
Jumaat , 29/09/06 –
Semalam (Khamis), beratus-ratus polis dan para pegawai keselamatan mengadakan tunjuk perasaan di Semenanjung Gaza dan menyekat kesemua laluan menghala ke Bandar Gaza dengan menggunakan tong sampah dan tayar-tayar, menuntut agar gaji yang sudah berbulan tidak diterima diberikan kepada mereka.
Para pegawai polis yang berarak itu menembak meriam hidup beberapa kali ke udara, menutup jalan-jalan dengan batu dan besi, dan mengosongkan isi kandungan tong sampah ke atas jalan raya.
Kebanyakan polis yang terlibat adalah merupakan anggota Pencegahan Kawalan Keselamatan Palestin, yang bergabung dengan pergerakan Fatah dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.
Usaha-usaha untuk menubuhkan Kerajaan Kesatuan Nasional Palestin masih tiada perkembangan, disebabkan oleh Fatah dan Hamas yang saling mendakwa antara satu sama lain berkenaan dengan kegagalan rundingan di pihak dalaman.
Semenjak parti Hamas dilantik memegang tampuk pemerintahan, dengan memenangi jumlah kerusi majoriti di Dewan Majlis Perundangan Januari lalu, beberapa negara penyumbang telah menghentikan sumbangan mereka kepada kerajaan Palestin.
Amerika Syarikat dan Israel yang bertanggungjawab mengetuai kempen ‘ Pulaukan Kerajaan Pimpinan Hamas’, telah mengenakan sekatan ekonomi ke atas PA dan bantuan kewangannya, menyebabkan ramai pegawai kerajaan yang tidak dibayar gajinya selama sebulan.
Para pegawai polis yang terlibat dalam tunjuk perasaan itu berkata tindakan mereka ini tidak berunsur politik, dan bahawa ianya tidak menunjukkan ketidaksokongan mereka kepada mana-mana parti.
“Kelaparan anak-anak kamilah yang memberi motivasi kepada kami”, kata salah seorang dari mereka.
Seorang lagi penunjuk perasaan yang lain berkata, para penunjuk perasaan ini tidak kisah akan masalah yang berlaku di antara Presiden Mahmoud Abbas dengan Perdana Menteri Ismail Haneyya, tetapi sebaliknya berkata, “ Kami hanya pedulikan kebajikan anak-anak dan keluarga kami,” menurutnya.
Sekarang, terdapat kira-kira 165,000 pegawai kerajaan yang hanya menerima sebahagian daripada gaji mereka sejak Mac lalu. Pemangku Menteri Kewangan Palestin, Sameer Abu Aisha berkata dalam satu sidang akhbar, bahawa Qatar dan Arab Saudi telah menyumbangkan sebanyak AS$15 juta kepada PA, membolehkan kerajaan tersebut membayar sebahagian daripada gaji para pegawainya.