Habib: “Kemelut dalaman Gaza satu hadiah percuma kepada rejim Zionis”


Selasa , 03/10/06 –
Khader Habib, ketua pergerakan Jihad Islami, Isnin lalu mengatakan bahawa kemelut dalaman di Semenanjung Gaza adalah sebagai ‘hadiah percuma’ kepada tentera rejim Zionis dalam usaha mereka untuk memecah-belahkan rakyat Palestin dan mencetuskan perang saudara.

“Perkara ini terlalu sukar untuk dibayangkan, seorang rakyat Palestin membunuh saudara Palestinnya yang lain,” kata Habib. “Semua ini dilakukan tanpa sebarang alasan atau bukti dan ternyata ia hanya menguntungkan Israel.” Habib berkata bahawa rejim itu telah ‘menambah minyak ke dalam api’ ke atas kemelut dalaman Palestin di dalam usaha menjayakan rancangan dan agenda jahat mereka.

“Kita harus kekal bersatu untuk merungkaikan kepungan Israel dan serangan mereka ke atas masyarakat kita. Musuh telah meletakkan kita ke dalam situasi ini dan kita seharusnya bersatu untuk keluar dari cengkaman mereka,” tambah Habib. Habib juga mengatakan bahawa Israel mahu rakyat Palestin bertelagah sesama sendiri kerana Israel sedar bahawa serangan berterusan yang mereka dilancarkan hanya akan menambahkan lagi kesatuan rakyat Palestin.

“Mereka mahu meneruskan serangan ketenteraan mereka di saat kita bergaduh sesama sendiri,” Habib menambah. Habib menyeru semua paksi pejuang Palestin agar menyedari tanggungjawab mereka, melindungi kehendak kebangsaan dan kemahuan rakyat Palestin yang menghadapi pencerobohan dan serangan saban hari dari rejim Zionis.