, tentera rejim Zionis telah mengepung pegawai perisikan Palestin, Amjad Abdul Hadi Al-Tumaizi dan membawanya ke satu tempat yang tidak dapat ditentukan. Tidak ada kecederaan atau penangkapan lain yang dilaporkan dalam serangan itu.
Tentera Zionis juga menahan dua lelaki muda di Kampung Dora dalam daerah Al-Khalil selepas menggeledah rumah mereka.