
Khamis , 28/09/06 –
Timbalan Perdana Menteri Palestin, Nasser Ed-Deen Al Sha’er telah dibebaskan semalam selepas Mahkamah Israel Petah Tikva mengarahkan pembebasan beliau. Namun begitu, Al Sha’er tidak dibenarkan untuk memasuki Ramallah, yang merupakan pusat kepada pejabat-pejabat kerajaan Palestin, dan dilarang meninggalkan kawasan Palestin sehingga 15 Oktober ini.
Al Sha’er adalah timbalan kepada Ismail Haneyya, yang tidak dibenarkan meninggalkan Gaza. Beliau telah kembali ke rumahnya di Nablus di sebelah utara Tebing Barat.
Mahkamah tersebut memutuskan untuk membebaskan Al Sha’er kerana ia tidak mempunyai `bukti yang cukup’ unutk terus mengekalkan beliau di dalam penjara.
Pada hari Selasa lalu, Mahkamah Tentera Salem Israel telah menyambung tahanan reman 23 lagi pegawai Hamas yang masih dipenjarakan di penjara-penjara Israel, ke satu tarikh yang masih belum diputuskan.
Mahkamah Salem mendakwa bahawa 21 orang pegawai Hamas yang ditahan itu adalah `ahli-ahli satu organisasi pengganas’ dan merupakan satu ancaman kepada keselamatan Israel.
Mahkamah Israel arah bebaskan TPM Palestin (oleh Saed Bannoura – IMEMC & Agensi)
Mahkamah Petah Tikva Israel semalam telah memerintahkan pembebasan Timbalan Perdana Menteri Palestin, Nasser Ed-Deen Al Sha’er, setelah ditahan selama sebulan. Mahkamah itu memutuskan bahawa mereka tidak mempunyai bukti yang cukup untuk terus menahan beliau.
Al Sha’er telah dipenjarakan oleh tentera Israel pada 19 Ogos 2006 kerana merupakan salah seorang yang `dikehendaki’ oleh pihak berkuasa Israel. Pada akhir bulan Jun yang lepas askar Israel telah menangkap berdozen-dozen pegawai dan menteri kabinet Hamas. Al Sha’er tidak berada di rumah ketika pihak tentera menangkap para pegawai, tetapi kemudiannya beliau ditahan pada tarikh 19 Ogos.
Dua pertiga daripada ahli majlis undangan Hamas masih kekal di dalam penjara setelah ditangkap oleh pihak berkuasa Israel berikutan serangan yang dilakukan oleh pasukan pejuang Palestin terhadap satu pangkalan tentera di sempadan Gaza, dan menawan seorang askar Israel yang dikenali sebagai Gilad Shalit.
Buat masa sekarang, 32 orang ahli majlis undangan Hamas masih lagi ditahan oleh Israel. Isnin lepas, Mahkamah Tentera Ofer Israel di kawasan Tebing Gaza yang diduduki, bertindak menarik balik keputusan untuk membebaskan 21 daripada 32 tahanan tersebut dengan ikat jamin, dan memerintahkan penahanan mereka diteruskan sehingga prosiding pengadilan terhadap mereka berakhir.
Pihak pendakwaraya tentera Israel telah mendakwa 21 ahli majlis undangan itu atas tuduhan menjadi `anggota satu kumpulan pengganas, dan menjadi ancaman ke atas keselamatan Israel.’