Ramadan bermula, askar Rejim Zionis tutup Masjid Ibrahimi di Hebron.


Selasa , 26/09/06 –
Tentera rejim Zionis yang berpangkalan di dalam Masjid Ibrahimi di Hebron, salah satu bandar di Palestin yang diduduki, yang rata-ratanya kurang senang dengan peningkatan jumlah mereka yang masuk ke masjid tersebut untuk menunaikan solat sejak bulan Ramadan yang mulia bermula semalam, telah bertindak menutup masjid tersebut sewenang-wenangnya, sehingga ke satu tarikh yang tidak diketahui.

Askar rejim Zionis yang berpangkalan di masjid itu, kesemuanya berumur di antara 18 hingga 22 tahun berkata, mereka mahu memastikan bahawa pendatang Yahudi yang tinggal tanpa izin di Hebron akan dapat merayakan Rosh Hashanah, hari cuti mereka dengan aman.

Sebelum menutup masjid tersebut, askar-askar rejim Zionis itu telah mempertingkatkan usaha pencarian dan penangkapan di bahagian pintu masuk Masjid Ibrahimi Sabtu lepas, dan kemudian memperketatkan kawalan ke atas mereka yang dibenarkan masuk, dan akhirnya menutup terus masjid tersebut ketika orang Islam masih lagi beratur untuk memasuki kawasan suci itu untuk menunaikan solat di bulan Ramadan.

Masjid Ibrahimi merupakan tempat yang telah lama mengalami ketegangan di antara pendatang Israel yang menceroboh masuk Hebron sejak akhir tahun 1970-an dan mengambil alih bangunan-bangunan di kawasan Bandar yang diduduki oleh 250,000 penduduk Palestin.

Pada tahun 1994, 29 orang Palestin yang sedang bersolat di Masjid Ibrahimi di Hebron telah ditembak mati oleh Baruch Goldstein, sambil diperhatikan oleh askar Israel yang lain dan membenarkan penembak tersebut mengisi peluru mesin-gan automatik serta meneruskan pembunuhan orang-orang awam yang tidak berdosa. Sebagai reaksi kepada pembunuhan beramai-ramai itu, pihak berkuasa Israel telah menghukum mangsa-mangsa Palestin dengan mengambil alih masjid tersebut dan menukar separuh daripadanya menjadi kuil Yahudi, di mana pendatang Yahudi pergi untuk bersembahyang setiap minggu. Kini, setiap tahun, pada hari ulang tahun kejadian berdarah tersebut, pendatang Yahudi di Hebron beramai-ramai berpakaian seperti Baruch Goldstein dan berarak di sepanjang jalan di bandar itu sambil menembak senapang ke udara.

Sheikh Maher Masoudi, Imam Besar masjid itu, mendakwa bahawa tindakan terbaru menutup masjid tersebut adalah sebagai langkah untuk mengurangkan bilangan orang Islam berulang-alik ke masjid itu, supaya ia akhirnya dapat ditukarkan kepada kuil Yahudi.

Pengikut Baruch Goldstein, seorang pemuja Rabbai Meir Kahane (pengasas pergerakan Kach), telah lama menyeru ke arah “ pemindahan populasi Arab Israel (orang Palestin) kepada tanah-tanah Arab (atau yang lainnya).” Kebanyakan pendatang Yahudi di Hebron adalah sebahagian dari pergerakan Kach, dan pernah menyatakan dengan terus-terang niat mereka untuk menukarkan Masjid Ibrahim kepada kuil Yahudi. Setelah pembunuhan beramai-ramai itu berjaya membawa mereka setapak hampir ke arah matlamat mereka (dengan kerajaan Israel bertindak menukarkan separuh dari masjid itu kepada kuil), penduduk Palestin semakin bimbang akan lebih banyak kejadian berdarah berlaku. Dalam keadaan kerajaan Israel tidak mempedulikan serangan oleh pendatang Yahudi terhadap penduduk Palestin yang berlaku hampir setiap hari di Hebron, kebimbangan mereka bukanlah satu perkara yang tidak berasas.

Sebagai contoh, kira-kira dua minggu lepas, pendatang Yahudi dari kawasan penempatan tanpa izin di Kiryat Arba, timur Hebron, telah mula membina satu jalan baru, yang digelar sebagai “jalan penyembah-penyembah” untuk menghubungkan kawasan penempatan tersebut dengan Masjid Ibrahimi (dikenali di kalangan pendatang Yahudi sebagai `Makam Ketua-ketua’) di kawasan bandar Hebron, menyebabkan berdozen tanah Palestin dirampas dan memusnahkan kawasan dusun yang telah ditanam zaitun sejak turun temurun, yang sedang berbuah.