Sayap bersenjata Hamas berkata Fatah akan lakukan pemberontakan


Selasa , 26/09/06 –
Briged Ized-deen Al Qassam, sayap bersenjata Pergerakan Hamas berkata pada Sabtu lepas bahawa ia tidak akan “membisu terhadap cubaan pemberontakan oleh pergerakan Fatah.”


Agensi Berita Ramattan melaporkan bahawa ia telah menerima sehelai nota dari sayap bersenjata Hamas yang mendakwa pergerakan Fatah bertanggungjawab menarik penduduk Palestin ke arah perang saudara melalui tuduhan mereka terhadap Hamas sebagai bertanggungjawab ke atas ketidakadaan undang-undang.
Nota tersebut turut mendakwa sesetengah pemimpin Fatah sebagai berusaha untuk memecah-belahkan penduduk Palestin.

“Perang yang keji ini yang telah diterajui oleh beberapa ketua pengawal keselamatan, yang mempunyai banyak rekod buruk korupsi dan bekerjasama dengan Israel, tidak akan dibiarkan bebas berleluasa,” nota tersebut bertulis.
Beberapa pemimpin Fatah dan ketua pengawal keselamatan yang setia kepada pergerakan Fatah menuduh Hamas sebagai bertanggungjawab ke atas pembunuhan ketua perisikan, Jad Tayeh.

Tayeh telah diserang hendap dan dibunuh bersama-sama dengan empat orang pengawal dan pembantunya ketika orang-orang bersenjata menembak ke arah kenderaannya di kem pelarian Al Shaty, berhampiran Bandar Gaza.
Hamas mengutuk pembunuhan tersebut, dan Kementerian Hal Ehwal Dalaman di bawah parti Hamas telah memulakan siasatan ke atas serangan tersebut.

Menteri kementerian tersebut, Sa’id Siyam berkata, siasatan yang dilakukan telah berjaya mendedahkan identiti orang-orang yang bertanggungjawab, dan mendakwa “pengawal keselamatan Palestin terkenal” sebagai terlibat dalam serangan tersebut.
Briged Al Qassam berkata di dalam nota tersebut bahawa “siri kegiatan penuduhan dan fitnah terhadap mereka” adalah bertujuan untuk memecah-belahkan masyarakat Palestin dan keseluruhan sistem politiknya.
Briged itu telah berikrar untuk “membuka fail-fail korupsi dan pecah amanah”.