
Selasa , 26/09/06 –
Wakil Ketua Biro Politik gerakan Hamas, Musa Abu Marzuq menyatakan bahawa Presiden Mahmud Abbas dan gerakan Fatah sedang berusaha menggulingkan kerajaan sekarang, Ketika gerakan Hamas begitu serius untuk membentuk kerajaan campuran bersama gerakan
Fatah.
Pernyataan ini dinyatakan Abu Marzuq ketika diwawancara oleh harian Al-Bayan yang terbit di Dubai Ahad (24/9). Abu Maqrzuq menjelaskan bahawa terdapat beberapa pihak diantaranya
Fatah dan Mahmud Abbas yang sedang berusaha menjatuhkan pemerintahan yang ada. Beliau menjelaskan bahawa Abbas tidak diiringi oleh sesiapa daripada pegawai kerajaan Palestin dalam beberapa siri kunjungannya ke luar negeri. Abbas juga tidak pernah menerima seorangpun pegawai kerajaan untuk mendampinginya.
Walaupun demikian, menurut Abu Marzuq, sehingga kini kerajaan pemerintahan Hamas belum jatuh. Ini disebabkan oleh sokongan kuat daripada rakyat Palestin terhadap pemerintah yang mereka pilih
melalui sistem demokrasi yang bebas dan bersih. Beliau menyatakan keyakinannya terhadap rakyat Palestin yang akan sentiasa bersama gerakan Hamas dan program-program politiknya. Menyentuh berkenaan program-progam rakyat yang telah dicanangkan kerajaan Palestin, Abu Marzuq menyatakan bahawa dunia antarabangsa sehingga kini belum memberi kesempatan kepada gerakan Hamas untuk merealisasikan program-programnya.
Sejak hari pertama pelaksanaan pilihanraya umum yang lalu, disaksikan dunia antarabangsa dan
disambut baik oleh Amerika, namun akhirnya mereka menghukum rakyat Palestin dengan mengadakan sekatan ekonomi semata-mata kerana rakyat Palestin telah memilih Hamas sebagai wakil mereka untuk memerintah.
Abu Marzuq menjelaskan bahawa mereka telah menjangkakan bahawa Amerika dan Zionis akan mengadakan sekatan ekonomi terhadap mereka
atas kemenangan ini. Namun mereka tidak menjangkakan bahawa embargo juga dilakukan oleh negara-negara Arab, katanya. Abu marzuq menambah, hingga kini bangsa Arab belum sepenuhnya berdiri di belakang rakyat Palestin. Mereka juga belum berusaha semaksima mungkin menolak embargo dunia antarabangsa. Bahkan ada
sebagian negara yang membantu negara musuh menekan rakyat Palestin.
Berkait dengan kerajaan campuran, Abu Marzuq menegaskan, pemerintahan adalah bidang politik dan juga merupakan pilihan gerakannya. Beliau menjelaskan bahawa kerajaan campuran merupakan
pilihan alternatif politik gerakan Hamas sejak penyertaan gerakannya dalam kancah pilihanraya umum Palestin. Sejak dari awal lagi, berdasarkan undang-undang yang ada, Hamas telah mengadakan perbincangan dengan pihak Fatah dan beberapa
fraksi lain di parlimen untuk membentuk kerajaan campuran, namun tidak ada jawapan ataupun respon positif dari mereka. Akhirnya dengan segala kesukaran Hamas memimpin negeri ini bersendirian.