Abbas akan isytihar darurat sekembalinya dari New York


Khamis , 21/09/06 –
Ketua PA Mahmoud Abbas akan mengisytiharkan keadaan darurat di dalam kawasan yang diperintah oleh PA sekembalinya beliau dari New York di mana beliau menghadiri sesi perhimpunan pegawai PBB dan juga di mana beliau dijangka akan bertemu dengan presiden Amerika Syarikat George W. Bush pada hari Rabu, menurut sumber-sumber rasmi Arab yang mengesahkan berita itu Selasa lalu.


Sumber-sumber tersebut, yang memilih untuk kekal tidak dikenali, mengatakan bahawa Abbas telah mengadakan rundingan dengan beberapa orang pemimpin Arab, yang menolak perlantikan semula Perdana Menteri PA Ismail Haneyya untuk menerajui kerajaan nasional baru yang bersepadu, sepanjang beberapa minggu yang lalu.

Sumber-sumber tersebut memberitahu bahawa para pemimpin Arab berkenaan menyokong langkah Abbas itu, dan menjelaskan bahawa keganasan yang semakin meningkat di tanah Palestin merupakan alasan yang kukuh untuk membenarkan tindakan Abbas.

Sumber berkenaan mencatatkan bahawa Kesatuan Eropah (EU) telah berjanji untuk melepaskan kesemua wang milik kerajaan Palestin yang ditahan oleh Israel sejak enam bulan lalu dan berjanji memberi bantuan tambahan untuk mengelakkan mana-mana reaksi balas yang mungkin berlaku di pihak penduduk Palestin terhadap langkah tersebut.

Abbas telah bertemu dengan Menteri Luar Israel, Tzipi Livni pada awal pagi Selasa lalu di ibu pejabat PBB buat kali pertama dalam masa lima bulan. Beliau keluar selepas petemuan berkenaan dengan menggambarkan ianya sebagai “sangat positif”.

Bagi pihaknya, Livni memberitahu pemberita bahawa perjumpaan tersebut adalah “sangat baik, mustahak dan membina”.
Abbas semalam turut berunding dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Condoleezza Rice.
Penduduk Palestin yang kebanyakannya memilih Hamas untuk memerintah mereka di dalam pilihan raya Januari 2006 yang diiktiraf secara antarabangsa sebagai jujur dan tidak berselindung itu telah menjadi sasaran kepada tekanan sekatan ekonomi yang menyebabkan para pekerja awam tidak mendapat gaji selama tujuh bulan sebaik sahaja Hamas mengambil alih kuasa.

Pengepungan yang didalangi oleh AS-Israel mendapat sokongan dari EU, beberapa rejim Arab dan segelintir suku Palestin.