Mahkamah Tentera Israel tolak pembebasan pegawai Hamas


Selasa , 26/09/06 –
Satu mahkamah tentera Israel pada Isnin lalu telah memutuskan bahawa 18 penggubal undang-undang Palestin dari parti politik Hamas akan terus dipenjarakan sehingga perbicaraan mereka berakhir dan satu keputusan dicapai. Perintah tersebut dikeluarkan selepas pejabat pendakwaraya tentera mengemukakan tuntutan untuk membebaskan pegawai-pegawai yang ditahan ketika perbicaraan mahkamah sedang dilangsungkan.


Mahkamah Israel tersebut berkata “ia tidak akan membenarkan pegawai-pegawai atasan dari satu organisasi pengganas bersembunyi di sebalik jawatan mereka,” lapor akhbar harian Internet, Haaretz.

Dr. Aziz Dweik, ketua Majlis Legislatif Palestin yang ditahan berkata, keputusan ini bersifat politik.Selepas pasukan pejuang Palestin menawan seorang askar Israel pada 25 Jun lalu, kumpulan tentera Israel kemudiannya bertindak menangkap pegawai-pegawai dan menteri kabinet Hamas.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Israel, Shimon Peres berkata, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas akan melakukan satu kesilapan sekiranya beliau menuntut pembebasan para pegawai atasan Palestin tersebut untuk ditukarkan dengan pembebasan Shalit.

Peres merujuk kepada pemimpin Fatah yang turut ditahan, Marwan Barghouthi, yang merupakan salah seorang ahli majlis legislatif itu, dan Ahmad Sa’adat, setiausaha agung Parti Utama Pembebasan Untuk Palestin (PFLP) yang dipenjarakan, yang juga merupakan seorang ahli majlis perundangan.

Dalam satu wawancara di televisyen, Abbas berkata bahawa kerajaan Mesir berkuasa ke atas rundingan untuk menukar tahanan penjara, dan menekankan bahawa PA mahukan Sa’adat dan Barghouthi dibebaskan dalam mana-mana penukaran tersebut.