
Selasa , 26/09/06 –
Perdana Menteri Palestin, Ismail Haneyya, dari parti Hamas berkata pada Ahad lepas bahawa pergerakannya mempunyai niat yang serius untuk menubuhkan satu kerajaan kesatuan nasional, dan bahawa pergerakan tersebut berminat untuk menjayakan rundingan bersama Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.
Haneyya menambah bahawa beliau masih berharap agar kerajaan kesatuan tersebut akan tetap ditubuhkan meskipun kenyataan yang dikeluarkan Abbas mengatakan bahawa Hamas melanggar komitmennya ke arah satu kerajaan yang bakal mengiktiraf kewujudan Negara Israel.
Hamas masih tetap menolak syarat yang dikenakan oleh Kumpulan Berempat ( Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, PBB dan Russia) yang mahukan parti itu mengiktiraf Israel, menolak keganasan dan menerima perjanjian damai yang telah ditandatangani.
Pergerakan tersebut berkata Israel sepatutnya keluar dari kawasan yang diduduki mereka sekarang dan mengiktiraf satu kerajaan Palestin yang berdikari.
Sementara itu, Haneyya berkata, beliau akan bertemu dengan Abbas sekali lagi pada hari Selasa, dan menyatakan harapan semoga rundingan tentang kerajaan kesatuan nasional akan berjaya.
“Kami mempunyai niat yang jujur, dan ikhlas untuk untuk menubuhkan kerajaan kesatuan nasional ini,” kata Haneyya pada satu sidang akhbar di Gaza, “ Saya percaya bahawa rundingan ini mencapai kemajuan.”
Ketua Perunding Palestin, Dr. Sa’eb Erekat berkata Abbas akan bertemu dengan pemimpin-pemimpin parti politik Palestin yang lain bagi meneruskan rundingan berkenaan penubuhan kerajaan baru tersebut.
Penduduk Palestin rata-ratanya mengharapkan wujudnya satu kerajaan kesatuan nasional yang dapat memansuhkan sekatan ekonomi yang telah dikenakan ke atas mereka dan telah menyebabkan lebih banyak kemiskinan di Tebing Barat dan Tebing Gaza.