Remaja perempuan mati akibat serangan rejim Zionis


Jumaat , 29/09/06 –Kapal terbang perang rejim Zionis telah mengebom dan memusnahkan sebuah rumah di Semenanjung Gaza mengakibatkan kematian seorang remaja perempuan dan mencederakan sepuluh yang lain.

Tentera rejim Zionis mengesahkan pada Rabu lepas yang mereka telah membedil rumah pengedar senjata di selatan bandar Rafah, di sempadan Mesir.

Pihak tentera memberitahu yang mereka telah memberikan amaran kepada tuan rumah berkenaan 15 minit sebelum serangan pertama dilancarkan.

Tetapi remaja perempuan 14 tahun tersebut telah terbunuh apabila dia dan kanak-kanak lain berkumpul untuk melihat kemusnahan akibat serangan dan pada ketika itu misil kedua dilancarkan, demikian menurut saksi.

Doktor Ali Musa, Pengarah Hospital Rafah, berkata 10 orang telah cedera berikutan letupan misil tersebut, kebanyakan mereka perempuan dan kanak-kanak yang menderita patah tulang, melecur dan mengalami luka yang parah.

Serangan rejim Zionis berlaku satu jam selepas satu serangan roket dilancarkan dari Gaza mencederakan sorang askar rejim Zionis yang diluar waktu bertugas di selatan bandar Sderot di Israel.

Serangan udara tersebut berlaku ketika kumpulan hak asasi manusia Israel menuduh tentera rejim Zionis melakukan jenayah perang apabila mereka mengebom satu-satunya janakuasa elektrik di Gaza ketika memulakan serangbalas ketenteraan besar-besaran.

Israel telah melakukan operasi ketenteraan di Gaza, kawasan yang telah mereka tinggalkan semenjak tahun lepas, selepas pejuang Palestin menangkap seorang tentera mereka dalam serangan merentasi sempadan pada 25 Jun.