
Isnin , 02/10/06 –
Menteri Infrastruktur Israel, Benjamin Ben-Eliezer berkata pada Sabtu lalu bahawa Israel mesti membunuh ketua Hizbullah Sheik Hassan Nasrallah, pada setiap peluang yang ada “tanpa menyebabkan kematian” di kalangan penduduk awam Lubnan atau masyarakat sekeliling.
Ben-Eliezer menambah bahawa Nasrallah, yang sekarang menduduki tempat tertinggi dalam senarai orang yang paling dikehendaki Israel, dilihat oleh kebanyakan orang Arab sebagai seorang hero. Menurut Ben-Eliezer, Nasrallah telah melepaskan beribu-ribu roket Katusha ke arah utara Israel dalam peperangan Lubnan-Israel baru-baru ini.
Perang tersebut tercetus setelah pejuang Hizbullah menculik dua orang askar Israel di dalam satu operasi sempadan.
Kenyataan Ben-Eliezer dikeluarkan sewaktu satu wawancara dengan Radio Tentera Israel. “Nasrallah adalah seorang yang jahat bagi Israel,” kata Ben-Eliezer, “Dia jahat bagi orang Arab, dia jahat bagi orang Kristian, dan kita tidak patut biarkan dia terus hidup”.
Beberapa orang pegawai Israel telah menyeru ke arah pembunuhan Nasrallah sejak serangan 12 Julai lagi, dan sejak penculikan askar-askar tersebut.
Sekurang-kurangnya 1200 penduduk Lubnan, kebanyakannya adalah orang awam dan kanak-kanak, telah terbunuh dalam serangan tentera Israel di Lubnan. Pejuang Hizbullah pula telah membunuh 157 orang Israel, yang kebanyakannya adalah dari pihak tentera.
Ben-Eliezer menambah bahawa ketua Hizbullah itu telah muncul dalam satu majlis untuk bercakap di hadapan sekumpulan besar orang ramai sewaktu meraikan kemenangan parti itu.
“Kami sepatutnya boleh membunuhnya ketika itu,” Ben-Eliezer berkata, “ tetapi beribu-ribu orang ada di sana pada waktu itu”.
Terdahulu, pada tahun 1992, pemimpin Hizbullah sebelum Nasrallah, Sheikh Abbas Musawi telah dibunuh oleh pihak Israel; serangan tersebut turut membunuh isteri dan anaknya.
Sementara itu, kebanyakan penduduk Israel percaya bahawa tindakan tersebut akan menyebabkan tercetusnya satu lagi perang dengan Hizbullah setelah Israel gagal untuk dalam perang baru-baru ini untuk mengambil kembali dua askarnya yang ditangkap.